javascript:void(0)
Don't believe everything i've said, heck, don't believe anything. Learn to differentiate facts and personal opinions. Do your OWN research, then, CHOOSE what to believe.
Showing posts with label travelog. Show all posts
Showing posts with label travelog. Show all posts

Wednesday, June 20, 2012

GOS Exam


Sebenarnya mungkin ejaan tajuk adalah tidak tepat. GOS datangnya dari perkataan 'gosudarstva' dalam bahasa Rusia yang bermaksud kerajaan. Di sini, final year student akan ada national exam (gosudarstvenni ekzamien) sebelum boleh layak bergelar doktor.

Disebabkan kami juga adalah pelajar di Rusia, walaupun kami pelajar asing, kami juga perlu melalui peperiksaan tersebut. Dan exam itu semua berjalan dalam bahasa Rusia. Bila memikirkan masa lampau, dapat menjawab dalam bahasa Rusia kira-kira asalnya adalah sesuatu yang agak mustahil, untuk sebut semua term2 medik dalam bahasa asing, ditambah lagi pengetahuan teori (saya) yang agak lemah (dulu-dulu)....tapi akhirnya dapat juga saya lalui, alhamdulillah.....kuikuikui

Memang betul macam tak percaya. Belajar untuk baca buku Rusia pun mula masa 5th year, masa 4th year cikgu-cikgu yang berbahasa Inggeris masih ramai lagi...masuk 5th year baru mula di'basuh' dengan mendengar perkataan Rusia hampir setiap hari (cycle). Tapi memang ada je cikgu yang still semangat nak cakap English lagi.

Sridni Bal or Average Mark

'Legend' yang biasa saya dengar ketika senior-senior menghadapi final year adalah - "ala, markah korang memang dah ada pun untuk GOS exam. Dia ikut carry mark la (average mark)."

Cakap macam senang je. Ceh. Jangan percaya sangat cakap orang ni, cakap-cakap macam ni la yang buat saya tak study awal-awal menjejakkan kaki ke sini, sebab dengar cikgu senang la, tak payah study pun konfem lulus lah dan macam-macam lagi. zzzzzzz.

Saya tak tahu average mark memainkan peranan besar atau tidak, tapi ia bukan 100% faktor yang menentukan apa yang bakal anda dapat dalam exam. Banyak lagi faktor lain yang terlibat seperti, dapat jawab dengan cikgu apa, tahap ilmu dalam dada, kebolehan berbahasa Rusia, kebolehan nampak yakin ke, nationality - pelajar dari negara mana, dan mungkin juga appearance anda, kacak/lebam-kat-mata-sebab-gila-study/berhingus pun boleh jadi faktor juga.

Sridni Bal saya adalah....jeng jeng jeng...3.88. Di Rusia, sistem pemarkahan bagi setiap test atau exam, ada markah 2, 3, 4 dan 5. 2 bermaksud fail, manakala 5 adalah sangat cemerlang. Jadinya, markah saya 3.88 bermakna saya selalu gila dapat 4, sekali sekala sahaja dapat 5 (dalam 3-4 kali je kot) dan bilangan markah 3 yang saya peroleh lebih banyak dari bilangan saya dapat 5.

Sebenarnya saya selalu rasa saya antara pelajar-pelajar lemah, tetapi selepas melalui exam ini, dan tengok pelajar-pelajar lain, budak-budak Malaysian, budak-budak dari negara India, dan mungkin juga dari negara lain seperti Kazakhstan, Israel ke, Kenya ke...saya rasa tak adalah teruk sangat markah saya ni sebenarnya...hahaha. Apa-apa pun saya sangat gembira menjadi average. Sangat. ^^

Ok sebenarnya dah rasa penat menulis.


5 hari exam, 5 bahagian.

GOS exam berlangsung selama hampir 15hari sahaja, dan ada 5 hari exam. Exam pertama, obejktif/MCQ. Exam kedua. ketiga dan keempat - practical skills dan teori/first aid untuk subjek O&G (Obstetrics and gynecology), Surgery dan Therapy. Exam kelima, exam yang diberi masa lebih sikit berbanding exam-exam lain, adalah zadacha/short cases di mana anda akan diberikan 4 soalan berbentuk short history case merangkumi O&G, Surgery, Therapy dan yang keempat - tak tentu; boleh dapat Ophtalmology, ENT, Tuberculosis, Oncology,Infection dan macam-macam lagi.


Summary

Exam pertama, MCQ - mesti la gelabah sebab kami perlu study 2200 soalan MCQ, dalam dewan kena jawab 100 soalan dalam masa 1 jam setengah. Saya tak pernah dapat habiskan 2200 soalan tu pun, selalu training kat internet, laman web universiti jawab 100 soalan. Tapi masa hari exam, soalan-soalan yang biasa saya jawab dalam training tak keluar sangat pun, so macam gelabah. Siap dah terfikir aduhai malunya kena sambung lagi setahun kat Volgo, jatuh imej aku kat junior, tak ada duit nak bayar dan bla bla bla....padahal mungkin universiti tak kesah pun MCQ kitorang. Ada kes, seorang budak dari China tu dia cakap dengan cikgu dia tak tahu, lepas tu main tekan semua jawapan sampai habis, still boleh lepas lagi. Rasa macam tak berguna pulak study betul-betul untuk MCQ.

Exam kedua, O&G - jawab dengan Elena Pavlovna yang dikatakan cikgu yang selalu ada problem dengan pelajar. Tapi saya tak cuak sangat mungkin sebab saya tengok dia macam ok je. Masa saya jawab dengan dia, dia memang buat saya macam tak tahu apa-apa la. Siap tanya lagi, "siapa cikgu awak dulu?" Saya jawab, Margarita Viktorovna. "Pelajar Margarita tapi tak boleh jawab soalan ni?" aaaaaaaaaaaaa malunya saya (sambil buat mata terbeliak sket). Tapi dia baik je, bagi clue dan buat saya macam budak tadika...sebut sepatah-sepatah sampai saya boleh teka habis jawapan "Ad...? nex....?" Adnexectomy!!
Dia bagi 4, lepas tu dia cakap saya kena improve knowledge. Ceh, alhamdulillah, ingat dapat 3. Dengarnya ada budak Malaysian lain yang jawab dengan dia pun dapat nasihat macam tu jugak.

Exam ketiga, Surgery - subjek yang saya memang blur jenis-jenis operation yang ada apa semua. Rasa betul-betul belajar surgery pun masa last semester sebab dapat Vasili, cikgu yang dikatakan cikgu paling psycho kat Volgo. (kecoh lebih je sebenarnya, setiap kali dapat cikgu susah, itulah cikgu paling psycho kat Volgo) Tapi last-last jawab masa exam dengan cikgu senang. So tak ada apa yang menarik sangat. Ada budak lain dapat dengan cikgu susah, siap dapat markah 3 dan amaran kemungkinan untuk fail.

Exam keempat, Therapy - untuk exam therapy dan surgery, kami kena jumpa pesakit, tanya dia segala benda kemudian letak diagnosis. Untuk Therapy ni, saya susah sikit, salah jawab ubat, awal-awal lagi dah dapat markah 3 untuk history case patient. Mmg down la...dah tulis banyak ubat pun dapat 3? Nasib jawab teori bukan dengan cikgu tu, dengar cerita budak yang jawab dengan cikgu tu masa exam memang kena psycho...lama gila. Saya jawab dengan cikgu tua, apa dia cakap masa explain soalan saya, saya pun tak dengar sangat. Tengok muka dia macam nak tak nak je dengar saya jawab. Saya fikir, hai cikgu ni...dah tengok markah 3 untuk history case saya, tengok average mark saya 3.8 je, takkan nak bagi 3 terus. Last-last cikgu tu cakap, "ah layanlah saya bagi awak 4". whooaaa. cool.

Exam kelima, zadacha/clinical cases - ada masa lebih kurang 6 hari untuk mantapkan persediaan selepas exam keempat. Exam lain selang masa 1-2 hari je. 2 hari sebelum exam saya dah macam cacing kepanasan. Saya ulangkaji pun macam tengok-tengok je selak soalan, ugh, selalu tanya diri sendiri, ingat ke semua ni? Alhamdulillah dapat jawab dengan 'trio' tiga orang cikgu yang bagi saya baik...Therapy -Rogova, (muka dia macam sejuk mata memandang sket walaupun mak orang), Surgery - cikgu perempuan tua, mungkin 50-an, O&G - Margarita Viktorovna. Margarita cakap macam ni, "kenapa awak macam tak tahu sangat ni pasal o&G? saya kalau boleh tak nak bagi markah 3, sebab ni GOS exam, kalau awak boleh jawab soalan saya ni, saya bagi awak 4." Saya terjawab salah soalan tu....tapi dia baik jugak, masa dengar keputusan diumumkan, rupa-rupanya dia still letak markah 4. huahuahuahua

Ok, itu sahaja. Dua hari lagi akan ada Hari Graduasi, harap reduplah time tuh. Malas rasanya nak berpeluh-peluh.

Selamat meneruskan perjuangan anda semua.


Friday, June 15, 2012

selesai


Syukur

Alhamdulillah sebab dah habis final exam. Habis sudah pengajian selama 6 tahun di VSMU ini. Segala turun naik, saat-saat mendebarkan, tekanan, suka duka berkaitan pembelajaran di universiti dah pun berakhir.

Perancangan

Ada beberapa perkara nak buat di blog ini. Pertama, seorang kawan lama Kuzman suruh buat tulisan cerita pasal pengalaman panggil jin di MRSM KK. Kedua, nak buat video (bodoh2 sahaja) 6 tahun di VSMU dalam masa 1-3minit. Letak semua gambar dalam satu video lepas tu fast forward laju-laju. Ketiga, buat entri pasal exam. Cerita selok beloknya apa semua....

Kemudian, saya akan berhenti update dalam blog ini lagi. Harap maklum.


Hipokrit

Sedang belajar untuk jadi hipokrit. Memang sesuatu perbuatan yang dibenci, tapi.......ah lantaklah. Bila seseorang itu melakukan sesuatu, dia seharusnya berani untuk menerima kesannya. Jadi hipokrit. Cakap tak serupa bikin. Menipu. Dan untuk kali ini, alasannya adalah perlindungan. Menjadikan topeng-topeng sebagai perlindungan.
Jangan mencontohi saya. Kadang-kadang, orang kalau jadi baik sangat ni, lagi sakit akibatnya.


Pesanan

Saya akan cuba ingat pesanan seorang member ni. Hariz. Kalau kau cuba hendak memahami sesuatu perkara yang kompleks, ada dua akibatnya. Yang satu adalah gila, manakala yang satu lagi adalah lebih teruk daripada gila.

Monday, June 4, 2012

semakin hampir


exam dah habis dua, ada lagi tiga akan menyusul.

Semoga Allah mempermudahkan.

Kita pun tidak tahu apa yang ada di luar sana, sesudah segalanya ini berakhir, tapi kita, tetaplah berharap Allah membantu kita untuk melepasi ujian-ujian ini.

Final exam ni, macam UPSR, PMR, SPM. Kadang-kadang memori-memori exam lepas dalam seluruh hidup diusahakan untuk terlintas dalam kepala, supaya boleh mencari-cari teknik paling baik dan juga ketenangan hati yang paling tinggi. Mencari-cari titik keyakinan. Supaya tak rasa risau atau gelabah sangat.

Pergh. Serius tak bajet cikgu boleh bagi markah macam tadi. Ini yang buat rasa semangat nak belajar untuk exam seterusnya pulak ni. (dan semangat, janganlah hilang. juga jangan tinggi sangat, kalau tak nanti buat orang rasa nak main game dan tengok movie)

Sunday, April 29, 2012

Jiwa Parah

Baca blog orang, dan dia tulis,


"keliru juga lah dgn masalah-masalah sekeliling hari ini. minta kita memilih yang betul."

Memang pun. Susah habis rasanya nak hidup dalam dunia ni sekarang. Tak berani nak pilih apa pun.
Mungkin, solusinya adalah kesederhanaan. Dan kepercayaan yang tak berbelah bahagi kepada Tuhan.


Berlaku Jujur dengan Allah

Dapat gambar ni dari blog orang. Saje share.


dapat dari sini - http://kangensyurga.blogspot.com/2012/04/jujur-dengan-allah.html

Ada orang letak self-worth pada material, benda-benda.
Ada orang yang faham dah tak letak lagi self-worth dia pada benda-benda, sebab percaya "Yang paling mulia di antara kamu ialah yang bertakwa".

Tapi bila bersalah, rasa macam tak ada lagi tempat untuk berpaut. Hilang dua dunia.



Pandai mentafsir

Hari itu, tiba-tiba seorang kawan ni semangat la pulak nak tengok apa isi kandungan buku tulis saya. Rupa-rupanya saya ada tulis sesuatu dalam tu. Benda yang saya post atas tajuk Ujian. Dia kata best. Siap ambil gambar guna handphone lagi.

Saya tanya dia, apa yang dia faham. Sebab sebelum tu dia kata, dia faham. Dia kata lagi, dia pun pernah merasainya.

Lepas dengar jawapan dia, saya tergamam sebab jawapan dia tepat. Haha. Senang je rupanya nak tafsir kata-kata saya.

"Mungkin tak sepatutnya
mendongak ke atas
Sebab akan ternampak langit.
Langit kalau ditenung, direnung
akan terasa semakin tinggi dan tinggi.
Juga kerana bencinya pada bisikan-bisikan
yang mendewa-dewakan langit.


Langit adalah makhluk Tuhan,
biarpun sempurna tak ada cacat cela
ianya tak kekal.


Pecahkanlah berhala-berhala pujian dan sembahan
Padam hapuskanlah bisikan-bisikan setan."



Majlis perpisahan 6th year

Hmm. Saya memang dah lama dah tak terlibat pun dengan program-program KUV. Baru-baru ni mereka anjurkan majlis untuk kami 6th year.

Pagi itu, di kelas ada seorang kawan saya cakap, "batch kita memang tak menonjolkan? Macam tak wujud, tak terlibat dengan aktiviti-aktiviti pelajar volgo. Tak macam batch lain"

Salah. Kalau kita yang tak terlibat atau libatkan diri dengan aktiviti-aktiviti kat sini, memanglah tak nampak apa-apa, jadi baik diam. Jujur saya cakap saya bangga batch saya ada nadzrul, faiz, anuar, ramdan, kak Ma, masayu dan mungkin ada lagi yang lain tapi saya tak nampak.

Masing-masing akan nampak apa yang mereka biasa buat je kot. Tapi saya special case. Walaupun saya jenis tak buat apa-apa dan malas, saya ada keupayaan untuk iktiraf apa yang orang lain dah buat.

Nak dijadikan cerita, masa majlis tu saya dapat hadiah dari KUV. Saya seorang je pulak tu. Takpe. Anggap sebab saya pernah jadi pres mereka suatu masa dulu.

Kawan saya buat lawak dengan saya, " Eehhh??! Jap, kenapa ko dapat hadiah? Apa sebenarnya yang ko dah buat?"
haha, kawan yang rapat memang suka perli. Saya jawab, "Entahlah. Anggap je aku ada pernah buat something...(sambil tergelak)"

Kawan saya yang lain pulak ada menambah, "Mungkin jasa ko kat KUV ni adalah ko berjaya untuk pass kan kelab tu daripada generasi lepas ke generasi sekarang. Kau berjaya buat kelab tak terkubur...kerja kau untuk pass je sebenarnya". Macam orang yang dalam lecture hall tolong pass kan kertas dari orang belakang ke orang depan. Tukang pass. xD

Tenkiu semua. Saya dah lama tak dapat hadiah berupa gambar saya yang di'frame'kan. Mujur tak disertakan sekali dengan kalungan bunga pada gambar tersebut. Saya juga suka kata-kata di dalamnya,

"May you always have wall for the winds,
A roof for the rain, tea beside the fire,
Laughter to cheer you, those you love near you,
And all your heart may desire"


Ok selamat malam.



Tuesday, April 17, 2012

Hidup itu singkat #2

Asal-asalnya memang nak tulis kalau boleh sehari selepas Hidup itu singkat #1. Tapi saya seorang yang sibuk (sibuklah sangat) dan mudah 'down'.

Hilang

Saya pernah berpesan kepada seorang rakan muda (baca:junior) untuk menjaga hati. Kalau hati hilang, akan rasa malu dengan Tuhan. Tapi saya tak beritahu apa sebabnya rasa malu masa tu, sekarang baru nak beritahu. Sebab bila hati hilang, tak ada apa-apa lagi yang nak dipersembahkan kepada Tuhan.

Saya tahu saya bukanlah orang terbaik untuk memberikan nasihat serupa ini, sebab saya hanyalah seorang pendosa. Namun apa yang saya tahu, seorang pendosa yang tahu akan kesilapan dia lebih baik daripada orang yang meletakkan kecintaan terhadap sesuatu yang lain lebih tinggi dari kecintaan terhadap Allah dan Rasul. Itulah hati yang hilang. Saya rasa keadaan yang sama juga dialami oleh seorang pendosa yang telah berputus asa dari rahmat Allah.

Semoga Allah temukan hati kita yang telah hilang, dan Allah baiki hati-hati kita yang rosak.

Suara Hati

Saya ada terjumpa kata-kata ni dari fb seorang kawan.


"Tak ada yg lebih jernih dr suara hati ketika ia menegur kita tanpa suara. Teguran yg begitu halus, begitu bening, begitu dalam. Tak ada yg lebih jujur dr nurani, saat ia menyedarkan kita tanpa kata. Nasihatnya begitu hening dan kita tak kuasa menyangkal. Begitu tipis begitu mhiris. Berbahagialah org2 yg seluruh waktunya dpenuhi kmampuan utk jujur pd nurani dan tulus mdengarkan suara hati."

Mula-mula saya baca, saya memang kagumlah dengan kawan saya tu sbb boleh tulis ayat macam ni. Tapi mujurlah saya google di internet, dan rupa-rupanya tu bukan kata-kata dia! zzzzz
Tolonglah, lain kali, sesiapa pun, kalau tak dapat cari atau letak sumber dari mana dapat, sekurang-kurangnya tolong letak tanda pengikat kata " " dekat ayat tersebut.

Tapi kalau seseorang itu memang obses dengan gaya bahasa seseorang, memang tak dinafikan kadang-kadang tulisannya akan sedikit sebanyak menyerupai gaya bahasa tersebut. Maka dalam hal ini, dia memang tak bersalah sebaliknya saya memuji keadaan tersebut sebab dia telah berjaya menyerap 'perasaan/makna/suasana' yang ditulis oleh orang lain. Apa yang saya rasa tak berapa sedap hanyalah perbuatan 'copy paste' sahaja.

Bercerita tentang kata-kata tersebut, saya kira saya masih boleh bersyukur sebab hakikatnya saya tak adalah betul-betul kehilangan. Suara hati tu masih ada. Adanya suara membuktikan bahawa saya masih lagi memiliki hati saya. Suara yang dah lama menemani saya dalam perjalanan hidup saya sejak daripada saya masih kecil hingga sekarang.

Anak

Tahniah kepada Ramdan dan isteri, Aida yang telah selamat menimang cahaya mata pada hari Khamis yang lepas. Dengar cerita dari Ramdan kelmarin tentang apa yang berlaku dalam bilik bersalin, keadaan yang sangat cemasnya, kegembiraannya dan semuanya memang menggugah perasaan la. Sekejap. (haha ayat nak ego je)

Dai'e (Pendakwah)

Saya asal-asalnya memang berniat hendak mengatakan dan berjuang habis-habisan untuk cakap bahawa saya bukanlah daie. Selalunya bila bercakap pasal siapa daie, saya lebih cenderung cakap 'korang' kat kawan-kawan saya tu dari kata 'kita'. (macam apa je perangai) Mungkin sebab fobia atau ada pengalaman lepas di mana sayalah orang yang dikaitkan dengan imej agama, dan itu menimbulkan konflik dalaman yang begitu dahsyat. Tapi saya tak nafikan juga bahawa zaman itu jugalah saya merasakan zaman paling bermakna dalam hidup.

Sekarang, saya dah tak nak terlibat dalam nak bincang siapa daie dan siapa itu ini. Saya hanya nak fokus untuk jadi seorang muslim yang betul-betul muslim. Untuk terlibat dalam persoalan, daie harus begini begitu, kalau buat ini itu akan timbulkan fitnah, saya berlepas diri. Biarkanlah orang lain yang menghukum atau menganalisa. Saya dah mula menerima hakikat dunia ini memang begitu pun. Bercampur baur. Contohnya ada negara islam tak mengamalkan syariat islam, ada filem/drama islami tapi dedah aurat ke, guna hadis palsu ke, ada ustaz yang memang kaki perempuan ke, siap ada imam yang gay (di luar negara). Astaghfirullah. 

Ini semua adalah fitnah yang melanda kita sekarang. Apa yang kita boleh buat adalah memantapkan ilmu kita agar dengan itu kita boleh mengenal bahagian mana yang elok, bahagian mana yang salah. Saya rasa saya tak akan menggelarkan diri saya sebagai daie, seperti mana saya tak ingin menggelarkan diri saya salafi, ikhwani, sufi, mukmin (sebab iman itu nilaian Allah), ghuraba (orang-orang asing yg dimaksudkan hadis nabi) dan sebagainya. Tapi dalam masa yang sama kita harus rujuk Al-Quran dan sunnah, tengok ciri-ciri yang harus kita contohi dan ciri-ciri yang harus kita jauhi. Kita harus terus berusaha untuk maju. Tentang apa orang kata, samada saya ini daie ataupun tidak, terpulanglah kepada mereka untuk menilai. 

Perincian (details) adalah amat penting. Beritahu apa sifat-sifat syiah dan bukan cop orang sebagai syiah (kecuali setelah nyata dia memang memiliki semua ciri syiah, itu lain cerita). Beritahu apa sifat-sifat khawarij misalnya, apa itu khawarij dan bukan cop orang sebagai khawarij sehingga orang awam yg tak pernah dengar perkataan tu jadi terpinga-pinga.

Senior

Semalam rasanya saya terjumpa blog seorang senior yang sudah grad, tapi rupa-rupanya masih belum bekerja sebab ambil masa hampir setahun untuk menghafal Al-Quran di maahad tahfiz. Saya teruja membacanya. Apakah mungkin saya pun akan mengikuti jejak langkah beliau? Perancangan dan perjalanan hidup saya pasti akan berubah kalau saya buat macam tu sebab biasalah lepas grad mestilah nak kerja untuk cari makan. hmmm. Tak dinafikan, saya memang ada hasrat yang macam itu, menghafal Al-Quran. kalau dapat hafal dan faham maknanya, letaklah saya di mana-mana sekalipun, dalam penjara ke, insyaallah akan survive jugak. Sebab ada teman.


Ada lagi yang saya nak tulis, bersambung dalam Hidup itu singkat #3.

Wednesday, April 11, 2012

Hidup ini singkat #1

Anonymous

Saya rasa saya terpaksa 'disable' komen dari anonymous. Sebab sesetengah anonymous menakutkan saya. Komen-komen oleh anonymous membuatkan saya rasa serba salah, sebab takut tulisan saya difahami dari sudut lain oleh mereka.

Saya rasa apa yang saya boleh cakap ialah, Allah dah bagi petunjuk, maka teruskanlah kehidupan masing-masing. Allah buat hati tenang, sekalipun ada masa-masa hati itu resah, tak tenang, still Allah buat hati itu yakin.


Lawak

Hari ini kelas pertama untuk cycle Therapy. Saya pun tanya lah cikgu therapy, Khortieva yang terkenal dengan ayat-ayat beliau seperti : Stop! Malchi (senyap!) ....saya tanya dia,

"Mungkin cikgu ada koleksi X-ray yang boleh kami copy dari cikgu?"
Sebab final exam dah dekat, dan saya rasa sekali sekala jadi pelajar proaktif bagus jugak.

Jawab cikgu, " Sebenarnya, macam ni....saya rasa kamu semua nanti masa exam, kamu akan jawab dengan Emelyanov. Dia Dekan kamu kan..."
Saya dengan rakan-rakan tak faham. So kalau jawab dengan dia kenapa?

"Jadinya, Emelyanov tuh....SAYANGKANkan kamu semua pelajar Malaysia. Kamu semua konfem lepas punya lah"
LOL. Kejadaaah!!!! Saya tengah semangat nak proaktif, belajar untuk exam....kenapa bagi galakan untuk tak study pulak nih!!!

Siap cikgu tersebut menambah, " Lagipun saya ada kenalan juga, dia pun akan jadi examiner kamu juga. Saya akan cakap kat dia supaya buat baik dengan korang, supaya kamu tak susah....".

Zzzzzz. Bagus betul. Allah buat hati kita tenang melalui mulut cikgu sendiri. hahahahaha. Apa-apa pun kena study jugak. Jangan percaya kat orang sangat 100%. Apa-apa pun boleh jadi.



Prof. Muhaya

Saya asal-asalnya tak adalah minat sangat dengan prof ni. Siap masa mula-mula jadi fenomena dulu, masa tengok video dari komputer kawan, saya 'ter'lepas cakap, kata, ah, bosanlah. Sebab rata-rata orang asyik obses je....ugh serius saya tak sengaja.

Tapi lepas dengar satu rakaman ikim nih diperoleh dari sebuah blog yang saya tak ingat siapa punya...saya pun bertekad nak cari lagi di internet. Maka inilah apa yang saya jumpa.

http://e-usrah.com/audio/koleksi-segmen-islam-itu-indah-dari-prof-muhaya

http://www.ikimfm.my/ikimfm/index.php?option=com_content&view=article&id=76

Baguslah prof Muhaya, dalam rakaman ikim.fm tuh, memang  moment lawak ada, moment sedih hampir nak nangis pun ada mendengarkan luahan hati orang-orang yang mengadukan perasaan atau masalah kat prof. Harap dapat jadi macam prof jugak. Bukan dari segi buat orang nangis, tapi dari segi jadi inspirasi dan membantu masyarakat selesaikan masalah hidup mereka. Bila kita ada asas yang kukuh, kita semua pun mampu bantu orang lain juga di samping diri kita sendiri.



Sang pencerah

Pagi semalam tengok satu video nih yang dikongsikan oleh twitter Dr. Asri....



Petangnya baca Al-Quran dan memang sampai kat ayat ini juga :

Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.
(Muhammad, 47:7)

Ok bosanlah kan kalau nak cerita kes terjumpa je hari-hari...sebenarnya, kalau seseorang itu baca satu Al-Quran habis setiap hari, sah-sahlah dia akan terjumpa jugak ayat-ayat yang dia pernah terserempak hari itu. Itu pun KALAU.

Teringat pula kepada Kak Ayu yang pernah nasihat saya waktu saya masa second year kat sini. Dia pesan, jagalah Allah, Allah akan jaga saya. Terbaik. Masa tu memang jarang buka Al-Quran, tafsir apatah lagi. Jadi bila diberi nasihat macam ni, memang bagus. Saya tak ingat samada kak Ayu tu cikgu ke ustazah, tapi memang pada pandangan saya, kak Ayu juga adalah one of the good souls. Dan tolong jangan pedulikan takrifan good souls pada saya, saya memang main bantai je sebut.



Ya, saya salah

Sebenarnya pernah tak kita alami, bila kita dalam usrah ke, atau waktu dengar ceramah atau tazkirah...ketika orang lain bagi pengisian tu, kita rasa teguran-teguran dia memang nak hala kat diri kita sendiri? Kita fikir, 'Eh, dia nak cakap pasal aku ke ni? Biar betul...panas pulak aku nak dengar...'

Benda ni memang terjadi kat saya pun baru-baru ni. Ya Allah, kalau betullah dia memang nak tuju kat saya, memang segan lah....rasa panas pun ada. Rasa macam, "kau ingat kau bagus sangat ke? takde dosa? bidaah-bidaah yang kau buat tu pun dosa jugak la...cuma kau je yang nampak benda tu takde masalah..".

Ugh. Mujur ada suara yang mengingatkan saya, kalau kita kerja nak point out salah masing-masing, sampai bila-bila pun tak habis. Contohi para sahabat. Bila ditegur, mengaku salah je terus, tak payah nak cakap banyak. Senang. Tumpu kat diri sendiri.....kesalahan dia tu tak perlulah kita nak tegur hanya sebab kita marah kita ditegur.



Sejam video ni, kalau semangat nak tengok, boleh lah tengok.

Ego

Kita susah nak dengar apa orang cakap sebab kita ego. Seriously. Bila kita rasa kita lagi bagus (ego), rasa panas sebab orang tegur, memang tinggal harapan je lah kata-kata nasihat member kita tu nak masuk dalam hati. Saya rasa la, apa yang kita boleh buat ialah, anggap teguran kawan tadi tu (kat dalam majlis yg ramai orang), dia tak maksudkan kita, dia tak tahu pun kita buat kesilapan tu...jadi kita ambil peluang tu utk lepas ni kita dah takkan buat lagi dah.  Tapi, kalau memang dia point out kita la yang salah tu dalam majlis, ataupun cakap sehingga memang obvious kita la yang salah tu, memang sangat SUKAR lah untuk terima. Kadang-kadang memang harus lah kena penyepak. (Perkataan tersebut hanyalah simbolik, maaf). Saya memang tak suka sangat pun kena sindir-sindir ni sebenarnya. Saya lagi senang ditegur secara private.

Kalau kawan kita tu betul kawan kita, dan dia nak tegur kita...dia pasti boleh tegur kita tanpa buat kita terasa hati. Bila kita masih terasa hati atau dalam kes lain, kita pulak adalah orang yang nak menegur tu masih rasa tak tahu macam mana nak cakap dengan kawan kita yang buat salah, itu hanyalah membawa pengertian bahawa kita dan orang itu memang belum betul-betul berkawan baik lagi.

Lagi satu cara nak kikis ego adalah, be harsher to yourself. Ataupun melatih diri mempunyai skil muhasabah diri yang mantap. Seolah-olah anda ada 'mata ketiga'.

"Ketahuilah bahawa, nasihat dan teguran korang semua tak akan mencalarkan sedikit pun ego saya sebab saya mengutuk dan mencela kesalahan-kesalahan saya lebih teruk lagi dari korang semua. Jadi sebelum kamu tegur saya ni, saya dah terlebih dahulu menegur diri saya sendiri. So benda ni bukan benda baru, terima kasih kerana mengingatkan. "

lebih kurang macam tu lah.



Bersambung dalam Hidup ni singkat #2. Penat pulak nak tulis.


Tuesday, December 20, 2011

Cycle Forensik. Derma Organ.



Untuk hari ini, bermulalah cycle baru iaitu cycle forensik. Saya tidak tahu apa itu cycle sehinggalah saya merasainya bermula tahun keempat pengajian. Senang cerita, perbezaan cycle dengan jadual kelas 1st-3rd year adalah anda hanya belajar satu subjek sahaja setiap hari untuk satu tempoh tertentu. Tak perlu lagi belajar 3-4 subjek sehari untuk setiap hari dengan 3-4 orang cikgu.

Ini adalah cycle terakhir sebelum habis sem untuk tahun ini. Setelah penat lelah seminggu dengan Cikgu 'Armenian' untuk cycle infection yang berfokuskan pada differential diagnosis, sekarang masa untuk berasa lega. Mana tak penat lelahnya? 3hari terakhir cycle tersebut, elok-elok sebelum ni 5tahun belajar medik tak pernah buat study group yang proper, 3hari tersebut kami mula membuat study group. Tak adalah study group sangat, cuma nak kurangkan kerja membuat nota sahaja. Apa-apa pun, cycle tersebut sudah tamat.

Dikatakan cycle forensik adalah cycle paling rileks untuk sem ini, siap ada yang tak datang lagi a.k.a tuang kelas. Namun ada juga group yang didenda kerana berita perbuatan mereka ponteng sampai ke pihak atasan.

Ini baru hari pertama. Cikgu comel, dan saya look forward untuk belajar forensik dengan dia. Lol niat dah salah. Cikgu tu dah agak berumur lagipun. Hari pertama, dia menunjukkan gambar-gambar ngeri kemalangan kereta dan juga video bagaimana autopsy (bedah mayat) dibuat di Rusia.




Di bawah adalah gambar-gambar carian google yang lebih kurang sama ngerinya dengan gambar yang ditunjukkan kepada kami.





Maaflah letak gambar 18SG di sini. Tapi memang gambar-gambar macam inilah yang ditunjukkan kepada kami. Mungkin ada antara kita yang dah biasa tengok filem-filem ganas dan ngeri seperti Final Destination, Saw, Hostel, Texas Chainsaw Massacre dan sebagainya; tapi itu hanyalah filem. Kita hanya menghadap skrin. Kita tak bau, kita tak sentuh, kita tak rasakan aura sebenar situasi-situasi tersebut. Nak-nak pulak kalau kita tengok cerita tersebut beramai-ramai di siang hari.

Mengikut cerita cikgu, kalau tak silap saya gambar-gambar kemalangan yang ditunjukkan itu berlaku di jalan yang memang kami biasa gunakan pergi kelas. Siapa boleh sangka, jalan yang pada waktu siangnya itu sibuk pada malamnya boleh jadi kubur buat beberapa orang. Tambahan pula, Volgograd adalah bandar yang agak kampung, bukannya betul-betul bandar macam KL atau Moscow pun.


Derma Organ.

Sedang kami melihat video autopsy itu, topik derma organ tiba-tiba muncul.

"Orang Cina ramai yang mendaftar jadi penderma organ", kata seorang rakan berbangsa Cina.
"U pun daftar la", sampuk seorang lagi.
"Uish, I tak tahu lagi nak daftar atau tak...." balas rakan itu kembali.

Saya pun ada juga tambah, "Eh, bagus la derma organ..dapat pahala kot! Selagi orang yang kau derma tu masih hidup, buat benda baik..."
Tapi dicelah oleh rakan lain pula, "Kalau tak silap aku, aku ada jugak baca pasal benda ni dari sudt pandangan islam. Aku lebih ikut pendapat yang kata tak boleh derma organ..."

Hmm. Kena tengok balik ni. Kalau sah-sah tak boleh, disebabkan dalil-dalil yang kukuh, tak apalah, lupakan sahaja lah niat baik itu. Banyak lagi benda baik lain yang boleh dibuat.

Jadi saya pun google. Ada DUA pendapat dalam hal ini, BOLEH dan TIDAK BOLEH. Terus klik satu link pertama dan jawapan yang saya dapat ialah, TIDAK BOLEH.

1. Link yang mengatakan tidak boleh adalah ini - Hukum Derma Organ

Antara hujah yang digunakan adalah,

Hukum pemindahan organ bagi penderma yang telah mati. Hukum pendermaan organ bagi penderma yang telah mati adalah haram sama sekali. Ini adalah kerana, tubuh si mati bukanlah hak dirinya lagi ataupun warisnya, melainkan haknya kembali kepada Allah. Oleh itu, adalah haram untuk melakukan pewarisan mana-mana organ untuk didermakan setelah meninggal. Selain itu, Islam telah mewajibkan penghormatan terhadap mayat dan mengharamkan penganiayaan terhadapnya, di mana dosanya sama seperti menganiaya orang yang masih hidup. Daripada A’isyah RA, Rasulullah telah bersabda:

“Memecahkan tulang mayat itu adalah sama dengan memecahkan tulang orang yang hidup” [HR Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Hibban].


2. Pendapat yang mengatakan BOLEH. Saya mencari lagi dan kemudian jumpa link-link lain yang berkaitan. Diingatkan bahawa, saya menggunakan perkataan BOLEH dan TIDAK BOLEH adalah untuk memudahkan keadaan walaupun penggunaannya agak tidak tepat.

Link-link yang berkaitan adalah :
http://islamqa.info/en/ref/107690
http://islamqa.info/en/ref/49711
Ustaz Zaharuddin
PDF Penjelasan MUIS berkaitan Derma Organ

Hampir kesemua link-link itu kandungannya adalah sama antara satu sama lain, boleh dianggap selaras. Maka untuk mudahkan cerita saya akan terus petik tulisan Ustaz Zaharuddin sebab ianya Bahasa Melayu. Kalau hendak baca bahasa Inggeris, boleh tekan link islamqa, dan juga pdf MUIS tersebut (ada versi English juga di dalamnya).

a) Memindahkan organ seseorg pesakit dari satu bahagian dari tubuhnya ke bahagian lain tubuhnya juga.
Hukumnya : HARUS, dengan syarat :-
i. Kepastian manfaat yang bakal diperolehi adalah lebih tinggi dari mudarat yang mungkin menimpa hasil pemindahan.
ii. Pemindahan tersebut tidak menyebabkan mana2 anggota yang diambil, hilang upaya dari menjalankan fungsi asalnya.


b) Memindahkan organ seseorg pesakit pesakit lain.
Hukumnya : HARUS , dengan syarat :-
i. Ia terdiri dari anggota yang akan pulih dan boleh tumbuh semula seperti darah dan kulit.
ii. Mestilah penderma mempunyai keahlian dari sudut umur dan aqal dalam membuat keputusan tersebut.


c) Memanfaatkan sebahagian angggota yang dipisahkan dari tubuh kerana keperluan akibat sakit tertentu, lalu didermakannya untuk orang lain. Seperti Kornea mata
Hukumnya : HARUS dengan syarat-syarat manfaat melebihi mudarat.


d) Memindahkan Organ yang boleh menyebabkan kematian penderma seperti Jantung
Hukumnya : HARAM


e) Memindahkan Organ yang boleh menghilangupayakan fungsi anggota tersebut dari tugas utamanya dalam keadaan tidak mengancam nyawa penderma. Seperti derma kornea mata kedua-duanya, kedua-dua tangannya.
Hukumnya : HARAM, kiranya didermankan hanya sebelah kornea, terdapat khilaf di kalangan fuqaha, yang lebih kuat adalah Haram kecuali kiranya tersgt diperlukan.


f) Memindahkan anggota mayat kepada seorg yang hidup yang hidupnya bergantung kepada anggota itu.
Hukumnya : HARUS, dengan syarat mendapat keizinan si mati (sebelum matinya) atau warisnya selepas matinya atau izin pemerintah kiranya si mati tidak diketahui warisnya.


g) Memindahkan organ binatang kepada manusia
Hukumnya : HARUS, dengan syarat haiwan yang halal di makan dagingnya.


h) Menjual Organ-organ yang ingin dipindahkan atau penderma mengambil bayaran yang ditetapkan hasil organnya
Hukumnya : HARAM, kecuali jika si penerima @ mana-mana pihak ketiga memberi hadiah secara sumbangan penghargaan tanpa ditetapkan sebelumnya.



Persoalan-persoalan yang timbul

1. Mana sumbernya? Main ikut sedap mulut je...
Isu derma organ adalah isu baru atau kontemporari. Namun begitu, pendapat-pendapat yang membolehkan ini telah dikeluarkan oleh pelbagai Majlis Fatwa seperti Majma’ Al-Fiqh Al-Islami, Majlis Tertinggi Ulama di Riyadh, Fatwa Mufti Mesir, Dr Muhammad Syed Tantawi, Majlis Fatwa Kuwait, Fatwa Dr Yusuf Al-Qaradhawi, Fatwa dari Majlis Fatwa Kebangsaan, Malaysia dan lain-lain lagi.

2. Ditulis di situ bahawa organ yang dibolehkan derma adalah yang jika kita derma akan dapat menyelamatkan hidup pesakit, seperti jantung. Bermakna mendermakan kornea (mata) adalah tidak boleh?
Kalau kita lihat balik ulasan di website UZAR, dinyatakan bahawa HARAM untuk penderma yang masih hidup mendermakan dua-dua belah mata. Namun terdapat perselisihan bagi pendermaan sebelah mata sahaja. Itu bagi yang masih hidup. Kalau yang masih hidup pun, masih ada ruang untuk berselisih pendapat mendermakan sebelah mata, pada pendapat saya (baca : PENDAPAT SAYA SEMATA-MATA), apalah salahnya jika si mati ingin mendermakan matanya kepada orang lain.

Tolong perbetulkan saya jika saya salah. Saya rasa bahannya terlalu banyak sehinggakan saya tidak dapat mencari sumbernya yang tepat, namun ini adalah apa yang saya faham daripada pembacaan tersebut.

3. Bolehkah menderma kepada orang bukan islam?
Ini adalah salah satu sebab mengapa ramai umat islam tidak mendaftar menjadi seorang penderma. Berdasarkan pembacaan saya, ianya dibolehkan. Saya petik satu bahagian dari buku keluaran MUIS itu:

Rasulullah S.A.W. diutuskan kepada alam semesta sebagai rahmatan lil
aalamin, rahmat bagi seluruh alam, kepada semua umat manusia, samada
yang beragama Islam, atau bukan Islam. Islam mengajar umatnya berbuat
baik dan bersifat ihsan kepada semua makhluk ciptaan Tuhan, apatah
lagi kepada manusia yang memerlukan bantuan. Ini termasuk bantuan
yang boleh diberikan kepada orang yang bukan Islam yang hidup damai
dan sejahtera dengan umat Islam.

Jadinya Boleh. Namun ada pula yang kata, kalau kita bagi organ kepada orang bukan islam, kita juga perlu tanggung dosanya. Pernyataan ini adalah tidak valid sama sekali. Ini juga diulas dalam buku MUIS itu. Niat kita adalah untuk membantu orang yang di dalam kesusahan, dan urusan agama seseorang itu adalah urusannya dengan Tuhannya.

Saya petik :

Tanggapan bahawa seseorang yang telah menderma organnya akan
dianggap sebagai bersubahat dan menanggung dosa apabila didapati
bahawa penerima organnya melibatkan diri dalam perkara yang dilarang
Islam adalah tidak benar. Jika penerima organ membawa kemudaratan
kepada diri sendiri hingga menyebabkan kerosakan organ yang diterima,
atau secara umunya melakukan perkara-perkara yang dilarang Islam,
dosanya akan ditanggung sendiri tanpa melibatkan mereka yang telah
mendermakan organ kepadanya.


Allah S.W.T telah berfirman:
Maksudnya: “Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap
seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan
seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang
lain (bahkan dosa usahanya sahaja).”
 Al-An’am, ayat 16

Masih ingatkah kita dengan kisah nabi Muhammad berdakwah di Taif? Namun begitu masyarakat di sana tidak menerimanya malah mencederakan Nabi, hinggakan darah Nabi mengalir dan bergenang dalam kasut baginda. Malaikat menawarkan untuk menindihkan Taif dengan dua gunung namun Nabi menolaknya, bahkan berharap agar dari mereka akan lahir keturunan yang memeluk agama Islam.

Kisah penuh boleh dilihat di video ini :



Doa Nabi Muhammad (saw) yang merupakan doa yang sangat menarik dalam seluruh sirah Nabi :


"Wahai Tuhanku, kepada Engkau aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya upayaku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah kepada siapa Engkau menyerahkan daku? Kepada musuh yang akan menerkam aku ataukah kepada keluarga yang Engkau berikan kepadanya urusanku, tidak ada keberatan bagiku asal aku tetap dalam keredhaan-Mu. Dalam pada itu afiatMu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya muka-Mu yang mulia yang menyinari segala langit dan menerangi segala yang gelap dan atasnyalah teratur segala urusan dunia dan akhirat, dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahan-Mu atau dari Engkau turun atasku azab-Mu kepada Engkaulah aku adukan halku sehingga Engkau redha. Tidak ada daya upaya melainkan dengan Engkau"

p.s : Saya yakin kisah di atas adaalh kisah yang sahih. Sheikh Yasir Qadhi was born in Houston, Texas and completed his primary and secondary education in Jeddah, Saudi Arabia. He graduated with a B.Sc. in Chemical Engineering from the University of Houston, after which he was accepted as a student at the Islamic University of Madinah. After completing a diploma in Arabic, he graduated with a B.A. from the College of Hadith and Islamic Sciences. Thereafter, he completed a M.A. in Islamic Theology from the College of Dawah.

Sunday, October 30, 2011

Tukar Masa dan Tukar Paip


Alami tiga mimpi ngeri berkisar 3 perkara; pergaduhan dengan ahli keluarga, pencarian pasangan hidup dan juga tentang dosa dalam masa 2 jam. Huh. Gila.

Semalam janji dengan seorang kawan, "Kalau dah pukul 800pagi kau tak dengar apa-apa berita dari aku, minggu depan je la kita jogging".

"Kau ye-ye je. Harapnya kau bangun la".

Ternyata saya tak dapat capai apa yang diharapkan. Namun saya masih meneruskan plan saya untuk berjogging pada hari ini, iaitu pada pukul 830pagi.

6tahun belajar di sini, tak pernah lagi semangat berjogging. Mungkin sebab rasa tak puas hati dengan kekurangan stamina yang diperlukan untuk bermain dalam liga futsal, maka cuba buat sesuatu dengan harapan stamina saya akan meningkat. Yeah. Kalau tak berjaya tingkatkan stamina ni alamatnya baik saya berhenti je main bola.

Berjogging seorang diri mungkin lebih baik sebab kita mempunyai masa untuk menentukan tahap kemampuan kita sendiri tanpa sebarang tekanan. Our own race. Mungkin saya boleh berjogging untuk 5minit sahaja kali ini, minggu depan boleh tambah lagi 5minit. Betapa ramai antara kita banyak habiskan masa, tenaga dan duit hanya untuk duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan orang lain. Bosan, saya cakap benda yang sama berulang kali.

Pertukaran waktu

Saya selesai berjogging, balik ke rumah dalam pukul 9pagi dan menghadap komputer sampai pukul 10pagi. Kemudian keluar bilik untuk menjenguk rakan-rakan serumah yang lain. Hairan. Jam di dinding masih menunjukkan pukul 9pagi. Bukan dah pukul 10pagi ke?

Saya pun membincangkan perkara ini dengan kawan-kawan serumah.

Agak kecoh pagi itu dengan masing-masing cuba mempertahankan 'kebenaran' jam masing-masing.

"Handset aku dengan komputer aku sentiasa 'update automatically' ikut internet. Waktu aku la yang betul"

"Kecoh ape, aku punya komputer pun update ikut internet"

"Kalau tak percaya jugak, baik kita 'on' tv tengok dia tulis pukul berapa.."
Saya buka tv, dan ternyata waktu handset saya sama seperti yang tertera di kaca tv.

"La tv pun salah waktu jugak...", kawan saya mengelat.

"Hahaha. Tak mampu terima kebenaran".

Cahaya matahari adalah komoditi yang bernilai di negara-negara bermusim, terutamanya menjelang musim sejuk. Kebiasaannya masa akan ditukar dua kali setahun, satu jam akan ditolak pada musim sejuk dan menjelang musim panas, satu jam ditambah semula. Pertukaran masa ini dipanggil 'Daylight savings time' atau DST. DST diaplikasikan agar penduduk-penduduk di negara bermusim ini mendapat pendedahan yang maksimum kepada cahaya matahari.

Antara kelebihan DST (pada musim sejuk) adalah lebih banyak aktiviti dapat dijalankan pada waktu siang hari, mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan kulit kita dapat menghasilkan lebih banyak vitamin D.
Namun begitu beberapa masalah juga selalu timbul. Tak semua sedar akan pertukaran waktu ini dan menyebabkan perjalanan kerja terganggu, produktiviti terjejas, kelas dan meeting tidak berjalan seperti yang sepatutnya, mengganggu kitar tidur normal yang sudah menjadi rutin harian dan lain-lain lagi.

Itu tak termasuk lagi masalah-masalah yang dihadapi oleh binatang ternakan yang akan keliru dengan jadual makan mereka.

Rupa-rupanya Presiden Rusia, Medvedev telahpun mengumumkan pada tahun lepas bahawa tidak akan ada DST lagi untuk negara Rusia bermula 2011.

Jadi lepas ni tak perlu lagi nak pening-pening kepala nak tukar jam. Perbezaan waktu Rusia dengan waktu Malaysia kekal 4Jam.

Tukar sistem perpaipan

Selain pertukaran waktu, setiap tahun akan ada masa-masa tertentu di mana bekalan air di sesuatu kawasan terputus. Di sini wujudnya satu sistem pemanasan yang berpusat (central heating system). Pemanasan di Rusia menurut pemahaman saya adalah dengan menggunakan steam. Air akan dipanaskan dan stim yang terhasil akan disalurkan melalui paip ke setiap rumah, malah ke setiap bilik.

Untuk dua kali setahun, bekalan air akan dihentikan; satu kali untuk 'on' sistem tersebut dan satu kali untuk 'off' sistem tersebut termasuklah kerja-kerja penyelenggaraan.

Kita mungkin pernah dengar tentang Earth Hour. Pada tarikh tertentu, satu jam pada waktu malam yang ditetapkan, semua orang digalakkan (bukan dipaksa) untuk menutup segala lampu yang ada. Untuk tempoh sejam, satu dunia bergelap.

Bagi saya idea tersebut adalah suatu idea yang menarik. Sedikit sebanyak istilah 'perkampungan global' itu boleh dipakai di sini.Saya percaya satu masa nanti umat manusia akan disatukan, sempadan-sempadan negara akan dipadam dari peta dunia dan nilai-nilai kemanusiaan akan dijunjung tinggi. Dan agama apa lagi yang mengangkat hubungan manusia dengan manusia tanpa mengenepikan hubungan manusia dengan Pencipta kalau bukan agama Islam kan?

Nak dijadikan cerita, tak semua orang bersedia menghadapi putusnya bekalan air. Nak-nak pula kami yang tidak lagi duduk di hostel dan jarang menonton berita. Silap haribulan, semua member satu rumah tak mandi pagi pergi kelas.

Saya ada seorang kawan dan dia membuat pengakuan dia tak suka mandi pagi, dan benda tu sebenarnya kebiasaan sesetengah orang. Berdasarkan penjelasan kawan saya tersebut, ditambah dengan musim sejuk dan juga hari bekalan air dihentikan sementara saya pun beranggapan bahawa seluruh penduduk bandar Volgograd ini tak mandi pagi.

Saya masih belum mendapat pengesahan tentang perkara ini dan mungkin tidak akan dapat pengesahan tersebut sampai bila-bila (siapa berani tanya orang tak dikenali mandi pagi atau tidak?).

Sejujurnya saya tidak dapat menahan diri saya dari memikirkan kemungkinan pakcik atau makcik yang duduk di sebelah saya dalam masyrut, yang berdiri di dalam bas atau mungkin juga gadis yang berwajah ayu itu juga tidak mandi pagi?

Huh, sukar dibayangkan.

Malaysia memiliki iklim khatulistiwa sepanjang tahun dan heater sudah tentunya bukan satu keperluan dalam sesebuah rumah atau bilik. Di sinilah kami pertama kali kenal apa itu heater (alat pemanas) yang dipasang di tepi-tepi dinding bilik.

Saya tidak tahu apakah disebabkan kawan saya itu jakun ataupun memang 'pure opportunist', dia tidak mensia-siakan perkhidmatan pemanasan percuma tersebut. Heater tersebut digunakan secara optimum untuk memanaskan segala benda, dari stokin yang lembab akibat berjalan dalam salji hinggalah kepada sotong-sotong kering yang baru selesai dibasuh.

Manusia dengan daya kreativiti masing-masing membuat saya kagum.

Monday, April 18, 2011

Bertemu dengan Gangster Rusia

Cerita pasal bertemu dengan gangster Rusia tuh ada di bawah sekali. Sebelum itu sukalah saya nak bercerita tentang apa yang berlaku dalam dua hari ini. Semalam dan hari ini.

Semalam saya ada rasa sedih dan ada rasa gembira.
(Why on earth ko nak cerita kisah hidup ko, loser!!!)

Ok, saya bukan nak jadi selebriti. Bagi saya, masa untuk saya menjadi seperti apa yang nasyid di bawah beritahu masih belum tiba.
Tapi saya percaya yang suatu hari nanti saya akan jadi seperti apa yang nasyid itu sampaikan. InsyaAllah.





Semalam.



Saya rasa sedih sebab :
1. Rupa-rupanya intuisi saya salah. Intuisi saya dikaburi oleh perasaan. Jarang intuisi saya salah. Memanglah pandangan mata itu anak panah iblis yang beracun.

Cari balik tulisan lama pasal mata, ada ditulis kat situ,

"Walaupun demikian, pandangan mata juga boleh menipu, dan amat membahayakan."

Saya selalu buat kesilapan berulang kali. Haish.
Betapalah saya sampai buat tiga entri (tak termasuk satu yang belum dipublish) sebab perasaan ini, rupa-rupanya perasaan itu hanyalah salah faham saya terhadap situasi. Ceittt!!!!!

2. Hari ini juga saya dapat tahu sedikit sebanyak tentang apa yang berlaku dan apa latar belakang orang-orang yang dekat dengan kita. Bagi saya ianya memalukan dan sangat menyedihkan jika kita langsung tak tahu bahawa orang-orang yang dekat dengan kita itu mempunyai latar belakang hidup yang susah ke, ada masalah ke apa semua.

Nak bandingkan hidup saya dengan hidup mereka memang saya jauh lebih senang. Mampu ke kalau saya berada di tempat mereka?

Jangan nanti bila kita dah nak grad, dah nak berpisah dan mungkin tak jumpa sampai bila-bila lagi, we realise that we don't have a clue at all about our friends.

Tapi memang ada orang yang suka menyembunyikan kerunsingan hidup. It depends. Kita tak boleh buat apa-apa dan hanya boleh menghormati cara mereka. Macam saya pun, saya rasa,apa kejadahnya nak cerita masalah sendiri kat orang lain? Tapi kalau ada orang bertanya kat saya dengan jujur, boleh je cerita kot. No problem.

Memang perit dengar cerita-cerita sedih terutama bila kita tahu yang susah tu member kita.
Dan ada orang pernah cakap kat saya, kalau kau dengar cerita-cerita sedih macam ni, tak payahlah kau nak cakap kau faham macamana diorang rasa, sebab bukan kau yang alami benda tu. Jadi seperit mana pun yang kita rasa, perit lagilah orang yang memikul.


Saya gembira sebab:
1. Saya berjaya kawal perasaan dan tidak gelabah. Saya dah mengatasi perasaan saya dan menjadi manusia baru. Dengan ini matlamat hidup saya menjadi lebih jelas.

Allah, terima kasih sebab jaga hati saya. Semoga hati itu terus dijaga sampai bila-bila.

2. Dapat tips-tips dan pengajaran yang bermakna daripada perbualan dengan rakan-rakan.
Dapat tahu sedikit sebanyak tentang member walaupun benda tu menyedihkan. One step closer dalam nak memahami orang-orang di sekeliling kita.

3. Mimpi-mimpi indah yang ada pengajaran. Huhuhuh. Tentang budak cute yang innocent, dan perasaan bila ada orang suka kat kita. Lolololololololol what is this?




Hari ini.

Selepas sahaja saya habis kelas therapy yang membincangkan tajuk Rheumatoid Arthritis, saya pun bergegas pulang.

Di hadapan hospital saya terserempak dengan dua orang nenek. Seorang nenek ni ajak saya mendengar dan mempelajari agama mereka, hal-hal berkaitan Jesus. Saya kata, "Tak mengapa". Nenek tu pun membalas sambil meletakkan satu tangan ke atas dada, "Hak kamu. (Nenek tak paksa)".
Saya pun letak tangan kat atas dada jugak, menghormati nenek tu yang nampak baik dan tak mendesak saya.

Saya pun pulang dengan menaiki bas bernombor 15.

Stesen terakhir bas No. 15 terletak berdekatan dengan restoran Riviera. Di hadapan restoran tersebut ada stesen bas juga. Turun sahaja dari bas No 15 saya pergi ke stesen yang lagi satu sebab saya kena pergi universiti untuk hantar 2 keping gambar visa.

Sebelah saya ada seorang pakcik tua yang menggunakan tongkat, pun tengah menunggu bas.

Bas sampai, saya pun naik. Saya yang ketika itu sedang mendengar lagu-lagu balada sangat tidak peka dengan keadaan sekelling. Namun saya sempat menyedari di sebelah saya berdiri seorang gadis bertubuh kecil yang agak comel.

Tiba-tiba saya dihimpit oleh dua orang budak. Seorang budak bertopi yang pendek dan kecil serta seorang budak botak yang gemuk. Sebenarnya dalam bas tersebut masih ada ruang lagi tapi still budak tersebut menghimpit dan menolak saya secara agresif. Saya check poket saya memastikan dompet dan handset saya masih ada. Ok, tak ada benda yang hilang.

Rupa-rupanya ia tak berhenti di situ. Budak gemuk tersebut - lebih pendek 3-5cm daripada saya - macam tengah bercakap sesuatu dengan saya. Saya tanggalkan sebelah earphone saya.

"Apa hal kau ada kat sini? Apa kau buat kat Rusia?"
Gulp. (in case ada orang tak faham, gulp adalah bunyi yang menggambarkan seseorang tengah menelan air liur) Saya dapat rasakan sentimen bencikan foreigner di situ.
- "Be..lajar" jawab saya dengan grammar yang gagal.

"Apa kau pandang-pandang? Tak puas hati? Kau kenal tak geng _______________??!"
Gulp. Saya tak dapat tangkap nama geng yang budak tu sebut. Saya cepat-cepat alihkan pandangan dan buat-buat macam saya tengah tunggu konduktor datang nak tengok pas bas saya.

Ah, sudah. Konduktor tu jauh dan langsung tak perasan situasi yang mencemaskan ini. Gadis comel yang saya sedar ada di sebelah saya tadi rupa-rupanya dah lama dah beralih ke belakang sebab risau keselamatan diri sendiri. Ugh, ni memang tanda-tanda ada fight nak meletus ni.

Worse comes to worst, memang saya terpaksa engage dengan budak ni. In a split second saya yakin saya perlu protect handset dan dompet saya yang berisi lebih kurang 3k rubel dan kad atm (nyawa tak terfikir pulak), dan dalam kepala otak saya terbayang budak gemuk ni terbaring kat lantai bas kena tumbuk bertubi-tubi dengan saya. Yup, at least teknik visualisation itu saya dah ada, tinggal nak carry out je. Berjaya atau tidak itu lain cerita. In terms of saya kurus, budak tu gemuk pun lain cerita jugak.

Sebenarnya di hadapan saya itu ada seorang makcik Rusia dan pakcik bertongkat itu tadi. Pakcik bertongkat tu memang tak boleh buat apa-apa pun. Saya jenguk dalam bas tu pun memang tak ada lelaki lain yang berpotensi untuk kawal keadaan. Shoot. Mujurlah makcik bercermin mata depan saya tu dengan beraninya sound budak-budak tu. Saya tak dengar sangat apa yang makcik tu cakap kat budak-budak tu, tapi ada jugak faham sikit yang budak tu nak saya pun turun dengan dia. Saya buat tak dengar je. Saya sentiasa pandang ke arah konduktor menunggu dia datang kat saya untuk saya tunjuk pas bas saya. Macamlah penting sangat tunjuk pas bas dalam saat-saat mencemaskan ni.

Makcik depan saya tu desak budak-budak tu turun kat next stop. Selepas dah confirm tengok budak-budak tu turun bas, saya pun menarik nafas lega dan tersenyum (senyum untuk tunjuk kat orang lain yang saya tak gelabah langsung masa di'provoke' tadi walaupun sebenarnya saya sangat gelabah). Saya pun cakap kat makcik tuh,
"Terima kasih banyak-banyak kat makcik".

Alhamdulillah. Tengok-tengok makcik Russian jugak yang berjaya kawal keadaan. Cis,xenophobic skinhead. @#$@#$@#$. Tak guna betul. Sampai rasa tak selamat jugak on the way nak balik rumah lepas tuh. Huh.......

This is a picture of a happy bald man, not a xenophobic skinhead.

Ok, cerita ni mungkinlah ada exaggeration, padahal takde apa-apa pun yang berlaku. Sorila kalo besar-besarkan cerita, sebab saya sangat mudah men'drama'kan keadaan. Terpulang kat kalian bagaimana mentafsir dan mengambil langkah berjagajaga selepas ini.

Ingat nak taruk kat sini cerita-cerita yang lebih dahsyat, pengalaman-pengalaman mereka yang pernah melalui keadaaan seperti kena belasah apa semua, tapi lain kalilah. Nanti ramai pulak yang takut tak tentu pasal.
Sekian.

Saturday, April 16, 2011

The Way Back


Baru-baru ini saya ada menonton sebuah filem. Ok, mungkin saya tengok filem tersebut disebabkan ada Saoirse Ronan yang pernah berlakon dalam City of Ember dan Lovely Bone, tapi overall filem The Way Back sangat best dan bermakna. Tak rugi saya habiskan 2 jam masa saya dalam masa 2-3hari untuk habiskan filem tersebut. (See? saya sangat busy sebagai student medik, tak mampu nak habiskan satu flem sekali lalu pun - jadi sila hargai masa korang).

Poster The Way Back


Apa sinopsis cerita ni?

Siberian gulag escapees walk 4000 miles overland to freedom in India.

Simple je sinopsis dia. This film i think is one of the underrated films - filem-filem yang tak popular sangat tapi sebenarnya gempak giler. Boleh google atau search kat youtube untuk tengok trailer filem tersebut.


Part paling best. Pengajaran.
Saya tengok cerita tersebut dan saya boleh cakap ada three main points, iaitu :

1. Jangan putus asa. Sentiasalah bertawakkal kepada Allah.

...dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),


Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
(At-Talaq, 65 : 2-3)


Allah beri jalan keluar, Allah beri rezeki dari jalan yang tak terlintas langsung kat hati kita.


2. Hidup dan mati itu salah satu ketentuan Allah.

Kamilah yang menentukan (dan menetapkan masa) 'maut' di antara kamu, dan Kami tidak sekali-kali dapat dikalahkan.
(Al-Waqiah, 56:60)

Power gila rasa ayat kat atas. Tak rasa ke? Baik,saya akan ulang sekali lagi.

Kami tidak sekali-kali dapat dikalahkan.

Kalau kita dengar kupasan Nouman Ali Khan untuk tafsir surah Al-Mulk, ayat kedua, Nouman Ali Khan menjelaskan kepada kita bahawa dalam bahasa Arab, maut mempunyai konsep yang sangat luas, bukan semata-mata kematian. Maut adalah lawan bagi hidup. In other words, maut is lifelessness. Ya, mati juga adalah lifelessness, tanah kering kontang dan tumbuhan tak dapat hidup pun adalah lifelessness. Jadi selepas ini kalau terdengar perkataan 'maut', sila bayangkan seluruh lifelessness yang ada kat alam semesta ini. Sekian.


3. Semangat setiakawan yang tinggi.

Memang, kita letak kepercayaan hanya kepada Allah. Dalam masa yang sama, semangat setiakawan adalah sesuatu yang sangat dipuji. Anda tengok sendiri la, malas saya nak cakap banyak.





Tribute kat cikgu Russian Language saya, Brikalin Vladimir Andreevich.

Hari Khamis, 14 April 2011, dia dah pergi.
Sehari sebelumnya, kami sempat ada satu kelas dengan beliau. Kamilah kelas terakhir agaknya dengan beliau sebelum ketentuan ini berlaku.

Berita pemergian itu datang mengejut, dan kami tak jangka benda itu boleh berlaku. Sebab semasa beliau bersama-sama dengan kami, memang nampak sihat sangat. Kalau 2-3 kelas sebelum ini beliau agak 'psycho' dan memarahi kami, hari sebelumnya itu memang baik, macam semester-semester yang lepas sewaktu kami bersama dengan beliau.

Masa kelas terakhir itulah baru saya tahu macam mana nak eja nama beliau. Brikalin, dieja Брыкалин instead of Брикалин.

Dan masa kelas terakhir itu jugalah beliau sempat cakap (dalam bahasa Rusia),
"I can surely say no one in this class is симулянт/ pretender"

Kata-kata itu adalah antara yang buat saya gembira sebab saya dan dua orang rakan lagi adalah antara yang mengelat tak pergi kelas russian language. Walaupun sedikit sebanyak saya boleh dikatakan sebagai pretender, tapi saya gembira sebab cikgu tak cop saya sebagai pretender.

Dang.

Bila seseorang itu dah tiada, baru kita nak gelabah. Nak sedih ataupun ingat jasa dia kat kita, padahal sebelum itu kita tak perasan pun kebaikannya kat kita.

Pernah je antara kawan-kawan saya complaint pasal cikgu ni, teruk apa semua. Saya pun ada kadang-kadang tak puas hati, tapi honestly saya tak simpan dalam hati pun (selepas 3hari max). Kadang-kadang ada sampai nak buat lawak nak taruk kulit pisang la supaya cikgu tu jatuh apa semua. (ok diorang tak buat, sekadar melawak). Cikgu tu dah la jalan sedikit terhincut, ada dropped left hand lagi, boleh nak buat lawak macam tu. Saya tak ingat adakah saya ikut gelak masa diorang buat lawak tuh. Tapi kalau saya pun ikut gelak, memang celakalah. Celaka.

Brikalin Vladimir Andreevich, seorang cikgu yang memiliki pandangan tentang hidup yang best, even dia siap tahu lagi perbezaan dan persamaan antara agama Islam dan agama Kristian Ortodoks, pemergian beliau memang suatu kehilangan.

Brikalin Vladimir Andreevich

....Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:
(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
(al-Baqarah, 2 : 155-156)

Monday, May 24, 2010

Tenis

Pagi ini selepas bersarapan leher ayam goreng bersalut tepung Kentucky (yang digoreng semalam), dua bar coklat dan dua tiga teguk air kosong saya pun pergi ke stadium untuk bermain tenis. Kelihatan Faiz dan Pokwe sudah menunggu. Kelibat orang yang mengajak saya awal-awalnya masih belum muncul. Cis. Kalau tahu macam ni lebih baik saya datang sejam lebih lewat dari waktu yang diberitahu oleh rakan yang tak serupa bikin itu.

Kemudian datanglah Nazrul, Yadi dan Sofwan. Main tenis ni kalau anda semua nak tahu, sebenarnya senang sahaja. Saya seorang boleh mengalahkan mereka berlima, noobies yang cuba bermain tenis tapi malangnya tak berbakat. Hahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahaha. Sekian.

Wednesday, January 6, 2010

Doktor yang berbakti

Hari ini adalah hari terakhir simposium PPIM. Saya tak tahu, mungkin hanya saya sahaja atau orang lain pun rasa begitu - saya rasa agak kosong, atau mungkin sedih dari satu sudut lain. Perasaan yang sama pernah dialami sewaktu tamatnya program-program seperti Kem BTN, Bina Insan, Youth Science Camp, perkhemahan PKBM, daurah-daurah dan jaulah-jaulah serta lain-lain lagi.

Mungkin sebab tertanya-tanya apa lagi selepas ini? Benda baru yang menarik? Yang boleh membantu perkembangan diri samada dari segi spiritual atau pun intelektual?
(memang nampak poyo bila semangat anda berkobar-kobar)

Tapi orang tua-tua sentiasa ingatkan dengan nada memerli:

"Hangat-hangat tahi ayam"

Lagipun, islam itu agama yang syumul, bukan sekadar teori tetapi juga memerlukan praktiknya, praktikal. Saya tak ingat istilah khusus yang merujuk teori dan praktikal sekaligus, Karen Armstrong pernah sebut, saya tak ingat. Sesiapa yang ingat sila beritahu saya.

MERCY, Islamic Relief, Gaza relief

Kembali kepada pengisian prof hari ini. Prof. bercerita tentang pengalaman beliau. Meredah kawasan yang biasa dihujani bom, bercerita tentang triage, peluru tertanam dalam bontot (rakan sejawatan) dan sebagainya. Tayangan video tentang MERCY tersebut memang menarik (jika saya jumpa saya akan upload dan kongsi di sini). Luahan-luahan hati yang jujur daripada doktor-doktor Malaysia pelbagai bangsa disertakan dengan gambar-gambar dan klip-klip video yang menunjukkan kecelakaan-kecelakaan yang berlaku di seluruh dunia buat saya rasa terpukul.

"hidup yang seperti sampah ini apa salahnya pergi berusaha berbakti di medan perang menyelamatkan ramai orang; jika ditakdirkan Tuhan peluru terbenam dalam kepala atau diserang oleh Apache atau segala macam artileri pun tak mengapa"

Oh, saya tak berminat nak 'quote' siapa yang cakap, sebab itu mungkin kata-kata yang datang dari orang yang kena perli - "hangat-hangat tahi ayam". Tapi jika ada pengajarannya, tak ada salahnya kita ambil.

Kami disarankan oleh prof untuk meneruskan usaha menjadi doktor dan seterusnya pakar. Memasuki tentera juga bagi saya satu pilihan yang menarik. Dikatakan anda akan melalui satu ujian - anda hanya dibekalkan sebilah parang dan sekotak mancis untuk anda 'survive' dalam hutan selama seminggu - wah! MERCY pun menarik juga.

Sebelum terbakar sampai jadi arang lebih baik saya menumpukan perhatian kepada peperiksaan Ophtalmology, Hygiene dan Operative Surgery. Alangkah baiknya jika semangat yang berkobar-kobar boleh ditukar terus ke dalam bentuk pengetahuan medik.

Ceh.

Tuesday, January 5, 2010

Pengembaraan

Setiap pengembaraan itu perlu ditulis, biarpun mungkin tidak akan ada orang yang akan membacanya, tapi bila suatu masa nanti ahli-ahli sejarah ingin mengkaji tentang kita, tulisan-tulisan pastinya mengandungi nilai sejarah yang tinggi.

Baru-baru ini PPIM ada menganjurkan simposium berkaitan dengan perubatan (medicine), bersesuaian dengan pelajar-pelajar Volgograd yang kini belajar perubatan. Ada dua prof. yang datang ke sini, Prof Amal dan Prof Ikram.

Jadi saya telah ditugaskan untuk mencari penempatan untuk prof-prof dibantu oleh saudara Fadley yang menguruskan pengangkutan dan turut serta bermalam di apartmen bersama prof.

Apartmen atau "Kvartira"

Ada tiga pilihan penempatan : hostel, kvartira atau pun hotel.
Setelah melalui beberapa perbincangan, hostel dianggap tidak sesuai untuk prof oleh sebab keadaan yang agak kelam kabut, hotel pula terlalu mahal, maka saya pun mengusahakan agar prof dapat tinggal di kvartira. Hasil pertanyaan saya dengan hotel, kos untuk seorang tinggal satu malam di hotel adalah lebih kurang 3000-3500rubel. 1 orang, 1 malam. Dan mengikut pengalaman Blue, bayarannya kadang-kadang boleh mencecah 10k rubel seorang untuk satu malam.

Jadi kvartira adalah lebih murah dengan harga 2000-2500rubel sehari semalam. Dikatakan tinggal di kvartira lebih memberikan suasana 'Volgograd' kepada pengunjung.
Kebetulan kvartira yang saya pilih itu sangat luas, cantik, besar dan segala - jadi saya ambil duit kelab umno volgograd untuk membiayai kos penempatan prof-prof di sini.

Bertemu dengan prof.

Prof.-prof. yang datang semestinya bukan calang-calang orang. Prof. Amal misalnya sewaktu kami berada di kvartira tersebut membuka cerita tentang sejarah dan beberapa pengalaman beliau. Menyebut beberapa nama tokoh dalam islam yang kebanyakannya dapat diteka oleh saudara Anuar, presiden PPIM, saya sendiri pun tak dapat meneka sesiapa. Prof. Amal mencadangkan sebuah buku The Road To Mecca yang ditulis oleh Muhamad Asad - menulis sejarah dari pengalaman beliau sendiri, tanpa bias atau kecondongan takrifan sejarah oleh sejarawan yang hanya mentafsir berdasarkan tulisan orang lain.
Saya sebtulnya pernah terbaca juga tentang Muhamad Asad, tetapi memandangkan saya jenis yang baca sepintas lalu, saya tidak dapat ingat maklumat tentang beliau. Saya mesti cuba perbaiki kelemahan ini.

Jadi saya berazam untuk menulis travelog saya sendiri dan menceritakan segala pengalaman yang dilalui. Maka saya ingin memetik kata-kata yang saya tak ingat siapa (masalah yang sama) :

"Any fool can even make it into history, but it takes a genius to write history"

Sejujurnya, bukan berniat untuk digelar genius, tapi kalau apa yang kita tulis itu boleh memberi pengajaran kepada orang lain, diri kita sendiri, apa salahnya? Lagipun kadang-kadang keluarga saya pun nak tahu juga perkembangan anak sulungnya di luar negara.

Prof Ikram pula tidak kurang hebatnya. Prof Ikram merupakan seorang pakar bius (anesthetist) dan CEO bagi CUCMS. Prof Ikram dan Prof Amal adalah contoh golongan professional-doktor, yang turut bergiat dalam dakwah dan kerja-kerja kemasyarakatan dan kemanusiaan.

Sekian itu sahaja.

p/s: Nazot kata kak Sab pernah dapat kvartira 700-800 rubel semalam. To be exact, kvartira yang saya jumpa itu 1800rubel semalam.

Saturday, October 10, 2009

Seorang veterinar tua



Suatu hari saya pergi ke sebuah pasaraya - Super Man namanya.
Kebiasaannya saya akan pergi terus ke bahagian utama, tempat barang-barang runcit atau barang-barang dapur dijual, tapi untuk kali ini saya membelok sedikit ke kanan. Mula-mula sebab tertarik dengan kedai handset, nak tengok juga ada iphone 3G 16GB atau iphone 3G [S] 16GB, tapi malangnya tak ada. Kalau ada pun macamlah saya nak beli. Saya memang tak ada duit.

Saya berjalan terus. Saya membelek-belek sebuah tupperware yang terletak di luar sebuah kedai plastik. 75rubel (RM1 ~ 8.6rubel), harga yang agak, urm, saya tak tau mahal atau tidak. Tupperware petak segi empat tepat.

Fikir saya, "Bagus jugak kalau ada tupperware macam ni. Boleh guna untuk bawak bekal pergi kelas. Boleh jimat, tak payah nak beli makanan luar lagi nanti".

Macam itulah biasanya, bercita-cita tinggi dan jarang sekali sesuatu itu menjadi kenyataan. Mungkin sebab saya terlalu berfikir. Tapi kamu tahu tidak, sesuatu kejayaan itu bermula dengan impian!

Saya menoleh ke arah sebuah kedai souvenir, kedai perhiasan. Beberapa langkah lagi untuk masuk ke dalam kedai tersebut, saya ditegur dari arah,...err...tepi. Haah, tepi.

"Kamu orang india eh?" tanya seorang makcik dalam bahasa Rusia.

"Eh, taklah. Saya orang Malaysia".

"Bagus tak tempat kamu tu? Kalau saya berpeluang saya ingat nak pergi berhijrah ke sana.

Kamu belajar apa kat sini? Medik eh? Saya dulu seorang veterinar. Kamu tahu tak, negara Rusia adalah sebuah negara yang tak berguna."

"Erk". Kenapa? Rasanya macam semua ok. (Maksud saya ok bagi rakyat sini, boleh hidup. Contohnya macam tuan rumah saya yang dengan gembiranya pernah cerita dia pergi bercuti di Turki musim panas yang lepas)

"Walaupun saya veterinar, tapi masa perang dulu saya pun ada tolong ubat orang juga. Saya tak minta balasan yang lumayan pun dengan mengubati orang lain. Tapi sekarang kamu tahu apa saya dapat sekarang? Hanya 2500 rubel sahaja sebagai pencen."

"2500 rubel untuk sebulan?".

"Haah, 2500rubel untuk sebulan. Kamu fikir 2500rubel boleh buat apa?" Mata makcik itu sudah mula berair. Ah makcik ni, makcik ni nak duit ke? Saya tertanya-tanya dalam hati.


Gambar hiasan

"Jadi makcik buat apa sekarang? Kerja apa?"

"Makcik berniaga.." Saya menjeling ke arah dua guni besar yang sedang dia pegang. Apa kandungan guni itu saya pun tak tahu.

Orang yang lalu lalang kadang-kadang menjeling juga ke arah saya dan makcik itu. Kakak yang berada dalam kedai souvenir itu pun turut menjeling ke arah saya (atau saya hanya perasan). Saya tidak pasti sama ada hendak pergi begitu sahaja atau terus menunggu, kerana saya ingin mendengar lebih lanjut cerita makcik itu.

"Masa zaman komunis dulu lagi elok. Mereka bagi rumah kat semua orang. Makan cukup. Tapi sekarang? Saya bukan orang luar, saya rakyat Rusia sendiri. Tapi tengoklah apa yang Rusia buat kat rakyat mereka sendiri!

Kamu ada lagi berapa tahun kat sini?"

"Tiga tahun lagi".

"Kalau macam tu kamu belajarlah sampai tamat". Dan makcik itu pun terus meninggalkan saya.

Saya tercegat sebentar. Makcik itu tak minta duit pun, sebaliknya dia terus pergi. Mungkin kekecewaan dia terhadap Rusia terlalu besar sehingga dia perlu menceritakan kepada orang lain.

Saya tidak jadi untuk melawat kedai souvenir. Saya terus pergi ke bahagian utama - Man, untuk membeli aiskrim.

Saya, tak dapat berbuat apa-apa pun. Mungkin saya pengecut. Mungkin saya adalah orang yang tidak boleh diharap, atau malas. Mungkin.

Thursday, August 7, 2008

CIKGU DOLAH dan seorang ustaz

Pada malam 28 rejab saya telah menghadiri satu ceramah isra’ mikraj yang diadakan di madrasah jumaeah kampung padang balang (tempat saya pernah belajar mengaji). Pada mulanya, saya memang tidak ingat yang Ya,saya silap, atas sebab langsung tk mengendahkan dan mengambil tahu tentang bulan-bulan islam….dan saya selalu terleka…namun mujurlah malam itu adik saya yang kecil mengingatkan saya untuk datang malam itu ke surau untuk mendengar ceramah.

CIKGU DOLAH, yang merangkap sebagai pengerusi ajk surau, memberikan ucapan. bukan saya tk kenal dengan cikgu dolah, suami kepada USTAZAH KHAIRIAH,seorang ustazah yang pernah mengajar saya mengaji dalam kelas KAFA berhampiran madrasah itu juga.

Beliau berucap agak panjang, namun pengalaman2 yang diceritakan menyebabkan saya pun tk kesah sangat kalau panjang sikit ucapan tu. Antara kata2nya yg saya ingat,
” mata saya ni dh kelabu dah..tk nampak sgt dah…kawan2 saya yg lain semua dh ‘jalan’, tinggal saya jer tk jalan2 lg….mungkin sebab masih diberi peluang utk berkhidmat dgn masyarakat…masyarakat ni,..adalah hiburan saya. Saya seronok dengan masyarakat….”.

Jikalau tidak kagum sekalipun dengan kata2 beliau, saya akan kagum dengan pengalamannya. CIKGU DOLAH lah org yg mula2 sekali nak bina jalan dalam kampung ni. Masa dia nk mulakan pembinaan jalan tar dalam kampung ni (kecik jer jalan tar tu..bukan macam kat lebuh raya) apa org2 kampung kata kat dia? Ala.. bolehlah….dia ada kereta, yg kita ni mana ada kereta?


Tapi tengoklah apa yg dh terjadi dalam kampung ni. Masuklah kemajuan sedikit demi sedikit dalam kampung ni. Kalau dulu yg tak ada kereta skg dah ada kereta. Kalau dulu tanah terbiar, skg dh mula nk buat rumah bertingkat2. Itu satu. Kalau nk tgk dari segi lain pula, madrasah jumaeah tu,dh dekat nk roboh dah. Kayu jer surau tu. Alhamdulillah, saya sempat la berada kat zaman tu, zaman surau kayu.
Tapi skg, dh batu dh semua, surau makin lawa, org pun makin ramai yg datang. Saya pun kadang2 tu datang la jugak ke surau tuh. ^^

Tapi memang benar, hati kecil saya menginginkan agar saya pun dapat jadi mcm CIKGU DOLAH, ada isteri yang solehah. Anaknya saya tak tahu macamana, tapi menantunya saya dh jumpa, cikgu tadika adik saya. Manis orangnya. Sejuk mata ayah, ibu, suami melihat. huhu

Kemudian, seorang ustaz pula memberikan ceramah. Ustaz tu pun, menurut pengerusi majlis, org kampung ni jugak. Menarik apa yg disampaikan oleh beliau. Banyak persoalan2 yg disentuh,

YANG PERTAMA,persoalan israk mikraj, bagaimana nabi diperjalankan ke masjidil aqsa dari masjidil haram, kemudian diangkat ke langit.

YANG KEDUA,persoalan jatuhnya sistem khilafah atas pengkhianatan dan kekejaman mustafa kamal attaturk. Yang pertama berlaku pada 27 rejab, dan yang kedua menurut beliau berlaku pada 28 rejab….

Apa yang saya dapat? banyak yg diceritakan, sedikit sebanyak memperbaharui pengetahuan ttg agama islam yg sebelum ni kita tk pernah tahu atau pun sudah kita lupakan. Malam itu saya diingatkan kembali yang SOLAT itu adalah usaha yg berterusan, tkkn mungkin kita berhenti utk cuba mencapai kesempuranaan…itu perkara pertama yg akan disoal di akhirat kelak.

Selain itu, saya mula memahami bagaimana nikmatnya utk bertemu Allah. Saya dulu sentiasa terfikir, bagaimana melihat Allah boleh menjadi puncak segala nikmat di syurga? minta maaf kalau salah saya berfikir sebegini, tp mungkin kita mudah nk bercakap, ingin bertemu Allah, tapi di mana perasaannya-di mana dzauq yg ingin dicapai. Dan saya mengetahui tentang BAITUL MA’MUR, kawasan yg terletak betul2 atas masjidil haram, yg setiap hari akan ada 70 000 malaikat yg masuk dan tak akan keluar2 selepas itu, menunjukkan luasnya kekuasaan Allah…dan saya juga mendenga kembali bagaimana Nabi Musa yg ingin melihat Allah pengsan! Pengsan hanya sebab gunung di hadapannya hancur luluh setelah ditunjukkan nur Allah ( nur sahaja = cahaya).

Manusia tkkan mampu, segala urat2 yg berselirat dlm tubuh tkkn mampu menahan, mempunyai kekuatan untuk melihat-Nya, hanya di syurga manusia akan diberi kebenaran, itu pun bukan semua layak.

Saya masih tidak tahu, apakah saya layak.
Terlepas dari neraka pun belum tentu.

p.s: ini post semasa saya masih kurang arif hendak mengetahui dalil-dalil dan hadis-hadis, riwayat yang sahih. Jadi kesahihan maklumat di atas diragukan, pembaca harus buat kajian sendiri. Pengajaran masih boleh diambil.