javascript:void(0)
Don't believe everything i've said, heck, don't believe anything. Learn to differentiate facts and personal opinions. Do your OWN research, then, CHOOSE what to believe.

Thursday, May 28, 2009

Cerita tentang Kupu-kupu

Dipetik dari mantiq At-Tayr (Musyawarah Burung) , karangan Faridu'd-Din Abu Hamid Muhammad bin Ibrahim,

Suatu malam, kawanan kupu-kupu berkumpul, disiksa hasrat hendak menyatukan diri dengan lilin. Kata mereka, "Kita harus mengutus salah satu dari kita yang akan membawa keterangan pada kita tentang sasaran cinta yang hendak kita cari itu."



Maka salah seekor di antaranya berangkat dan tiba di sebuah puri, dan di dalam puri itu ia melihat cahaya sebatang lilin. Ia pun kembali, dan sesuai dengan pengertian yang diperolehnya, ia menceritakan apa yang telah dilihatnya. Tetapi kupu-kupu arif yang mengetuai pertemuan itu menyatakan pendapatnya bahwa utusan itu tak mengerti apa-apa tentang lilin.

Maka kupu-kupu lain pun pergi ke sana pula. Ia menyentuh nyala lilin itu dengan hujung sayapnya, tetapi panas pun menghalaukannya. Oleh karena laporannya tak lebih memuaskan dari laporan yang pertama, maka kupu-kupu yang ketiga pun pergi pula. Yang seekor ini, karena dimabuk cinta, melontarkan diri ke dalam nyala lilin itu; dengan kaki depannya ia berpaut pada nyala lilin itu dan menyatukan dirinya dengan senang pada lilin itu. Dipeluknya lilin itu sepenuhnya, dan badannya pun menjadi semerah api.

Kupu-kupu arif, yang mengawasi dari jauh, melihat bahwa nyala lilin dan kupu-kupu utusan itu tampak satu, dan katanya, "Ia telah dapat mengetahui apa yang ingin diketahuinya; tetapi hanya dia yang tahu, dan tak ada yang dapat menuturkannya."



Cerita tentang kupu-kupu ini adalah sebahagian sahaja daripada banyak cerita yang terdapat dalam Musyawarah Burung itu. Membaca cerita tentang kupu-kupu, masing-masing akan mempunyai tafsiran yang tersendiri. Namun apa yang hendak disampaikan tak ada bezanya dengan yang ingin disampaikan oleh Al-Ghazali, Rumi, Ibrahim bin Adham dan Rabiatul Adawiyah. Ada orang yang membacanya akan melihat seekor kupu-kupu yang bodoh - tak lebih dari itu. Ada yang membacanya mengkagumi cinta sang kupu-kupu pada lilin. Ada pula yang lain akan memahami bahawa, kadang-kadang, yang sudah pun sampai kepada tujuannya, takkan bisa mengungkapkan rahsia-rahsianya kepada yang masih belum sampai kepada tujuan mereka. Kupu-kupukah yang memang ingin ditonjolkan oleh Fariduddin, atau sifat manusia?

Ahli-ahli sastera menganggap beliau penyair hebat dan kebanyakan manusia pun cubalah untuk menjadi sepertinya tanpa memahami makna tersirat di sebalik kata-katanya. Lalu jadilah karya-karya ahli sastera kosong tak berjiwa, ditambah sangkaan yang mereka berjaya menghasilkan sesuatu yang sama dengan kata-kata penyair hebat itu.

Cerita yang ingin disampaikan oleh Fariduddin adalah cerita betul. Cerita yang sepatutnya perlu difahami oleh setiap manusia. Ah, pedulikan samada kau ahli sastera atau tidak, meminati puisi ataupun tidak. Cerita ini harus difahami semuanya. Fahamilah apa yang ingin disampaikannya, dan rujuklah al-Quran dan sunnah - kau takkan menemui percanggahan, jika kau benar-benar memahaminya. Bahkan, fahaman kau terhadap kata-kata Tuhan akan meningkat, dan akan lebih tersentuh hati membacakannya.

Bacalah. Dengar dan perhatikan baik-baik.

Friday, May 22, 2009

Bila pertolongan Tuhan itu akan tiba?

Hidup ini tak mudah. Orang-orang yang percaya, sentiasa mengharapkan pertemuan dengan Tuhan mereka. Mereka tak takut mati, sebaliknya, mereka berjuang untuk mati. Mati mempertemukan mereka dengan Tuhan mereka.

Mereka yang mencari, mula kepenatan kerana yang dicari tak kunjung-kunjung tiba.
Orang yang berusaha untuk menjadi pencinta, selalu merenung diri. Ternyata, diri masih belum lagi jadi seorang pencinta yang sejati. Sentiasa serba salah. Manusia sentiasa bertanya. Manusia sentiasa ingin lagi dan lagi, dengan cara tanpa bersusah payah.

Manusia ingin jalan mudah. Adakah di sana jalan mudah?

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum
sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang
yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan
(kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh
ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang
beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?"
Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan
berpegang teguh kepada ugama Allah).

(Al-Baqarah 2: 214)

Kalau begitu tetapkanlah hati kami untuk terus bersabar dan berpegang teguh dalam agama-Mu.

Friday, May 15, 2009

13 Mei(May) 1969 : Sejarah Hitam rakyat Malaysia

Saya ingin menulis ini sejak dua hari yang lepas, tapi saya ada hal lain yang lebih penting.

Sejarah besar telah berlaku pada hari 13 Mei, 40 tahun yang lalu. Malangnya, sejarah itu adalah sejarah hitam, dan menimbulkan kegusaran bagi sesiapa sahaja yang ingin bercakap tentangnya.
Bagi generasi muda seperti saya (dan tak pernah nak membaca pasal benda ini) tidak mendengar apa-apa melainkan cerita-cerita dari mulut orang lain. Itupun jika ada yang berani bercerita. Tidak dapat dinafikan juga ada antara cerita tersebut adalah dongeng semata-mata.




Mereka yang melupakan sejarah akan dikutuk untuk melakukan kesalahan yang sama.
(George Santayana)




Oleh itu kita tidak seharusnya lupa akan sejarah, dan menjadikannya sesuatu yang 'taboo' untuk dibincangkan. Jika tidak, hal ini akan menjadi seperti api dalam sekam yang bila-bila masa sahaja boleh mengancam kita sendiri. Saya ingin mengingatkan, jika beginilah keadaannya maka amaran yang akan disampaikan dengan jelas kepada selurauh rakyat Malaysia, samada setuju atau tidak - peristiwa 13 Mei tidak mustahil akan berulang lagi.

Untuk itu kita seharusnya mengadakan perbincangan untuk mempelajari kesilapan-kesilapan yang telah lalu agar dengan itu kita tidak akan mengulanginya lagi. Tapi ingat, perbincangan tentang hal-hal seperti ini tidaklah seharusnya berdasarkan emosi. Kerana apa yang telah berlaku pada 13 Mei 1969 adalah jelas berpunca dari pergolakan emosi yang tidak terkawal.

Makanya, perbincangan itu seharusnya dilandaskan kepada fakta-fakta dan pemikiran yang rasional. Dalam pentafsiran sejarah, biarpun setelah dibentangkan dengan fakta-fakta, kita tidak akan dapat lari daripada mempunyai pandangan sendiri terhadap perkara yang berlaku. Pandangan seperti ini dinamakan bias atau kecondongan. Bias tidak boleh dijadikan perkara utama yang harus ditekankan kepada kita. Sebaliknya yang harus ditekankan kepada kita adalah pengajaran yang boleh diambil daripada sejarah dan matlamat kita yang paling utama iaitu kebaikan itu sendiri.



Sumber dari Wikipedia : antara dongeng dan realiti?

Saya tidak dapat menafikan melalui Wikipedia kita dapat mengetahui secara kasar tentang apa yang berlaku pada hari itu. Tapi terdapat banyak perkara-perkara yang tidak pasti yang disebutkan dalam penerangannya. Perkataan-perkataan seperti 'dikatakan', 'ada pula pendapat yang menyatakan' , 'terdapat cerita-cerita lain' boleh dijumpai dengan banyaknya dalam artikel tersebut.

Juga ayat-ayat exaggerating seperti :
Dalam masyarakat Melayu, penyapu mempunyai konotasi yang negatif (sial).
....seperti dalam filem lama Cina.

Namun secara jelasnya kita boleh mengambil pengajaran bahawa khabar-khabar angin, berita-berita yang tidak pasti kebenarannya adalah antara sebab yang mencetuskan pertumpahan darah pada 13 Mei.

13 Mei merupakan satu kebanggaan.

Dipetik dari laman blog nooryahaya, dalam artikel

13 Mei 1969; The Kampung Baru Stories

"Violence and death, when you’ve familiar with it, becomes thrilling. The clash and the chase for your enemies actually becomes fun. You are not afraid of death any more,” said Alang.

Satu ucapan bodoh yang tak boleh diterima akal manusia yang sihat. Seperti mana perkataan 'gila talak' digunakan secara meluas dengan penuh emosi, saya seperti itu juga ingin sahaja mengatakan kepadanya 'gila darah'. Bukan orang-orang seperti ini yang harus dibawa berbincang, jika dia mampu berbangga dengan pembunuhan manusia lain.

Kepincangan politik yang berasal dari pemimpin-pemimpin yang bodoh.

Menurut dari pelbagai sumber, Melayu, Cina dan India lebih erat hubungannya sebelum 13 Mei berbanding selepas tragedi berdarah itu. Dan diingatkan, kawasan utama berlakunya pertumpahan darah itu adalah di Kuala Lumpur. Di kampung-kampung, Melayu, Cina dan India adalah rapat dan tiada masalah. Mereka boleh hidup dalam suasana toleransi. Anda boleh baca kisah-kisah tersebut dalam blog paling mantap di bawah, tetapi walau bagaimanapun kesemuanya adalah cerita dari mulut. Anda sendiri yang harus menilai betul atau tidak.

Mengapa saya sebut kepincangan politik? Dan dari pemimpin-pemimpin yang bodoh pula?
Anda boleh rujuk laman Malaysian Bar dalam artikel yang bertajuk

The tragedy of May 13, 1969 (dipetik dari The Sun)

Berdasarkan apa yang ditulis itu, apa yang boleh saya katakan ialah UMNO tidak seharusnya menuding jari kepada MCA. Perbuatan itu mencemarkan konsep kesetiaan dan kepercayaan antara satu sama lain. Apa yang dibuat oleh Gerakan, dengan menganjurkan perarakan kemenangan juga adalah tidak patut. Perbuatan itu seperti mencurah minyak ke dalam api, membuatkan keadaan makin huru-hara. Dan kebodohan lagi, perarakan yang kedua tidak harus wujud sama sekali sebagai tujuan membalas. Kita patut kembali ke meja rundingan.

Kita sememangnya harus belajar dari sejarah.

Blog paling mantap yang pernah saya jumpa

Saya benar-benar tertarik kepada corak pemikiran yang ditunjukkan oleh seorang penulis blog ini berkaitan Peristiwa 13 Mei. Saya sarankan agar anda baca apa yang beliau tulis, termasuklah komen-komen oleh pembaca yang di bawah itu juga. Namun anda tidak perlu membacanya jika anda :-
1)Tak boleh berfikir dengan baik, gila misalnya.
2)Anda seorang yang konservatif, ortodoks iaitu bila anda telah bertekad hanya akan memandang, membaca sesuatu yang anda pegang selama ini sahaja, contohnya kata-kata mak dan ayah anda, atau kawan baik anda semata-mata. Mengikut kamus Bahasa Melayu (ciptaan seorang hamba Allah) perbuatan itu ditakrifkan sebagai dungu.

Rasanya yang menulis itu orang Cina, menggunakan nama Jee. Kalian, kalau hendak jadi pencari kebenaran, perhatikan sifat-sifat yang ada pada Jee, bagaimana dia dengan ikhlasnya bertanya dan berbincang.

Saya ingin juga memetik satu komen yang dihantar kepada Anas Zubedy dalam aritkelnya A book to unite Malaysians

BornMalaysian said...

Anas, how about the politicians, community leaders and opinion shapers like yourself propose that May 13 becomes a public holiday in Malaysia, called Unity Day, a special day that celebrates all things Malaysian. A day of celebration of Malaysian culture, art, innovations, talks by Malaysian experts, concerts, movies, exhibitions, food fairs, etc. A day for Malaysians to reaffirm its commitment to 1Malaysia. A day for reflection on the lessons of history so that we can move forward together as one. A day for all Malaysians to mingle, interact and celebrate our unique cultural diversity. It could even become a tourist attraction like Oktoberfest in Germany! I hope that I will live long enough to see Unity Day take place in Malaysia.

Happy May 13!

P.S. Studies show that racial discrimination is largely caused by lack of education and lack of interaction between people of different racial and cultural backgrounds. Studies show that people with neighbours of a different race and culture are much less likely to be racists.

Malaysia sebenarnya adalah rumah bagi Melayu, Cina dan India.

Sejarah yang akan,pasti berlaku (khas buat orang-orang beriman)

Sejarah ditakrifkan sebagai pembelajaran mengenai masa lampau. Namun apa maksud saya apabila saya mengatakan sesuatu yang akan berlaku itu juga dipanggil sejarah?
Saya kira semua kita yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat akan bersetuju dengan pernyataan saya ini : Allah mengetahui yang awal dan yang akhir. Allah mengetahui segalanya, dari sekecil-kecil benda hingga ke sebesar-besar perkara.

Bagaimana pula jika saya katakan, jika Allah mengetahui segala-galanya, maka ia bermakna dalam pandangan Tuhan, masa lalu, sekarang ini dan masa datang telahpun berlaku. Segala-galanya telah ada dalam pengetahuan Tuhan, telahpun berlaku dalam pandangan Tuhan. Susah nak terima? Ingat, takrifan manusia terhadap masa tidaklah sama dengan apa erti masa bagi Tuhan sendiri.

Dia mengatur urusan dari langit ke bumi, kemudian (urusan) itu naik kepadaNya dalam satu hari yang kadarnya adalah seribu tahun menurut perhitunganmu
(As-Sajdah 32:5)

Saya akan menjelaskannya dalam post yang lain. Buat masa ini, cukuplah jika kita berpegang dengan ayat Al-Quran ini. Maka, perkara yang ingin saya sampaikan adalah, Allah mengetahui apa-apa yang akan berlaku, dan Dia menurunkan wahyu iaitu Al-Quran kepada Rasul-Nya Muhammad. Dalamnya Dia menceritakan kisah-kisah akan apa yang berlaku (menurut definisi masa kita) kesudahan-kesudahan bagi pelbagai jenis manusia pada hari akhirat nanti - orang-orang yang beriman, ingkar, fasik, munafik, yang bertaubat mensucikan diri, yang berjuang bersungguh-sungguh pada jalan Allah, orang-orang yang mengajak kepada kebaikan dan mencegah perbuatan jahat dan sebagainya.

Maka hal ini sepatutnya jadi renungan buat kita. Jika sebelum ini kita diajar melihat sejarah (sesuatu yang telah berlaku) agar dengan itu kita ambil pengajaran, maka mengapa tidak kali ini kita sekali lagi memerhatikan 'sejarah' (dalam pandangan Tuhan) dalam Al-Quran yang menurut kita belum lagi berlaku. Tidakkah kita diberi peluang yang sangat berharga untuk bersiap sedia? Tapi benarlah kata Tuhan, sedikit sekali di antara kita yang bersyukur.

Ingat, kita dengan orang-orang yang tidak mempercayai Tuhan dan hari Akhirat itu tidak pernah sama.

Sunday, May 10, 2009

Emak

Post ini adalah khas untuk emak, saya nak juga cerita pasal ayah tapi nanti panjang sangat pula, nak kena fikir cerita lain lagi, kita buat cerita pasal ayah masa Hari Bapa ataupun hari lahir ayah nanti.



Emak adalah anugerah dari Tuhan.

Hari ini hari lahir emak saya. Kebetulan pula hari ini juga merupakan hari ibu.
Maka saya mengambil kesempatan ini ingin mengimbas kembali saat-saya saya bersama dengan emak.

Emak saya seorang cikgu. Saya berbangga mak saya adalah cikgu. Mak saya ajar banyak subjek : Sains, Matematik, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan sedikit sebanyak saya pun terdorong untuk tahu banyak benda seperti itu. Mak saya juga selalu ajar saya melukis sebelum saya periksa Pendidikan Seni. Mak pandai melukis. Cantik. Saya juga pernah melihat lukisan emak masa di maktab perguruan - mak boleh lukis Donald Duck dengan lawa sekali.

Saya bangga emak saya cikgu, tapi kebanggaan itu tak semestinya hanya kerana mak kita cikgu. Kalau mak kita seorang nelayan atau tukang jahit sekalipun, kita sewajarnya tetap juga bisa menyatakan, " Aku bangga ibuku seorang nelayan. Ibuku pandai menangkap ikan."

Pernah dalam perjalanan hendak menghantar saya ke sekolah dengan menaiki kereta, emak kata kepada saya, " Along ni macam mak masa kecik-kecik dulu - jadi wakil baca sajak, wakil untuk pidato, syarahan..."

Saya tak ingat apa yang saya cakap selepas itu dengan mak. Mungkin saya cakap "Oh ye ker?" Tapi yang pastinya, Tuhan sajalah yang tahu dalam hati saya penuh dengan rasa bangga. 'Along anak emak...yeah!'

Ada suatu masa, sewaktu saya masih kecil, mak saya selalu membawa saya dan adik saya ikut bersamanya mengagihkan barang Nutrimetics (mak saya ejen Nutrimetics, sesiapa yang berminat boleh hubungi kami. Tinggalkan Avon). Perjalanan tersebut selalu bermasalah. Tapi masalahnya bukan pada barang kosmetik tersebut, tapi pada kami. Entah kenapa, kami adik beradik selalu jadi macam anjing dengan kucing. Lagak kami tak ubahnya seperti anak-anak kucing yang bergomol antara satu sama lain. Saya tak ingat sama ada waktu itu kami nampak jahat atau comel bila bergaduh, saya sudah lupa. Comel kot. Tapi mak tetap sabar melayan kerenah kami.

Kebiasaannya, emak lah yang lebih dekat dengan kita, dalam hal-hal yang membabitkan luahan-luahan perasaan ni.

Semasa kita demam, muntah-muntah, emak menjaga kita. Atas kebijaksanaan Tuhan, adanya emak di sisi membuatkan kita lega. Yang sakit pun beransur sembuh.

Saya juga teringat akan kisah saya dengan kerengga. Ini bukan kisah saya digigit kerengga. Ini kisah saya terpengaruh dengan seorang rakan yang menunjukkan keseronokan manangkap kerengga atau labah-labah kecil dan kemudiannya memasukkan ke dalam bekas kaset. Bunyinya seronok, dan melakukannya juga seronok. Tapi seingat saya, emaklah yang menasihati saya. Katanya, "Macamana nanti kalau kat akhirat Allah akan buat kita pulak yang kena tangkap dengan kerengga gergasi?" Malam itu, saya menangis. Saya minta bantuan emak untuk melepaskan kerengga tersebut sebab saya dah ada atas katil double-decker dan nak tidur dah masa itu.

Dan banyak lagi kisah yang terkait tentang emak. Sesetengah kisah itu saya lupa, setelah berlalu beberapa waktu. Sememangnya, lupa akan kisah yang lepas itu sesuatu yang menyedihkan. Walaupun demikian, moga-moga kita tidak akan lupa bahawa emak telah banyak berkorban untuk kita.

Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a menceritakan bahawa baginda Nabi s.a.w telah didatangi oleh seorang lelaki lalu bertanya kepada baginda s.a.w yang bermaksud:
“Siapakah orang yang patut aku berbuat baik?. Rasulullah s.a.w menjawab ibumu. Kemudian siapa lagi?, ibumu. Kemudian siapa lagi?,ibumu.Kemudian siapa lagi?, bapamu,kemudian orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya."

Semoga Allah akan sentiasa mengilhamkan kepada kita bagaimana untuk mensyukuri nikmatNya.

Friday, May 8, 2009

Perempuan Berkalung Sorban

engkau, kawanku, tak perlu gusar.
jika Allah telah mentakdirkan pertemuan, maka Dia akan menunjukkan jalan, dan menentukan bahawa apa pun yang berlaku, pertemuan tersebut tetap akan berlangsung sebagaimana mestinya.




Mungkin sorban di sini adalah serban menurut Bahasa Malaysia. Perempuan Berkalung Sorban adalah tajuk sebuah filem Indonesia (mereka omongin, ini film religi). Sedikit 'preview' tentang cerita tersebut:

Ini adalah sebuah kisah pengorbanan seorang perempuan, Seorang anak kyai Salafiah sekaligus seorang ibu dan isteri. Anissa (Revalina S Temat), seorang perempuan dengan pendirian kuat, cantik dan cerdas. Anissa hidup dalam lingkungan keluarga kyai di pesantren Salafiah putri Al Huda, Jawa Timur yang konservatif. Baginya ilmu sejati dan benar hanyalah Qur’an, Hadist dan Sunnah. Buku modern dianggap menyimpang.

Dalam pesantren Salafiah putri Al Huda diajarkan bagaimana menjadi seorang perempuan muslim dimana pelajaran itu membuat Anissa beranggapan bahwa Islam membela laki-laki, perempuan sangat lemah dan tidak seimbang.

Tapi protes Anissa selalu dianggap rengekan anak kecil. Hanya Khudori (Oka Antara), paman dari pihak Ibu, yang selalu menemani Anissa. Menghiburnya sekaligus menyajikan ‘dunia’ yang lain bagi Anissa. Diam-diam Anissa menaruh hati kepada Khudori. Tapi cinta itu tidak terbalas karena Khudori menyadari dirinya masih ada hubungan dekat dengan keluarga Kyai Hanan (Joshua Pandelaky), sekalipun bukan sedarah. Hal itu membuat Khudori selalu mencoba membunuh cintanya. Sampai akhirnya Khudori melanjutkan sekolah ke Kairo. Secara diam-diam Anissa mendaftarkan kuliah ke Jogja dan diterima tapi Kyai Hanan tidak mengijinkan, dengan alasan bisa menimbulkan fitnah, ketika seorang perempuan belum menikah berada sendirian jauh dari orang tua. Anissa merengek dan protes dengan alasan ayahnya.

Akhirnya Anissa malah dinikahkan dengan Samsudin (Reza Rahadian), seorang anak Kyai dari pesantren Salaf terbesar di Jawa Timur. Sekalipun hati Anissa berontak, tapi pernikahan itu dilangsungkan juga. Kenyataan Samsudin menikah lagi dengan Kalsum (Francine Roosenda). Harapan untuk menjadi perempuan muslimah yang mandiri bagi Anissa seketika runtuh

Dalam kiprahnya itu, Anissa dipertemukan lagi dengan Khudori. Keduanya masih sama-sama mencintai.…

Apakah cinta Anissa dan Khudori berakhir di pernikahan? Bagaimana hubungan Anissa dan kedua orang tuanya dan Samsudin suaminya? Apakah Anissa dapat menjadi muslimah seperti yang diinginkan orang tuanya?

Saksikan di bioskop-bioskop mulai 15 Januari 2009


Secara peribadinya, saya suka filem ini. Tapi kebiasaannya benda yang saya suka, orang lain tak berapa nak suka sangat, mungkin sebab citarasa saya yang pelik.
Kalau berminat juga nak tengok cerita ini, sukalah saya untuk memetik kata daripada seseorang yang sudah menontonnya - "lihatlah dengan teliti, perhatikan akan apa yang hendak disampaikannya. Tak semua orang akan faham melihat cerita ini".

Saya suka filem ini kerana jalan ceritanya yang berlainan dibandingkan dengan Ayat-ayat Cinta, misalnya. Saya suka melihat suasana(bi'ah) pesantren yang digambarkan dalam filem ini. Saya suka lakonan Anissa - watak Alya dalam Bawang Putih Bawang Merah. Saya lebih suka kalau filem ini ditonton oleh ramai orang, dan membuatkan mereka faham betapa indahnya Agama Islam itu. Saya harap orang ramai tidak akan salah faham lagi terhadap agama ini.

Saya kira watak-watak seperti Kiyai yang terlalu keras dan tidak fahami agama sepenuhnya, bekas pelajar pesantren yang telah hanyut oleh dunia, watak anak Kiyai yang biadab dan juga watak perempuan yang kadang-kadang sanggup melakukan apa sahaja demi cinta walaupun mencemar maruahnya sendiri harus diambil iktibar.

Semoga kita tergolong dalam orang-orang yang diberi kefahaman dalam agama oleh Allah.

Saturday, May 2, 2009

Lupa

Kalau kita akan berbalah di sini pada hari ini,
maka ada baiknya kita mencari, di mana letaknya hati kita terlebih dahulu.



Kita telah lupa banyak perkara dalam hidup. Kita mungkin tidak ada waktu lagi untuk berhenti, diam, dan cuba untuk mengingati segala apa yang telah kita lalui hingga ke saat ini. Namun kita tidak dapat menafikan bahawa apa sahaja yang berlaku kita harus tetap cuba untuk mengumpulkan sekali ingatan-ingatan kita tentang diri kita yang sebenar, secara fitrahnya.

Kita rupa-rupanya telah lupa tentang keindahan syurga, dan bagaimana suatu masa dahulu kita pernah benar-benar menginginkan berada di syurga, jika diizinkan, saat itu juga.
Kita juga telah lupa bagaimana suatu masa dahulu saat kita masih kanak-kanak, kita memikirkan tentang pencipta dengan memandang langit dan matahari, melihat bulan dan bintang-bintang.

Pagi tadi mengingatkan kembali sesuatu yang telah ditinggalkan, seperti mana yang telah disebutkan di atas.

Betul kan, katakanlah kalau sekarang ini kita hadapkan diri kita dengan cermin, lalu cuba untuk ingat seluruh hidup kita, semenjak kita lahir, atau mungkin sejak kita mampu mentafsir alam sekeliling kita, rasanya terlalu banyak lompang-lompang(ergh, betul ke perkataan nih) kosong yang tak dapat dikumpulkan, seolah-olahnya memori itu tak pernah ada - lalu, tidak dapat tidak kita harus mengakui bahawa kita telah lupa.

Dan malam ini pula saya diingatkan tentang kisah abid yang diberikan balasan berlipat kali ganda atas sebab keikhlasannya, juga tentang rezeki, jodoh maut di tangan Tuhan.

Hakikatnya manusia harus diingatkan. Mungkin itulah sebabnya kenapa kita harus beri peringatan kepada manusia lain, sebab mungkin antara orang yang kita nasihatkan itu mereka sebenarnya sangat sedih dan sakit, sebab mereka telah lupa.


"Dan berilah peringatan,
sesungguhnya peringatan itu amat bermanfaat
dan berguna kepada orang-orang mukmin"

[SURAH AZ-DZARIYAT:55]


Kita sedihkan kalau kita tidak dapat ingat orang yang kita sayang - emak, ayah, adik-adik kita? Maka wajarlah kita berasa sangat sedih apabila kita tidak dapat ingat langsung perjanjian kita dengan Tuhan yang Maha Agung sebelum kita dilahirkan di dunia :


"Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi(tulang belakang) mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): "Bukankah Aku ini Tuhanmu?" Mereka menjawab: "Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi." (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: "Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)"

[Surah Al-A’raaf 7: 172]

Mengapa kita perlu melupakan saat paling penting ini?