javascript:void(0)
Don't believe everything i've said, heck, don't believe anything. Learn to differentiate facts and personal opinions. Do your OWN research, then, CHOOSE what to believe.

Friday, February 9, 2024

Teringat Bekas Rakan

Baru habis kelas instagram ads anjuran group takaful yang baru saya join. Ini pun join sebab kawan sekolah lama, MRSM Jasin - Nizam tegur di facebook messenger, kebetulan saya memang online waktu tu dan kemudian ajak jumpa.


Waktu itu dah join Sunlife, tapi nampak tak ada progres. So far dengan group dia, training semua sistematik.


Selepas kelas sengaja melihat facebook business sebab nak cek masalah akaun saya yang tak boleh run ads dah selesai atau belum. Masih belum. Dia minta saya buat 2 factor authentication yang saya memang dah buat. Akhirnya sampai kepada bahagian settings, nampak ada blocked list - tengok balik siapa yang ada block... dan baru teringat ada block beberapa orang dari mahersaham yang lama.


Antaranya adalah N dan S. 

Baru-baru ini dalam meeting pun ada tersebut juga pasal N, sebab Aakif ada buat laporan untuk project atau forecast berapakah komisen MR, jadi saya berminat nak tahu pasal N. 



Flashback 

Kenapa berhenti buat kelas berbayar?

Dalam bulan 3 2021, kita ada buat satu meeting khas dengan top management broker saya, Mr K.

Hal ini disebabkan application N untuk jadi MR atau marketing representative tidak diberi kebenaran oleh Mr K.

Bagi saya, ini adalah sesuatu yang sangat disesalkan. N adalah orang kuat yang sangat banyak membantu menaikkan Mahersaham, sebelum ini memang dah suruh jadi MR, tapi tak buat-buat - antara sebab yang saya ingat, belum dapat sijil grad daripada universiti (N mula di Mahersaham dengan menjalani latihan praktikal - walaupun degree yang diambil adalah Engineering)

Ketika mula COVID, pasaran saham naik dengan sangat rancak. Yang dah jadi MR sebelum itu, memang komisen naik sangat dahsyat, ada yang cecah rm40k sebulan. Jadi, saya terkilan lah kalau N tak dapat keuntungan sebegitu sebab saya kira peranan dia juga sangat besar dalam syarikat - kalau nak syarikat yang berikan bonus, memang tak akan dapat beri sebanyak itu pun.

Jadi daripada meeting khas tersebut, Mr K memberitahu bahawa membuat kelas saham ada 'conflict of interest' dengan kerja saya sebagai seorang remisier. Saya juga tidak patut menjadikan staf syarikat saya sebagai MR saya - dan dia mengaitkan satu kes yang lepas di mana SC menyiasat kami katanya ada aduan memberikan investment advice - dan sebab nama Syazwan dan S ada dekat website sebagai berjawatan tinggi dalam syarikat pada masa yang sama adalah MR saya.

Atas sebab itu, maka Mr K kata untuk N ni, keadaannya adalah sama, saya jangan cuba ulang kesilapan sama. N dalam resume dia tulis, dia juga adalah admin dalam telegram group Mahersaham.

Maka meracaulah Mr K untuk tak berikan kebenaran N jadi MR (Marketing Representative) saya.

Jadi, atas sebab nak pujuk juga management untuk benarkan N jadi MR, saya atau kami berbincang dan memutuskan untuk berhenti buat kelas berbayar. Mahersaham akan jadi personal branding saya semata-mata dan bukannya satu organisasi yang menaikkan beberapa orang lain atau muka lain.



Point-point lain

Selepas meeting itu sebenarnya saya dan top management - L, N, S, Syazwan berbincang bagi menentukan hala tuju syarikat.

Antara model yang kita ingat boleh jadikan panduan adalah bagaimana Isaham hanya fokuskan kepada sistem untuk client dia - kalau client tak trade, maka akses kepada website atau screener akan disekat.

Dalam masa yang sama, saya juga berat ke arah untuk berhenti buat kelas berbayar sebab saya melihat prestasi jualan hasil daripada program Saham For Newbies sudah sedikit berkurang. Mungkin orang dah mula bekerja balik selepas MCO/EMCO/RMCO diangkat semula atau ditamatkan.

Jika tak bertindak awal, masak - setiap bulan overhead lebih kurang RM230k untuk bayar gaji staf dan lain-lain.

Lagipun tak dinafikan saya juga mula panas - seolah-olah hanya beberapa orang tertentu sahaja yang nampaknya risau dengan overhead yang tinggi - program Saham For Newbies pula hanya diuruskan orang tertentu sahaja.

Tak dinafikan, bila syarikat dah besar, maka itu yang berlaku. Tak semua orang terlibat secara langsung dalam proses mendapatkan Sales atau jualan untuk syarikat.

Bila syarikat makin besar, apakah kerja yang dihasilkan oleh pekerja yang ramai benar-benar optimum? Siapa yang bertanggungjawab dalam memastikan pekerja betul-betul memberikan yang terbaik berkadaran dengan gaji yang dibayar? 



Menjalankan keputusan

Selepas syarikat dah tak buat kelas berbayar, kita terminate separuh daripada staf dan intern yang ada total lebih kurang 43 pada waktu itu menjadi dalam 19orang. 

Sebelum kita memilih siapa yang kita terpaksa lepaskan, kita buatlah sesi one on one, panggil seorang-seorang masuk bilik bos. Dalam bilik tu ada top management Mahersaham - 4 orang tak silap, sebab Zury belum lagi saya naikkan jadi top management.

Kita juga siap buat satu 'consultation' dengan seorang pakar HR bagaimana nak uruskan situasi ini. Silap haribulan, salah langkah, memang boleh kena saman dengan pekerja sendiri. 

Kisah-kisah lain seperti perjumpaan dengan Ustaz Hakim, pemilihan pekerja, pekerja lama seperti YA yang terpaksa dilepaskan mungkin boleh cerita lain kali.

Long story short, 19 orang yang tinggal, kita bahagikan kepada dua kumpulan.

Kumpulan A - Mahersaham
Saya, An, Na, N, H, Yah, I, Husna, Akmal

Kumpulan B - Ilha
S, Syazwan, Aakif, L, Q, M, Rah, Zury, Aini, Sab

Sehingga hari ini, saya pun ragu-ragu keputusan mana yang dibuat secara berjemaah atau keputusan yang saya secara veto menentukannya.

Saya selalu juga menyuarakan benda ni kepada Syazwan, tapi selalu juga yang diingatkan adalah hampir kesemuanya adalah kita bincang secara bersama. Hakikatnya kenapa saya akan sentiasa ragu-ragu, adalah sebab satu kejadian yang berlaku pada awal tahun 2021 - 18 Januari 2021 to be exact, ketika S menghantar surat perletakan jawatan....



Pegangan

Sebelum mengakhiri cerita untuk kali ini, memandangkan rasa sudah agak penat, saya hanya nak menyimpulkan beberapa perkara.

Atas takdir Tuhan, saya telah dipertemukan dengan semua orang yang pernah hadir dalam hidup.

Saya tak salah pilih orang ketika menjadikan mereka sebagai rakan kongsi.

Mereka telah banyak memberikan sumbangan dan tanpa mereka saya takkan sampai ke tahap ini.

Cuma untuk keputusan-keputusan yang ada, selalunya saya akan berbincang dan mendengar pandangan, dan selalunya juga memilih keputusan yang majoritinya bersetuju.

Akan ada masanya saya kadang-kadang memilih keputusan yang bukan majoriti - keputusan yang saya personally yakin.

Ada masanya juga saya perlu memutuskan tanpa berbincang - dan untuk kedua2 keadaan ini ( pendapat minoriti dan personal decision) datang untuk keadaan yang di luar daripada level rakan kongsi (di mana tak sesuai pun berbincang sesama rakan kongsi - hal seperti gaji masing-masing sebagai contoh) atau keadaan yang saya ada pengetahuan tentang perkara tersebut namun tak wajar diceritakan kepada mereka (seperti income sebenar remisier sebagai contoh, aset peribadi).

Dan kalau ada kesilapan, kalau ada yang hendak menyalahkan saya atas sesuatu perkara, maka saya tak akan menafikannya dan akan menghadap apa-apa sahaja tohmahan atau ketidaksetujuan yang ada.

Tuesday, February 6, 2024

Dewasa Itu Tidak Mudah

 Ketika mula menulis balik, dalam blog yang sudah lama tak dikemaskini sejak tahun 2012 - saya pun cuba mencari-cari dan membaca semula blog rakan-rakan yang lain.


Ada yang sudah berhenti, habisnya zaman universiti maka habislah juga sebarang update.

Ada yang menyembunyikan blog.


Boleh jadi sebab dunia pekerjaan tak memberikan masa untuk menulis. Kalau saya, mungkin sebab tidak ada apa yang nak dibanggakan, bahkan mungkin memalukan sekiranya saya ceritakan zaman housemenship dahulu. 


Namun memang saya masih ada menulis, dan tulisan itu saya tulis dalam http://budakbajetbagus.blogspot.com/ . Melihat blog itu, saya fikir saya mulakan selepas kalah teruk dalam fasa housemenship namun ianya adalah sambungan dari waktu pulang ke Malaysia selepas grad dari Volgograd … dan saya sambung sehingga zaman housemenship. 


Tulisan, fungsi untuk saya adalah menyimpan memori. Bila membaca semula tulisan, semoga jadi panduan masa depan dan motivasi diri jika sedang jatuh.


Ada blog yang saya baca akhir sekali berkongsi kekesalan - tak pasti apa, namun setelah saya selidiki, pada tahun itu sudah kehilangan ibu yang dicintai. Ada juga yang baru kehilangan cahaya mata yang baru lahir.

Ada yang tak berjaya habiskan housemenship, kemudian buat ejen takaful dan sekarang mengusahakan kedai kopi.

Ada yang berpasangan di bangku universiti, datang housemenship, hilang berita dan juga berhadapan dengan kematian ibu.

Ada yang berperang dengan kanser.

Ada yang jodoh tak kunjung tiba.

Ada juga yang usahakan klinik, datang dengan cabaran2 tertentu, contohnya seperti cerita Mustaqim di https://fb.watch/q1JYtVwlSZ/?



Kisah kejayaan pun ramai

Ada yang berjaya ambil alih pusat dialisis - rugi menjadi untung

Ramai yang buka klinik sendiri dan ramai yang sudah ada rangkaian.

Tak kurang ramai sudah jadi pakar - ada masih dalam kerajaan, ada yang di private


12tahun, argh apakah yang berlaku?

Hanya sekadar nak melihat apakah ada sebab yang menghalang kita menulis

2012 dan 2013, masih menulis, zaman kesusahan housemenship yang bermula Dis 2012

2014 - mungkin sudah senior, dan rasa lebih bebas - apa perlunya kepada blog

2015 - tahun perkahwinan, satu perubahan zaman bujang kepada berkahwin, datang juga dengan ujian-ujian, ditambah lagi dengan extension housemenship pula untuk posting ke-6. September kemudian pergi ke Sarikei.

2016 - berseorang di Sarikei, waktu malam dan setiap waktu terluang akan guna untuk mengkaji ilmu saham. Ibrahim lahir Mei 2016. Berhenti doktor 1 sept 2016. 27 okt 2016 rasminya jadi remisier.Mula tinggal di Jasin.

2017 - mula ada ofis sendiri, mula ada intern pertama yang kemudiannya jadi orang penting dalam team

dari tahun 2017…. terus grow dan grow, nak fokus kepada perniagaan pun ada halangan-halangan tersendiri juga… dan berterusanlah dalam kesibukan sehingga tahun 2022. Musa lahir okt tahun 2018.

2021 - buang separuh pekerja, dah tak jual kelas saham. Cuba usahakan benda lain - Ilhami. Pindah rumah baru di Ayer Keroh

2022 - diberi kesempatan buat umrah, tahun penamat cerita untuk syarikat, tahun kelahiran Sumayyah. Dari waktu tutup syarikat dalam bulan 4 hinggalah hujung 2023, terumbang ambing mencari rentak bersama 3orang rakan.

2024 - hanya pada tahun ini nak tulis semula, saya kira kesan besar daripada ZRA seperti yang dinukilkan dalam [[Anekdot Jalanan]]


Tak minta diduga, dan sedar dugaan orang lain jauh lebih hebat.

Diri kena sentiasa diingatkan, ujian yang datang dalam keadaan kita leka, akan lebih sakit.

Suka atau tidak, kita tetap kena teruskan alam dewasa, sebab kita tak dapat pulang ke masa lalu.


Monday, February 5, 2024

Emosi Kuat Belum Tentu Benar

 Ibrahim dan Musa bermain di luar rumah, dalam ruang lingkup yang ada pagar.

Ibrahim bermain basikalnya, manakala Musa bermain skuter. Sebelum itu, Musa yang bermain basikal, abangnya bermain skuter.

Mula-mula, terdengar macam ketukan di pintu, mungkin ada orang nak masuk - besar kemungkinan Musa sebab dia belum dapat masuk ke rumah melainkan dibantu. Kemudian terdengar dia melalak.

Tanpa melengahkan masa, saya pun pergilah buka pintu dan nampak Musa menangis kuat dan nampaknya berada dalam kesakitan.

Musa kata," Abang langgar Musa sampai Musa jatuh!"

Ibrahim tercegat tak berkata apa-apa. Seperti yang saya ceritakan di awal, saya mencari motif - sekiranya perkara itu berlaku - maka saya menganggap mungkin disebabkan berlaku perebutan skuter, maka mungkin si abang tak dapat menahan marah maka membuat sesuatu di luar kawalan.

Tambahan pula, Musa dengan yakin mengeluarkan pernyataan yang abangnya dengan sengaja melanggar dia.

Saya memang pantang kalau adik beradik gaduh angkat tangan atau kaki. Maka saya tanya, dalam keadaan tinggi suara, meminta kepastian, " Betul ke Ibrahim langgar Musa?"

"Tak sengaja langgar..." dengan suara yang perlahan dan tidak meyakinkan.

"Betul ke tak sengaja? Cakap betul-betul! Ke Ibrahim tak dapat skuter Musa, marah lepas tu pergi langgar Musa?"

"Tak..." masih lagi dalam suara yang tak meyakinkan. Saya masih lagi tak percaya, dan rasa macam nak tinggikan suara lagi.

Ditambah lagi dengan Musa yang masih mempertahankan cerita dia.

Maka akhirnya saya suruh mereka berdua masuk dan mandi.

Saya teringat kepada CCTV yang ada di luar rumah, dan saya pun cuba lihat kejadian tersebut. Rakaman tak ada suara, namun masih boleh nampak. Sehingga ke saat-saat akhir kejadian, masing-masing sebenarnya buat urusan masing-masing - tidak ada pertelagahan yang berlaku atau berperang mulut.

Musa sedang berdiri satu kaki di atas skuter, cuba mengimbangi badan menghadap pintu. Dalam masa yang sama, tiba-tiba basikal Ibrahim yang cuba digerakkan berubah arah dan melanggar Musa dari belakang. Musa jatuh.

Berkali-kali saya lihat rakaman, dan saya tahu Ibrahim bercakap benar.

Saya fikir, benda itu sebenarnya memberi kesan kepada saya. Suatu ketika dahulu, pernah ada keadaan sewaktu kecil, kita digasak dan dimarahi - sehingga kita terpaksa mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan apa yang berlaku - agar dapat penuhi sangkaan orang yang memarahi.

Itu adalah benda yang tak betul. Dan kali ini, saya hampir-hampir buat benda yang sama.

Itu adalah sesuatu yang disesalkan.

Sekalipun tidaklah saya mengangkat tangan ataupun mengatakan 'Tipu" kepada Ibrahim, tetapi menjerit dengan sangkaan yang kuat - saya takut akan memberikan kesan kepada dia.

Selepas dia mandi, saya cuba berikan layanan baik kepada dia, dan melihat yang dia tidak menyimpan rasa apa-apa selepas kejadian tadi, saya sedikit lega. Dengan Musa saya katakan, abang tak sengaja tadi... abang tak sengaja.

Sekiranya saya masih berkeras tadi hinggakan Ibrahim terpaksa memberikan naratif tipu kepada saya agar saya puas dalam menyangka jalan cerita saya adalah betul, Musa juga akan ditinggalkan dalam keadaan mempercayai bahawa abangnya dengan mudah sanggup melanggarnya dengan basikal.

Emosi kuat, belum tentu benar.

Seseorang tidak salah sehinggalah memang terbukti salah. Bila kita uruskan perhubungan, kita tak uruskan seperti keadaan dalam mahkamah yang membawa dua pihak bersemuka dan kemudian membentangkan hujah masing-masing.

Kita selalunya jadi hakim yang menggunakan pengalaman sendiri sebagai hujah dan lebih mempercayai gerak hati sendiri.

Monday, January 29, 2024

Anekdot Jalanan

 Ia adalah sebuah buku karangan ZRA - nama singkatan bagi Zainal Rashid Arshad, orang yang saya kenal dari channel Youtube bertajuk ZRA Strim. 

Channel itu pun saya jumpa ketika hendak mengkaji analytics untuk channel youtube sendiri - dan ditunjukkan bahawa audience untuk channel saya - kebanyakannya juga menonton channel ZRA Strim.

Buku tersebut diterbitkan oleh Tentang Kita Sdn Bhd - Hafizul Faiz, kawan Shazwan.
Membaca prolog karangan Hafizul Faiz sahaja saya kira sudah membangkitkan semangat berkobar-kobar untuk membaca buku ini. Dalam prolog juga Hafizul Faiz menyebut beberapa buku yang saya 'familiar' :
- Ayat-ayat Cinta
- Salju Sakinah
- Tunggu Teduh Dulu

Saya hanya termenung sebentar, dan bertanya, "Dah lama tak membaca buku-buku yang membangkitkan minat terhadap sastera. Seolahnya kita telah kehilangan sebahagian daripada diri kita - kita pada suatu masa dahulu"


Pengalaman

Dia bercerita tentang pengalaman, kisah hidup wartawan, kisah di jalanan. Kisah kehidupan yang dia lalui. 

"Cerita perjalanan hidup terasa panjang walaupun hakikat usia ini pendek sahaja. Tetapi, tidak semua kisah kita penting untuk orang lain. Harus selektif."

"Saya suka kehidupan sukar, soloist dan freedom. Terlalu lama kerja berpasukan ada kalanya menjadikan kita hilang pesona pada kemahiran peribadi.

26 tahun dalam media massa, suku abad hidup bergelumang dengan budaya kerja berpasukan.

Selepas begitu lama dalam kokon - kita mula berfikir, "Kalau mahukan perubahan total berdasarkan perspektif peribadi, soloist jalan terbaik."

Bagus sangatlah tu, kena dengan keadaan saya sekarang ni yang sudah tidak lagi ada syarikat - bungkus akibat salah strategi dan keadaan yang memaksa.



Sesalan

Ada masanya, dia menyampaikan sesalannya.

"Itu detik yang kemudiannya sangat dikesalkan. Saya sepatutnya terus sahaja memberkan wang tanpa perlu membiarkan Ibrahim mencuci kasut.

Membiarkan kanak-kanak yang lapar memangku kaki dan kasut kita di atas ribaan adalah satu perbuatan tidak bertamadun.

Setiap kali mengingatkan kejadian itu - saya rasa sangat bersalah.

Sejak tahun 2012, saya berusaha menghapuskan rasa bersalah yang dibawa pulang dari Kabrebeya.

Tahun ini saya berkesempatan meletakkan lapan kaki kanak-kanak di atas ribaan, sambil mengukur saiz dan mengikat tali kasut mereka."



Penulis Surat Cinta Sewaktu Zaman Persekolahan

"Belanja Makan Upah Tulis Surat Cinta

Saya pernah stream mengenai kisah saya menulis surat cinta pada Wen, Nik dan Art Param. (Tiga kawan baik yang juga sudah kembali ke rahmatullah).

Tahun 1983 dan saya sudah mahir sedikit mengolah bahasa indah kerana ketika Tingkatan Empat - saya belajar aliran Sastera.

Saya sudah membaca novel "Badai Semalam" karya Khatijah Hashim, juga membaca antologi puisi "Lukisan Zaman".

Mahir bahasa menjadikan kerja menulis surat cinta terasa lebih euforia.

Kita berasa sangat puas apabila dapat menyusun kata-kata indah dalam surat cinta, menzahirkan perasaan kawan-kawan.

Walaupun pemilik perasaan itu sendiri sentiasa bercelaru ketika melahirkan isi hatinya.

Selebihnya - upah menulis surat cinta selalunya lengkap, makanan, minuman dan sebatang rokok."



Menjadikan Buku Sebagai Teman

"Pada Mei 1984, apabila terpaksa melarikan diri ke Kuala Lumpur, saya hanya sempat membawa sehelai dua pakaian, selebihnya ialah novel "Bumi Manusia" karya Pramoedya Ananta Toer (Pak Pram).

Saya sumbat semua dalam beg sandang sekolah dan terus naik bas, perjalanan pertama ke Kuala Lumpur.

Novel "Bumi Manusia" pada masa itu diharamkan di Indonesia, saya membelinya di kedai buku tepi tangga Pekan Rabu, Alor Setar.

Saya beli edisi asal Bahasa Indonesia yang diterbitkan Hasta Mitra (1980), sebelum dilarang jualannya oleh rejim Suharto atas tuduhan novel itu mempromosi Sosialis dan Komunisme.

Pada usia 17 tahun, buku itu saya beli hasil gaji sebagai budak penjaja buah di sekitar Pasar Malam seluruh Kedah.

Melalui novel "Bumi Manusia" saya kenal watak Minke dan turut jatuh cinta pada gadis manis, Annelies."



Meminati Karya Azizi

Saya ingat-ingat lupa - rasa pernah membaca salah satu karya yang ada - sebab ada dalam rak buku. Tak pasti emak atau ayah yang membaca buku tersebut.

"Azizi Haji Abdullah (4 April 1942- 21 Ogos 2011)

Biodata dan senarai karya Azizi boleh saja diperoleh sekelip mata dengan merujuk Mr Google. Saya tidak dapat menghabiskan ruang ini untuk menyenaraikan semula copy paste internet.

Azizi dalam kisah ini - dikenang dalam perspektif lain yang lebih humanis. Barangkali juga sebagai lelaki kebapaan yang polos tapi romantis.

Membaca karya-karya Azizi sangat tebal nilai kemanusiaannya. Wacana sosial dan politik saling berinteraksi dalam tebal dan nipis ideologi penulis ini.

Azizi seperti idolanya, Sasterawan Negara Shahnon Ahmad - karya yang sangat berteraskan masyarakat desa. Itu runut sastera mereka.

Selain menulis, seperti Shahnon, Azizi juga pernah menyertai parti siasat dan bertanding pilihanraya. Novel Seorang Tua di Kaki Gunung (1981), Al-Asyraq (1987), Yang Merusuh (1991), Beruk (1991) dan Kawin-kawin (2002) memperlihatkan sikap kesasterawanan Azizi."


Biodata Penulis Di Hujung Buku



Benar, seperti komen di youtube channel ZRA Strim ini - terima kasih saya ucapkan kepada ZRA membangkitkan semula semangat kepada saya untuk menulis semula.