javascript:void(0)
Don't believe everything i've said, heck, don't believe anything. Learn to differentiate facts and personal opinions. Do your OWN research, then, CHOOSE what to believe.

Friday, March 25, 2011

Kak Gie dan Kakak Su


Ok sekali lagi saya ingin bercerita tentang orang-orang yang saya kagumi.


Kak Gie


Kak Gie adalah kakak sepupu saya. Jarak umur saya dengan kakak sepupu saya tersebut sangat agak jauh. Semasa saya berumur 5-6tahun Kak Gie sedang menuntut di universiti.

Kakak Gie adalah anak kelahiran Terengganu, seperti emak saya juga. Berdasarkan pemerhatian saya sendiri, emak saya dan Kak Gie memang rapat. Jadi apabila saya dilahirkan dan membesar menjadi kanak-kanak yang comel, sedikit sebanyak saya juga mendapat kasih sayang daripada kakak sepupu saya tersebut.

Kak Gie pernah belikan untuk saya dan adik saya t-shirt berwarna merah. Agaknya t-shirt tersebut dibeli dari universiti tempatnya belajar. Zaman tersebut, memasuki universiti adalah sesuatu yang cukup membanggakan. Pernah suatu hari Kak Gie bertanya kepada saya (yang sedang belajar di sekolah rendah) , "2-3 berapa?"
Sebelum itu saya memang boleh menjawab tambah tolak yang mudah. Tapi untuk soalan kali ini, saya tak dapat menjawabnya kerana kecetekan ilmu pengetahuan saya.

"2-3 mana boleh! 3 kan lebih besar daripada 2?" jawab saya.
" Ha, itulah **** (nama manja dirahsiakan...hahah) tak belajar lagi. Nanti dah besar tahulah tu. Jawapan dia negatif 1", kata Kak Gie.

Saya memang sangat kagum mendengar jawapan Kak Gie. Mungkin peristiwa ini juga menjadi salah satu faktor yang mendorong saya belajar bersungguh-sungguh dan kemudiannya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam subjek Matematik, terutamanya.

Saya kagum dengan Kak Gie yang belikan kami t-shirt, tanya soalan matematik kat saya dan seorang yang baik hati. Semasa saya melawat rumah makcik saya di kampung (emak Kak Gie), saya melihat banyaknya piala-piala dan trofi-trofi yang tersusun di rumah tersebut yang dimiliki oleh Kak Gie. Saya memang kagum sangat.



Saya juga bangga dengan kakak sepupu saya tersebut yang dulunya seorang pensyarah dengan kelulusan Masters dan sekarang sudahpun memiliki PhD.

Jadi kawan-kawan, apa yang saya nak sampaikan di sini ialah, sesuatu perkara baik itu mungkin nampak kecil tapi boleh jadi ia menimbulkan kesan yang mendalam pada jiwa orang lain. Siapa tahu perbuatan baik yang kita lakukan itu boleh membawa perubahan besar dalam hidup orang lain?
Logik kan?


Kakak Su

Baik, itu cerita tentang Kak Gie. Sekarang cerita tentang Kakak Su.

Kakak Su juga berasal dari Terengganu. Kakak Su pernah tinggal di rumah kami di Sentul, dan dialah yang membantu menjaga saya ketika saya masih kecil. Saya memang betul-betul anggap dia macam kakak saya. Semasa saya diberi kerja sekolah untuk melukis struktur keluarga saya, saya senaraikan Kakak Su sebagai kakak saya.

Kakak Su dulu di kampung tinggal dengan emaknya yang sudah tua. Sekarang, mak kakak su dah tak ada. Al-Fatihah buat arwah emak kakak su. Saya sekeluarga pernah melawat rumah Kakak Su. Di rumah tersebut ayah saya berpesan, " Tengok baik-baik rumah Kakak Su. Rumah papan, lepas tu nyamuk senang masuk. Malam-malam nyamuk gigit. Jadi ingat nanti bila hidup dah senang, jangan lupakan orang yang susah".

Semasa di rumah itu juga lah kak su hadiahkan saya bekas pensil bercorak ultraman. Saya rasa pemberian tersebut memang sangat bermakna, tambah-tambah lagi dengan pesanan ayah saya seperti yang tertera di atas.

We may forget what people told us, but we will never forget how they make us feel.
- tak ingat siapa cakap

Mulalah menyayangi seluruh ciptaan Tuhan. Agar kita disayangi oleh Tuhan, disayangi oleh penduduk bumi dan juga penghuni langit.





Saya bukanlah orang kaya. Emak dan ayah saya selalu cakap kami orang susah, maka sejak dari Tingkatan 1 di MRSM saya berusaha untuk jadi pelajar terbaik. (baca : berusaha, tak semestinya berjaya) Setinggi-tinggi kesyukuran saya kepada Tuhan, kerana akhirnya pada saat ini saya berpeluang belajar perubatan di Rusia, walaupun banyak dugaan yang harus saya tempuhi. (seperti ancaman pengeboman, musim sejuk dan panas yang melampau, silibus pengajaran yang dikutuk ramai, dan lain-lain lagi.)

Ada orang dilahirkan dalam keluarga kaya dan tak pernah tahu pun kesusahan hidup orang lain.
Ada orang dilahirkan dalam keluarga yang amat miskin sehinggakan mereka sentiasa bertanya," Bilakah masanya aku akan terlepas dari belenggu kemiskinan ini?"
Kita semua ada perjuangan masing-masing.
Each man has his own fight.
Mungkin bagi orang miskin, nak mendidik hati supaya sabar, pasrah dengan Tuhan adalah ujian mereka, sedangkan untuk orang kaya pula ujian seperti mendidik hati untuk tidak sombong, ego, dan juga bagaimana melarikan diri daripada persekitaran-persekitaran yang penuh maksiat adalah sangat susah.

Jadi ada sebabnya kenapa kita dilahirkan dalam keluarga miskin, misalnya. Mungkin kalau Allah letak kita dalam keluarga yang kaya kita tak akan dapat tahan dugaan dan sesat dalam hidup penuh hiburan semata-mata? Siapa tahu? Allah tahu, sedangkan kita tak tahu.


Semoga kita tak akan lupa diri atau angkuh atau bakhil jika ditakdirkan suatu hari nanti hidup kita bertukar menjadi lebih baik.

Sunday, March 20, 2011

Jalan Ku Pulang


Tundukku malu didepanMu
kernaku insan berdosa
kuadukan sesalanku apakah kan Kau terima
kesunyian ini sedarkan diriku yang lena

Tinggalkan semalam yang nanah
lantas meratap hina kan ku pada sempurnaMu,
terpaut aku tak berpaling

Ku Bersyukur hanya padaMu tuhan kau temukan laluan bermula
Dan cintaMu bagai air di tandus sahara buatku melepas dahaga

suburkan cahaya menerangi langkahku
semaikan segala kiasan indah cintaMu

ku Bersyukur hanya padaMu tuhan kau temukan laluan bermula
Dan cintaMu bagai air di tandus sahara buatku melepas dahaga

Ku mohon kau tenangkan gusar hatiku yang rawan
bimbang Kau singkirkan taubatku
kurayu Kau hulurkan keampunanMu padaku
kelakku zalimi diriku

Ku Bersyukur hanya padaMu tuhan kau temukan laluan bermula
Dan cintaMu bagai air di tandus sahara buatku melepas dahaga

Janjiku padaMu abdikan seluruh jiwa
sehingga masanya kau seru hujung nyawaku

Ku Bersyukur hanya padaMu tuhan kau temukan laluan bermula
Dan cintaMu bagai air di tandus sahara buatku melepas dahaga

Tak temu dimanakah hentinya rayuan taubatku padaMu

8. Jalan memperolehi makrifat

- dipetik dari syarah al-hikam. Al-hikam ditulis oleh Ibnu Athaillah.
Silalah bertanyakan ustaz atau alim ulama yang lebih mengetahui jika ada kemusykilan tentang artikel ini. Bagi saya artikel di bawah ini memang masuk akal dan boleh diterima hati saya. Jadi saya share.





APABILA TUHAN MEMBUKAKAN BAGIMU JALAN UNTUK MAKRIFAT, MAKA JANGAN HIRAUKAN TENTANG AMALMU YANG MASIH SEDIKIT KERANA ALLAH S.W.T TIDAK MEMBUKA JALAN TADI MELAINKAN DIA BERKEHENDAK MEMPERKENALKAN DIRI-NYA  KEPADA KAMU.




Kalam-kalam Hikmat yang dihuraikan terlebih dahulu mengajak kita merenung secara mendalam tentang pengertian amal, Qadak dan Qadar, tadbir dan ikhtiar, doa dan janji Allah s.w.t , yang semuanya itu mendidik rohani agar melihat kecilnya apa yang datangnya daripada hamba dan betapa besar pula apa yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. Rohani yang terdidik begini akan membentuk sikap beramal tanpa melihat kepada amalan itu sebaliknya melihat amalan itu sebagai kurniaan Allah s.w.t yang wajib disyukuri. Orang yang terdidik seperti ini tidak lagi membuat tuntutan kepada Allah s.w.t tetapi membuka hati nuraninya untuk menerima taufik dan hidayat daripada Allah s.w.t.

Orang yang hatinya suci bersih akan menerima pancaran Nur Sir dan mata hatinya akan melihat kepada hakikat bahawa Allah s.w.t, Tuhan Yang Maha Mulia, Maha Suci dan Maha Tinggi tidak mungkin ditemui dan dikenali kecuali jika Dia mahu ditemui dan dikenali. Tidak ada ilmu dan amal yang mampu menyampaikan seseorang kepada Allah s.w.t. Tidak ada jalan untuk mengenal Allah s.w.t. Allah s.w.t hanya dikenali apabila Dia memperkenalkan ‘diri-Nya’. Penemuan kepada hakikat bahawa tidak ada jalan yang terhulur kepada gerbang makrifat merupakan puncak yang dapat dicapai oleh ilmu. Ilmu tidak mampu pergi lebih jauh dari itu. Apabila mengetahui dan mengakui bahawa tidak ada jalan atau tangga yang dapat mencapai Allah s.w.t maka seseorang itu tidak lagi bersandar kepada ilmu dan amalnya, apa lagi kepada ilmu dan amal orang lain. Bila sampai di sini seseorang itu tidak ada pilihan lagi melainkan menyerah sepenuhnya kepada Allah s.w.t.

Bukan senang mahu membulatkan hati untuk menyerah bulat-bulat kepada Allah s.w.t. Ada orang yang mengetuk pintu gerbang makrifat dengan doanya. Jika pintu itu tidak terbuka maka semangatnya akan menurun hingga boleh membawa kepada berputus asa. Ada pula orang yang berpegang dengan janji Allah s.w.t bahawa Dia akan membuka jalan-Nya kepada hamba-Nya yang berjuang pada jalan-Nya. Kuatlah dia beramal agar dia lebih layak untuk menerima kurniaan Allah s.w.t sebagaimana janji-Nya. Dia menggunakan kekuatan amalannya untuk mengetuk pintu gerbang makrifat. Bila pintu tersebut tidak terbuka juga maka dia akan berasa ragu-ragu.

Dalam perjalanan mencari makrifat seseorang tidak terlepas daripada kemungkinan menjadi ragu-ragu, lemah semangat dan berputus asa jika dia masih bersandar kepada sesuatu selain Allah s.w.t. Hamba tidak ada pilihan kecuali berserah kepada Allah s.w.t, hanya Dia yang memiliki kuasa Mutlak dalam menentukan siapakah antara hamba-hamba-Nya yang layak mengenali Diri-Nya. Ilmu dan amal hanya digunakan untuk membentuk hati yang berserah diri kepada Allah s.w.t. Aslim atau menyerah diri kepada Allah s.w.t adalah perhentian di hadapan pintu gerbang makrifat. Hanya para hamba yang sampai di perhentian aslim ini yang berkemungkinan menerima kurniaan makrifat. Allah s.w.t menyampaikan hamba-Nya di sini adalah tanda bahawa si hamba tersebut dipersiapkan untuk menemui-Nya. Aslim adalah makam berhampiran dengan Allah s.w.t. Sesiapa yang sampai kepada makam ini haruslah terus membenamkan dirinya ke dalam lautan penyerahan tanpa menghiraukan banyak atau sedikit ilmu dan amal yang dimilikinya. Sekiranya Allah s.w.t kehendaki dari makam inilah hamba diangkat ke Hadrat-Nya.

Jalan menuju perhentian aslim iaitu ke pintu gerbang makrifat secara umumnya terbahagi kepada dua. Jalan pertama dinamakan jalan orang yang mencari dan jalan kedua dinamakan jalan orang yang dicari. Orang yang mencari akan melalui jalan di mana dia kuat melakukan mujahadah, berjuang melawan godaan hawa nafsu, kuat melakukan amal ibadat dan gemar menuntut ilmu. Zahirnya sibuk melaksanakan tuntutan syariat dan batinnya memperteguhkan iman. Dipelajarinya tarekat tasauf, mengenal sifat-sifat yang tercela dan berusaha mengikiskannya daripada dirinya. Kemudian diisikan dengan sifat-sifat yang terpuji. Dipelajarinya perjalanan nafsu dan melatihkan dirinya agar nafsunya menjadi bertambah suci hingga meningkat ke tahap yang diredai Allah s.w.t. Inilah orang yang diceritakan Allah s.w.t dengan firman-Nya:





Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. ( Ayat 69 : Surah al-‘Ankabut )

Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat - (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap  menemui balasan apa yang telah engkau usahakan itu (tercatit semuanya). (Ayat 6 : Surah al-Insyiqaaq )




Orang yang bermujahadah pada jalan Allah s.w.t dengan cara menuntut ilmu, mengamalkan ilmu yang dituntut, memperbanyakkan ibadat, berzikir, menyucikan hati, maka Allah s.w.t menunjukkan jalan dengan memberikan taufik dan hidayat sehingga terbuka kepadanya suasana berserah diri kepada Allah s.w.t tanpa ragu-ragu dan reda dengan lakuan Allah s.w.t. Dia dibawa hampir dengan pintu gerbang makrifat dan hanya Allah s.w.t sahaja yang menentukan apakah orang tadi akan dibawa ke Hadrat-Nya ataupun tidak, dikurniakan makrifat ataupun tidak.

Golongan orang yang dicari menempuh jalan yang berbeza daripada golongan yang mencari. Orang yang dicari tidak cenderung untuk menuntut ilmu atau beramal dengan tekun. Dia hidup selaku orang awam tanpa kesungguhan bermujahadah. Tetapi, Allah s.w.t telah menentukan satu kedudukan kerohanian kepadanya, maka takdir akan mengheretnya sampai ke kedudukan yang telah ditentukan itu. Orang dalam golongan ini biasanya berhadapan dengan sesuatu peristiwa yang dengan serta-merta membawa perubahan kepada hidupnya. Perubahan sikap dan kelakuan berlaku secara mendadak. Kejadian yang menimpanya selalunya berbentuk ujian yang memutuskan hubungannya dengan sesuatu yang menjadi penghalang di antaranya dengan Allah s.w.t. Jika dia seorang raja yang beban kerajaannya menyebabkan dia tidak mampu mendekati Allah s.w.t, maka Allah s.w.t mencabut kerajaan itu daripadanya. Terlepaslah dia daripada beban tersebut dan pada masa yang sama timbul satu keinsafan di dalam hatinya yang membuatnya menyerahkan dirinya kepada Allah s.w.t dengan sepenuh hatinya. Sekiranya dia seorang hartawan takdir akan memupuskan hartanya sehingga dia tidak ada tempat bergantung kecuali Tuhan sendiri. Sekiranya dia berkedudukan tinggi, takdir mencabut kedudukan tersebut dan ikut tercabut ialah kemuliaan yang dimilikinya, digantikan pula dengan kehinaan sehingga dia tidak ada tempat untuk dituju lagi kecuali kepada Allah s.w.t. Orang dalam golongan ini dihalang oleh takdir daripada menerima bantuan daripada makhluk sehingga mereka berputus asa terhadap makhluk. Lalu mereka kembali dengan penuh kerendahan hati kepada Allah s.w.t dan timbullah dalam hati mereka suasana penyerahan atau aslim yang benar-benar terhadap Allah s.w.t. Penyerahan yang tidak mengharapkan apa-apa daripada makhluk menjadikan mereka reda dengan apa sahaja takdir dan lakuan Allah s.w.t. Suasana begini membuat mereka sampai dengan cepat ke perhentian pintu gerbang makrifat walaupun ilmu dan amal mereka masih sedikit. Orang yang berjalan dengan kenderaan bala bencana mampu sampai ke perhentian tersebut dalam masa dua bulan sedangkan orang yang mencari mungkin sampai dalam masa dua tahun.

Abu Hurairah r.a menceritakan yang beliau r.a mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
Allah berfirman: “ Apabila Aku menguji hamba-Ku yang beriman kemudian dia tidak mengeluh kepada pengunjung-pengunjungnya maka Aku lepaskan dia dari belenggu-Ku dan Aku gantikan baginya daging dan darah yang lebih baik dari yang dahulu dan dia boleh memperbaharui amalnya sebab yang lalu telah diampuni semua”.

Amal kebaikan dan ilmunya tidak mampu membawanya kepada kedudukan kerohanian yang telah ditentukan Allah s.w.t, lalu Allah s.w.t dengan rahmat-Nya mengenakan ujian bala bencana yang menariknya dengan cepat kepada kedudukan berhampiran dengan Allah s.w.t. Oleh yang demikian tidak perlu dipersoalkan tentang amalan dan ilmu sekiranya keadaan yang demikian terjadi kepada seseorang hamba-Nya.

Thursday, March 17, 2011

Segala-galanya Allah.

Yup, mungkin mata saya buta. Termasuklah mata hati saya.

Saya dari dulu minta dari Tuhan, saya yang jahat ni kalau saya berubah, harap yang buat saya berubah bukanlah perempuan. Dalam erti kata lain, saya nak tahu, yakin dengan pasti bahawa Allah lah yang mendidik saya dan buat saya berubah. Segala-galanya kerja Allah semata-mata.

Ya, saya memang masih belum berubah secara total. Saya masih belum cukup baik lagi. Tapi saya cuba bermuhasabah diri. Saya sendiri tahu apa kejahatan yang saya buat, yang sangat saya kesali dalam seluruh kehidupan saya. Mungkin ada benda jahat lain lagi yang saya buat tapi masih tak nampak - yang itu saya pohon agar Allah tunjukkan dan berikan kekuatan untuk meninggalkannya. Tapi dengan bermuhasabah saya dapat nampak apa yang lain, dulu dan sekarang. Dan kelainan itu tak akanlah saya tukar dengan apa-apa pun.


Orang tak nampak bagaimana saya 'degraded' menjadi binatang. Kehidupan saya nampak normal macam manusia, tapi tak ada orang tahu tentang hati saya dan otak saya.

Mungkin mata saya buta sebab tak tahu memilih. Atau buat kerja separuh jalan. Ah peduli apa saya. Bukan saya tak pernah alaminya. Banyak kali dah saya kehilangan sesuatu sebab merasakan diri masih bermasalah. Dan tentang masalah tersebut, berdasarkan kajian saya, masalah tersebut memang besar.

Jadi kehilangan tak ada maknanya di sini. Saya lapang dada. Agh, sebenarnya masih juga tidak dapat menjaga batasan-batasan, masih juga mencari. Adakah saya ni bodoh?

Ok balik kembali kepada topik asal.

Apa la sangat kalau kita kehilangan sesuatu dalam nak mendapatkan sesuatu yang dirasakan berharga buat kita.
To gain something , u must lose something.

Hukum alam kan. Sunnatullah.

Ok la saya wish kat anda semua, selamat kehilangan.
Dan fikiran saya sangat cepat berubah, jadi ayat-ayat di atas memang mengharu-birukan umat. Hampir gila.

Sunday, March 13, 2011

Rahsia dan Prasangka.


Subhanallah. Alhamdulillah. Allahu akbar.
Maha suci Allah. Segala puji bagi Allah. Allah Maha Besar.


Ayat-ayat di atas adalah antara zikir-zikir yang biasa diajarkan kepada kita. Mengakui yang Allah itu Maha Suci, memuji-Nya dan mengakui juga kebesaran-Nya.

Katakanlah anda memang selalu berzikir (atau anda boleh gantikan dengan benda baik yang lain) dan tidaklah anda tunjukkan di hadapan orang lain. Namun tiba satu masa, mungkin kerana semangat anda yang terlalu berkobar-kobar, atau memang takdir Tuhan, orang ramai pun mengetahuilah yang anda ini suka berzikir. Adakah anda ikhlas ataupun tidak? Kadang-kadang orang bertanya, jika tidak dengan mulut sekalipun mereka memandang anda dengan pandangan mata yang khianat dan penuh kehairanan, " Kau ni ada niat lain ke nak berzikir depan aku nih?"

Kawan-kawan, zikir hanyalah lafaz. Perbuatan baik seperti solat misalnya hanyalah pergerakan badan. Tak siapa tahu tentang kekhusyukan hati, ketinggian pengharapan, kepasrahan menghadapi takdir, ataupun dalamnya penyesalan atas dosa-dosa yang dirasakan oleh seseorang ketika dia berzikir, beristighfar, menunaikan solat, bersedekah dan sebagainya. Maka orang yang berbuat baik tadi janganlah sedih bila disangka yang bukan-bukan oleh kawannya, bila dituduh hipokrit ataupun menyamar. Allah dan rasul-Nya lebih tahu.


Kalau kita terserempak dengan orang-orang yang berbuat baik ini pula, janganlah cepat menaruh prasangka, kerana kata Tuhan,

"Wahai orang-orang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka,sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang menggunjing sebahagian yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang."


-Al-Hujarat (49:12)-

Dan janganlah kita terlalu memuji kawan kita itu, sebab kadang kala pujian boleh merosakkan seseorang dan menjatuhkan dia ke dalam tahap yang hina sekali. Tetapi sebaliknya doakanlah kawan kita itu kerana dalilnya HR Muslim dan Abu daud dari Abu Darda':

"Tidak adalah seorang Muslim yg berdoa kepada saudaranya (yg tiada disisinya) melainkan Malaikat akan berkata," dan semuga do'a itu juga kembali kepadamu"
(Albani, Sahih aljami' #5737)

Mendoakan kawan kita diberikan lagi kefahaman ilmu yang mendalam semoga nanti bermanfaat juga kepada orang ramai.

Berdoa kepada saudaranya (yg tiada di sisinya). Doa-doa yang dipanjatkan secara rahsia.

Rahsia-rahsia yang seperti ini memupuk kasih sayang yang mendalam, dan juga megukuhkan kepercayaan kita terhadap Tuhan yang sentiasa sahaja mendengar bisikan-bisikan hati.

Wednesday, March 9, 2011

Hidayah


This is a true story. Real punya, dan tak tipu.
Dipetik dari Sarah (klik di sini)

Dilukis oleh tuffix

Klik gambar untuk paparan yang lebih besar. This time, biggger is better.








Allah menentukan perjalanan hidup kita dalam keadaan yang selalunya kita sendiri tak faham mengapa Allah jadikan hidup kita sedemikian rupa. Tapi segala-galanya ada hikmahnya.


Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa Yang Engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah Yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dialah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam). (al-Qasas: 56)