Saya sebenarnya memang sudah membuat sebuah blog, cuma saya jadikannya rahsia. Lagipun, saya tidak selalu update blog tersebut, dan tambahan pula blog saya itu bukan saya paparkan pun untuk tontonan umum. Ianya rahsia, dalamnya ada gambar-gambar yang sangat saya suka.
Kemudiannya saya mula membuat blog yang lain, lalu saya jadikannya 'public'. Hakikatnya, saya mengisytiharkan blog ini pun adalah sebab saya percaya yang saya mampu gunakan blog untuk dapat duit sampingan. =p
Saya berfikir-fikir balik. Duit yang diperoleh bukan sebanyak mana, dan pastilah saya tidak akan selalu mengemaskini blog hanya untuk duit yang tidak sebanyak mana itu.
Tapi saya fikirkannya kembali. Tidak wajar saya berhenti separuh jalan, dalam setiap perkara yang saya lakukan. Dan sebenarnya dalam hati, saya suka untuk menulis. Saya kemudian temukan maksud dan tujuan saya menulis blog.
Cerita.
Saya ingin bercerita kepada kalian tetang hidup. Saya akan kumpulkan kembali, kisah-kisah hidup, susah senang perjalanan yang telah saya tempuh, dan juga akan harapan-harapan saya pada masa akan datang.
Andai kata saya berjaya dalam hidup, harapnya kisah ini menjadi panduan.
Andai kata saya gagal, harapnya kalian tidak akan mengikuti jejak saya.
Saya juga ingin bercerita tentang perasaan. Perasaan yang selalunya susah diluahkan, dan terlalu abstrak. Tentang manusia itu adalah satu makhluk Tuhan yang selalu sahaja menyembunyikan perasaan mereka. Dan mereka pula percaya pada kehebatan lakonan mereka.
Kagum.
Kagum akan bagaimana kata-kata itu mampu disusun, sehingga menjadi begitu menarik sekali.
Bagaimana kata-kata itu bisa sahaja menyentuh hati manusia. Biarpun sepatah perkataan.
Sepatah perkataan yang bila diucapkan, ditulis dengan menyertakan seluruh hati dan perasaan setulusnya, akan membuatkan kata-kata itu begitu bermakna sekali. Amat.
Saya juga kagum akan bagaimana cerita-cerita yang dikarang dapat membawa kita meneroka dunia luar kotak pemikiran kita. Fantasi. Khayalan. Dan tentang realiti hidup yang tidak pernah kita sedar.
Saya percaya sedikit sebanyak begitulah hasrat saya apabila saya menulis blog ini. Baiklah, masa untuk blogging!
No comments:
Post a Comment