javascript:void(0)
Don't believe everything i've said, heck, don't believe anything. Learn to differentiate facts and personal opinions. Do your OWN research, then, CHOOSE what to believe.

Monday, February 5, 2024

Emosi Kuat Belum Tentu Benar

 Ibrahim dan Musa bermain di luar rumah, dalam ruang lingkup yang ada pagar.

Ibrahim bermain basikalnya, manakala Musa bermain skuter. Sebelum itu, Musa yang bermain basikal, abangnya bermain skuter.

Mula-mula, terdengar macam ketukan di pintu, mungkin ada orang nak masuk - besar kemungkinan Musa sebab dia belum dapat masuk ke rumah melainkan dibantu. Kemudian terdengar dia melalak.

Tanpa melengahkan masa, saya pun pergilah buka pintu dan nampak Musa menangis kuat dan nampaknya berada dalam kesakitan.

Musa kata," Abang langgar Musa sampai Musa jatuh!"

Ibrahim tercegat tak berkata apa-apa. Seperti yang saya ceritakan di awal, saya mencari motif - sekiranya perkara itu berlaku - maka saya menganggap mungkin disebabkan berlaku perebutan skuter, maka mungkin si abang tak dapat menahan marah maka membuat sesuatu di luar kawalan.

Tambahan pula, Musa dengan yakin mengeluarkan pernyataan yang abangnya dengan sengaja melanggar dia.

Saya memang pantang kalau adik beradik gaduh angkat tangan atau kaki. Maka saya tanya, dalam keadaan tinggi suara, meminta kepastian, " Betul ke Ibrahim langgar Musa?"

"Tak sengaja langgar..." dengan suara yang perlahan dan tidak meyakinkan.

"Betul ke tak sengaja? Cakap betul-betul! Ke Ibrahim tak dapat skuter Musa, marah lepas tu pergi langgar Musa?"

"Tak..." masih lagi dalam suara yang tak meyakinkan. Saya masih lagi tak percaya, dan rasa macam nak tinggikan suara lagi.

Ditambah lagi dengan Musa yang masih mempertahankan cerita dia.

Maka akhirnya saya suruh mereka berdua masuk dan mandi.

Saya teringat kepada CCTV yang ada di luar rumah, dan saya pun cuba lihat kejadian tersebut. Rakaman tak ada suara, namun masih boleh nampak. Sehingga ke saat-saat akhir kejadian, masing-masing sebenarnya buat urusan masing-masing - tidak ada pertelagahan yang berlaku atau berperang mulut.

Musa sedang berdiri satu kaki di atas skuter, cuba mengimbangi badan menghadap pintu. Dalam masa yang sama, tiba-tiba basikal Ibrahim yang cuba digerakkan berubah arah dan melanggar Musa dari belakang. Musa jatuh.

Berkali-kali saya lihat rakaman, dan saya tahu Ibrahim bercakap benar.

Saya fikir, benda itu sebenarnya memberi kesan kepada saya. Suatu ketika dahulu, pernah ada keadaan sewaktu kecil, kita digasak dan dimarahi - sehingga kita terpaksa mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan apa yang berlaku - agar dapat penuhi sangkaan orang yang memarahi.

Itu adalah benda yang tak betul. Dan kali ini, saya hampir-hampir buat benda yang sama.

Itu adalah sesuatu yang disesalkan.

Sekalipun tidaklah saya mengangkat tangan ataupun mengatakan 'Tipu" kepada Ibrahim, tetapi menjerit dengan sangkaan yang kuat - saya takut akan memberikan kesan kepada dia.

Selepas dia mandi, saya cuba berikan layanan baik kepada dia, dan melihat yang dia tidak menyimpan rasa apa-apa selepas kejadian tadi, saya sedikit lega. Dengan Musa saya katakan, abang tak sengaja tadi... abang tak sengaja.

Sekiranya saya masih berkeras tadi hinggakan Ibrahim terpaksa memberikan naratif tipu kepada saya agar saya puas dalam menyangka jalan cerita saya adalah betul, Musa juga akan ditinggalkan dalam keadaan mempercayai bahawa abangnya dengan mudah sanggup melanggarnya dengan basikal.

Emosi kuat, belum tentu benar.

Seseorang tidak salah sehinggalah memang terbukti salah. Bila kita uruskan perhubungan, kita tak uruskan seperti keadaan dalam mahkamah yang membawa dua pihak bersemuka dan kemudian membentangkan hujah masing-masing.

Kita selalunya jadi hakim yang menggunakan pengalaman sendiri sebagai hujah dan lebih mempercayai gerak hati sendiri.

No comments: