Anda tak salah baca. Saya betul-betul nak bercerita tentang perempuan yang 'psiko'.
Perkataan psiko berasal dari perkataan Greek 'psyche' yang bermaksud minda atau jiwa. Selalunya perkataan ini digunakan untuk orang yang mengalami masalah psikologi atau 'hilang hubungan dengan dunia sebenar' (sumber:wikipedia).
Psiko mula digunakan dengan meluas terutamanya oleh golongan muda yang sukakan bahasa-bahasa gempak,
bombastic dan suka mengikuti perkembangan semasa. Antara perkataan-perkataan yang kalau-anda-tak-tahu-anda-bukan-remaja ialah bajet, poyo, potong stim, apon, dan lain-lain lagi. Penggunaan 'psiko' terlalu meluas sehingga saya pun pernah dilabel sebagai psiko.

Berdasarkan pengalaman saya, psiko juga digunakan apabila seseorang itu dikatakan dapat memberi ancaman kepada orang lain. Tahap psiko yang paling tinggi ialah apabila orang sekeliling mengubah gelaran psiko itu kepada 'mental'.
90% daripada orang-orang 'mental' tidak dapat diselamatkan lagi.
Baik, berhenti berleter. Saya persembahkan dua kes perempuan psiko - perempuan yang buat saya rasa terancam.
Kes 1Saya menghadiri sebuah program berdekatan dengan LCCT. Pada suatu pagi, saya pergi ke LCCT tersebut untuk mengeluarkan duit daripada mesin ATM.
Saya beratur di belakang dua orang pramugari. Sila ambil perhatian, ketika itu saya berbaju Melayu merah dan berjambang. Pramugari yang sudah mengeluarkan duit kemudian berdiri di belakang rakannya, berhampiran dengan saya. Sambil mengibas-ngibaskan tangannya, dia pun berkata,
"La, patutlah panas. Ada Tok Imam kat sini rupanya".
Erk. Saya hanya mampu menelan air liur. Saya agak risau, adakah saya mengeluarkan haba tak seperti manusia normal? Mungkin saya perlu membeli sebuah termometer selepas ini.
Kes 2Tempat : dalam LRT. Saya sedang duduk, menunggu LRT tersebut tiba di Sentul. Di hadapan sebelah kiri, berdekatan dengan pintu ada dua orang gadis remaja. Seorang Cina dan seorang Melayu. Mereka nampaknya berkawan baik. Mungkin inilah kesan daripada satu Malaysia : persefahaman.
Dua atau tiga stesen sebelum Sentul. Salah seorang daripada mereka hendak turun. Lalu mereka pun mencium pipi masing-masing (atau sekadar melaga-lagakan pipi, ah, saya tak perasan sebab rabun).
Cina : Eh, ada orang tengok la (sebab kita mesra sangat macam ni)
Melayu : Biarlah dia nak tengok. Apa salahnya? (sambil kedua-dua orang itu memandang saya)
Aduh, tolong sikit. Jangan perasan sangat. Kalau dah sampai menghalang pandangan saya melalui tingkap, apa kejadahnya? Tahulah nak promosikan
racial unity tapi tak perlulah sampai nak menjeling-jeling kat orang lain.
Saya cuba buat bodoh sehingga seorang lagi gadis tersebut turun di stesen berikutnya. ugh.