Post ini adalah khas untuk emak, saya nak juga cerita pasal ayah tapi nanti panjang sangat pula, nak kena fikir cerita lain lagi, kita buat cerita pasal ayah masa Hari Bapa ataupun hari lahir ayah nanti.
Emak adalah anugerah dari Tuhan.
Hari ini hari lahir emak saya. Kebetulan pula hari ini juga merupakan hari ibu.
Maka saya mengambil kesempatan ini ingin mengimbas kembali saat-saya saya bersama dengan emak.
Emak saya seorang cikgu. Saya berbangga mak saya adalah cikgu. Mak saya ajar banyak subjek : Sains, Matematik, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan sedikit sebanyak saya pun terdorong untuk tahu banyak benda seperti itu. Mak saya juga selalu ajar saya melukis sebelum saya periksa Pendidikan Seni. Mak pandai melukis. Cantik. Saya juga pernah melihat lukisan emak masa di maktab perguruan - mak boleh lukis Donald Duck dengan lawa sekali.
Saya bangga emak saya cikgu, tapi kebanggaan itu tak semestinya hanya kerana mak kita cikgu. Kalau mak kita seorang nelayan atau tukang jahit sekalipun, kita sewajarnya tetap juga bisa menyatakan, " Aku bangga ibuku seorang nelayan. Ibuku pandai menangkap ikan."
Pernah dalam perjalanan hendak menghantar saya ke sekolah dengan menaiki kereta, emak kata kepada saya, " Along ni macam mak masa kecik-kecik dulu - jadi wakil baca sajak, wakil untuk pidato, syarahan..."
Saya tak ingat apa yang saya cakap selepas itu dengan mak. Mungkin saya cakap "Oh ye ker?" Tapi yang pastinya, Tuhan sajalah yang tahu dalam hati saya penuh dengan rasa bangga. 'Along anak emak...yeah!'
Ada suatu masa, sewaktu saya masih kecil, mak saya selalu membawa saya dan adik saya ikut bersamanya mengagihkan barang Nutrimetics (mak saya ejen Nutrimetics, sesiapa yang berminat boleh hubungi kami. Tinggalkan Avon). Perjalanan tersebut selalu bermasalah. Tapi masalahnya bukan pada barang kosmetik tersebut, tapi pada kami. Entah kenapa, kami adik beradik selalu jadi macam anjing dengan kucing. Lagak kami tak ubahnya seperti anak-anak kucing yang bergomol antara satu sama lain. Saya tak ingat sama ada waktu itu kami nampak jahat atau comel bila bergaduh, saya sudah lupa. Comel kot. Tapi mak tetap sabar melayan kerenah kami.
Kebiasaannya, emak lah yang lebih dekat dengan kita, dalam hal-hal yang membabitkan luahan-luahan perasaan ni.
Semasa kita demam, muntah-muntah, emak menjaga kita. Atas kebijaksanaan Tuhan, adanya emak di sisi membuatkan kita lega. Yang sakit pun beransur sembuh.
Saya juga teringat akan kisah saya dengan kerengga. Ini bukan kisah saya digigit kerengga. Ini kisah saya terpengaruh dengan seorang rakan yang menunjukkan keseronokan manangkap kerengga atau labah-labah kecil dan kemudiannya memasukkan ke dalam bekas kaset. Bunyinya seronok, dan melakukannya juga seronok. Tapi seingat saya, emaklah yang menasihati saya. Katanya, "Macamana nanti kalau kat akhirat Allah akan buat kita pulak yang kena tangkap dengan kerengga gergasi?" Malam itu, saya menangis. Saya minta bantuan emak untuk melepaskan kerengga tersebut sebab saya dah ada atas katil double-decker dan nak tidur dah masa itu.
Dan banyak lagi kisah yang terkait tentang emak. Sesetengah kisah itu saya lupa, setelah berlalu beberapa waktu. Sememangnya, lupa akan kisah yang lepas itu sesuatu yang menyedihkan. Walaupun demikian, moga-moga kita tidak akan lupa bahawa emak telah banyak berkorban untuk kita.
Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a menceritakan bahawa baginda Nabi s.a.w telah didatangi oleh seorang lelaki lalu bertanya kepada baginda s.a.w yang bermaksud:
“Siapakah orang yang patut aku berbuat baik?. Rasulullah s.a.w menjawab ibumu. Kemudian siapa lagi?, ibumu. Kemudian siapa lagi?,ibumu.Kemudian siapa lagi?, bapamu,kemudian orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya."
Semoga Allah akan sentiasa mengilhamkan kepada kita bagaimana untuk mensyukuri nikmatNya.
1 comment:
yeahhh...i'm absolutely agree wif u...
Post a Comment