Manusia dan personaliti mereka yang berbeza.
Ada sebabnya mengapa kita ditemukan dengan pelbagai jenis manusia.
Ada antara kita yang mementingkan kesempurnaan, kemas, tersusun dan cekap berfikir. Ada antara kita yang orangnya selekeh, tidak berdisiplin, berhingus dan sebagainya.
Hidup lebih indah jika kita saling memahami dan menerima. Namun masalah timbul bila kita memandang rendah terhadap orang lain.
Kalau dengan menjadi seorang yang ‘sempurna’ seseorang itu akan mula memandang rendah , keji atau jelek terhadap orang lain, maka saya rasa lebih elok jadi sampah sarap jalanan yang disepak-sepak orang.
Sememangnya tidak semua orang begitu. Saya bersyukur untuk ditemukan dengan pelbagai jenis manusia. Ada yang anak orang kaya, anak orang miskin, ada yang dikejar lesbian, ada yang melabelkan diri sendiri anti sosial, ada bijak pandai dan orang-orang bodoh. Saya even berpeluang bertemu dengan seorang ahli silap mata.
Baru-baru ini saya ditemukan dengan seorang ahli silap mata yang juga dikenali dengan nama “Pokwe The Magician”. Beliau adalah rakan saya yang baru sahaja sedar akan bakatnya yang terpendam dalam permainan silap mata. Untuk mengetahui kebenarannya, anda boleh berjumpa sendiri dengan beliau.
Sedikit sebanyak melihat orang lain membuatkan kita merenung sifat-sifat diri sendiri. Mungkin sifat pura-pura misalnya yang kita benci ada pada orang lain sebenarnya ada juga tersemat dalam diri kita?
Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13, yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang lebih bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya.”
Jujur saya katakan, Volgograd adalah antara bandar terbaik yang pernah saya jejakkan kaki. Pokwe The Magician mungkin sebahagian kecil sahaja. Di sini saya diperkenalkan dengan ramai lagi kanak-kanak Volgo yang baik, sayangkan Tuhan, faham agama dan banyak lagi ciri-ciri lain yang boleh dikagumi. Kadang-kadang iman seakan-akan menyentuh langit dengan hanya meneliti mereka. ( tolong yer, ini adalah hiperbola semata-mata)
Manusia dengan dosa dan kesilapan mereka.
Sebelumnya saya bercakap tentang menerima orang lain yang memiliki personaliti yang bermacam-macam. (Personaliti, kata akarnya ‘persona’ adalah perkataan Latin yang bermaksud topeng. Jasad manusia, memang seperti topeng pun). Bagaimana pula dengan orang yang melakukan kesalahan ataupun dosa? Apakah kita harus menerima mereka?
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah daripada agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan satu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia. Mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman tetapi bersikap keras terhadap orang-orang kafir. Mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang-orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah maha luas limpah kurnia-Nya, lagi meliputi pengetahuan-Nya.”
(surah al-Maaidah ayat 54)
Saya kira ayat di atas dapat memberikan sedikit bayangan. Kita berlaku lemah lembut terhadap saudara-saudara kita sendiri, dan kita berlaku tegas, keras kepada orang yang menentang agama islam. (contoh : kafir harbi)
Apabila seseorang saudara kita berlaku jahat, maka apa yang kita benci adalah perlakuan jahatnya itu. Kita tidak membenci saudara kita itu.
Jika kita memahami perkara ini maka kita akan menegur dengan baik, menasihati dengan lemah lembut kesalahan-kesalahan saudara kita. Bukannya dengan cara menjerit dan menggertak. Kita tidak akan memulaukan orang lain. Namun kebiasaan yang berlaku adalah walaupun setelah seseorang itu meninggalkan perbuatan jahatnya sekalipun, kita tetap tak dapat menerima dia kembali ke dalam masyarakat.
“Tak tahulah dia ada buat silap atau apa. Tapi dah nama keluarga, mestilah boleh terima dia balik” – adalah antara pesan ayah saya semasa menyebut tentang konflik antara saudara-mara.
Pesan ayah lagi, “ Kalau adik sendiri salah sekalipun, bela dia. Kalau tak bela dia, siapa lagi nak bela dia. Hukuman belakang cerita.”
Kata-kata itu mungkin ada benar, ada silapnya jika dilihat dari sudut yang berbeza. Menutup mata terhadap perbuatan salah adalah zalim, tidak berlaku adil. Sedangkan kita disuruh berlaku adil dalam semua perkara, meletakkan sesuatu itu pada tempatnya.
Kata-kata itu ada benarnya, dalam keadaan seperti :
Kita tidak sanggup melihat saudara kita dihukum bawah pemerintahan kafir yang tidak adil. Kita ingin jika saudara kita itu dihukum, lebih baik dia dihukum di bawah pemerintahan yang adil. Kita tidak sanggup membiarkan masyarakat yang tidak faham dan dungu menghukum adik kita. Lebih baik adik kita dihukum dengan tangan kita sendiri berbanding masyarakat yang tidak mampu menerima orang lain.
Dipetik dari majalah Al-Mitsaq:
"Amma ba'du, Sesungguhnya telah celakalah Ummat terdahulu sebelum kamu. apabila telah telah mencuri diantara pembesar mereka , mereka tidak menjatuhkan hukuman ( Hudud ) kepadanya. dan apabila telah mencuri orang lemah diantara mereka , mereka menjatuhkan Hudud atasnya. Sungguh aku (Muhammad SAW) yang jiwaku berada ditangan Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri sungguh-sungguh aku akan memotong sendiri tangannya. "
( Dari Hadits Aisyah istri Nabi SAW , Riwayat Muslim )
Saya ingin menulis tentang menerima diri sendiri, tapi post ini pun sudah panjang. Saya sambung dalam post berikutnya.
Sekian kawan-kawan, selamat menerima orang lain. Sila perbetulkan kalau ada salah dan silap saya dalam post ini, dan juga sewaktu berada di luar komputer. =p
1 comment:
pokwe the magician?
haha
Post a Comment