javascript:void(0)
Don't believe everything i've said, heck, don't believe anything. Learn to differentiate facts and personal opinions. Do your OWN research, then, CHOOSE what to believe.

Sunday, November 22, 2009

Ketua Kampung "Utopia"

Ahmad seorang lelaki biasa yang lengkap pancainderanya - tidak cacat ataupun mempunyai apa-apa penyakit yang kronik atau sangat membimbangkan. Entah bagaimana, tiba-tiba dia dipilih untuk jadi ketua kampung. Ya, dilantik itu semuanya termasuk dalam perancangan Tuhan. Dia mengangkat sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya, Dia menghinakan sesiapa juga yang Dia kehendaki. Dan tidak ada sesiapa pun yang mampu mengatakan jika Ahmad dipilih itu adalah sebagai hadiah dari Tuhan, sebagai ujian ataupun pembalasan dari Tuhan.

Mengapa pembalasan? Kerana apabila sesebuah kaum hendak dihancurkan, maka akan diangkat orang yang zalim untuk jadi pemimpin. Nah, Tuhan yang memiliki kehendak bisa melakukan apa sahaja yang Dia mahu, tapi Dia juga miliki kasih sayang yang amat luas. Maka jika benar-benar sesebuah kaum ingin dihancurkan, itu semua adalah kerana betapa besarnya kesalahan yang dibuat oleh sesebuah kaum itu.

Itu kisah tentang pembalasan. Hendak dijadikan cerita, Ahmad itu seorang yang agak selekeh, penampilan yang tidak berapa kemas dan suka tersengih macam kerang busuk. Pelantikan Ahmad sebagai ketua kampung sangat membuatkan hati Kasim, seorang penduduk kampung tidak senang.

"Macamana dia boleh jadi ketua kampung? Aku lebih sistematik, berkaliber. Aku sangat tersusun, penampilan aku kemas...tak macam budak hingusan tuh!"

Tidak kurang juga kawan-kawan Ahmad sendiri - Raja dan Hazman. Atau penggunaan 'kawan' itu kurang tepat mungkin, sebab kawan tak akan meninggalkan kawan yang lain, tidak akan merendah-rendahkan kawannya.

"Haah la, aku pun tak sangka dia boleh jadi ketua kampung".

"Ala, Ahmad tuh aku boleh tumbuk je...aku boleh marah-marah je la. No problemo lah".

Ahmad sedar setiap perkara yang berlaku di sekelilingnya. Dia bukan bodoh untuk tidak faham. Dia juga bukan manusia jiwa batu yang tak terkena kesan kata-kata 'kawan' dan anak buahnya sendiri.

Seorang ahli falsafah tua yang memerhati keadaan kampung itu pun pada suatu hari bertanya kepada anak muda itu.

"Hai anak muda, apa yang buat hati sedih? berhentilah bersedih anak muda, raut wajahmu hanya membuatkan jantung atuk terasa lemah..."

"Atuk,saya sedih sebab terkenangkan apa yang berlaku ke atas saya. Saya sedar, saya bukanlah ketua kampung yang terbaik untuk mereka, saya manusia tak berbudi pekerti..."

"Hai anak muda, belajarlah tentang tawadhuk, nescaya kata-kata mereka tak akan beri kesan..."

"Atuk, saya faham benar bahawa setiap manusia harus menundukkan ego mereka sendiri. Kalau diikutkan saya ingin sekali sampai tahap pergantungan saya kepada Tuhan itu begitu tinggi sehinggakan kalau saya diludah, kepala saya dipijak ataupun badan saya dibaling najis pun hati saya tak akan berpaling daripada Tuhan, Tuhanlah Yang Maha Besar, Tuhanlah Yang Maha Agung.

Tapi atuk sendiri tengoklah saya, adakah saya sudah mencapai tahap itu? Saya jauh atuk, meskipun Tuhan itu sentiasa dekat dengan kita. Lagipun, bukankah seseorang itu perlu menghormati dan mematuhi pemimpinnya bila dia tak menyeleweng daipada ajaran agama?

Saya bencikan konflik, saya bencikan pergaduhan. Maka saya taruk topeng 'kerang busuk' saya kerana saya beranggapan dengan itu saya akan dapat hindari konflik dengan orang ramai. Saya kurang kemas sebab saya sangat bencikan sistem. Saya adalah orang yang suka memberontak. Dan saya tak dapat menerima kenapa saya harus berpakaian khusus untuk menggembirakan hati orang lain...bukankah cukup jika tidak membawa mudharat atau penyakit kepada orang lain?

Saya tidak ingin orang pandang tinggi kepada saya, namun saya juga tidak harapkan saya dihina atau dipandang rendah. Saya tak berpelajaran tinggi, tapi sekurang-kurangnya saya tahu semua orang ada maruah. Maka mereka tak sepatutnya calarkan maruah orang lain!"

" Baiklah kalau begitu, nak. Atuk pun dah kehilangan soalan lagi. Boleh atuk duduk di sini?"

Maka atuk itu pun duduklah bersama-sama anak muda itu. Sekurang-kurangnya mereka ada masing-masing sebagai kawan.

******************************************************************************************

Pidato Saidina Abu Bakar r.a ketika dilantik menjadi pemimpin umat Islam selepas kewafatan Rasulullah saw.

“Saudara-saudara, aku diangkat menjadi pemimpin bukanlah kerana aku yang terbaik di antara kamu semua. Untuk itu, jika aku berbuat baik, bantulah aku. Jika aku berbuat salah, luruskanlah aku. Sifat jujur itu adalah amanah, sedangkan penipuan itu adalah pengkhianatan.

Janganlah di antara kamu meninggalkan jihad, sebab kaum yang meninggalkan jihad akan ditimpa kehinaan daripada Allah swt. Patuhilah kalian kepadaku selama aku mematuhi Allah dan Rasul-Nya. Jika aku menderhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, maka tidak ada kewajipan bagi kalian untuk menghormati dan mematuhi aku…”

No comments: