javascript:void(0)
Don't believe everything i've said, heck, don't believe anything. Learn to differentiate facts and personal opinions. Do your OWN research, then, CHOOSE what to believe.

Tuesday, March 24, 2009

Melayu oleh Usman Awang

Untuk sekali sekala, kita perlu berehat. Terutamanya apabila kita berasa lelah dengan dunia yang kacau ini. Kekacauan dalam mencari makna hidup, atau pun rasa pening dengan kekacauan yang berlaku dalam politik di Malaysia. Jadi, marilah kita berehat dengan membaca puisi. Heheh. Puisi tentang Melayu oleh Usman Awang.


Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika benar
Kecut takut kerana bersalah,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati anak
Jangan mati adat.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua’alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

Saturday, March 21, 2009

Erti Hidup Pada Memberi

Aku perlu menulis.
Berbicara tentang cinta. Tentang kekeluargaan, persahabatan dan perpaduan.

Aku bimbang aku akan tenggelam dalam kegelapan
dan dimusnahkan oleh masa.

Bila aku telah tenggelam dalam kegelapan,
aku tidak akan dapat berbicara lagi tentang kebenaran.

Aku akan menjadi bisu.

Jika aku berkata-kata, aku akan hanya mengajar kalian tentang hipokrisi.
Dengki akan tumbuh, dan kepalsuan bermaharaja lela.

Erti Hidup Pada Memberi. Itu kata-kata Ustaz Saifulislam.com.

Dia benar. Memberi itu maknanya luas. Boleh jadi memberi peluang untuk diri berubah, memberi masa dan tenaga untuk melakukan kerja-kerja kebaikan, dan memberi apa-apa yang dirasakan boleh membuat hidup itu lebih bererti.

Ya, dengan memberi kita menambah pengertian dalam hidup. Tapi memberi bukanlah segala-galanya tentang hidup.

Maafkan saya bila berkata sebegini. Saya amat pening sekarang. Pemikiran saya telah dimusnahkan dan dibina berulang-ulang kali. Difahamnya tentang satu konsep, tiba-tiba konsep yang lama muncul kembali memberikan justifikasi. Konsep yang lama minta dipandang, dan dibenarkan. Dengan pemikiran juga saya melihat diri sendiri dan orang lain, dan saya makin pening, hati makin berat. Tiba-tiba satu suara lain pula menjenguk, 'apa kau melihat sekeliling dengan hanya menggunakan pemikiran?'
Rupanya saya pening, tapi saya masih berangan-angan.


Saya berpendapat, erti hidup adalah pada tujuan. Bila tak kita ketahui apa tujuan kita (atau dah tahu, tapi tak yakin) maka kita harus mencari tahu apakah tujuan itu.

Kadang-kadang kita ingin hidup kita jadi seperti orang lain, kerana nampaknya seperti hidup orang lain itu lebih indah dan lebih bermakna. Padahal makna itu kita sendiri yang perlu cari. Hidup sebagai orang kaya boleh jadi bermakna, namun hidup sebagai anak petani juga mempunyai makna yang tersendiri.



Tujuan telah tertulis dalam kitab suci, tapi hati masih terasa berat dan pedih.

"Tidak akan kamu berperasaan gundah walau sekali jika kamu tahu apa yang kamu cari"
- Saidina Umar

Maka saya ingin mencari Cinta. Makhluk memanggilnya dengan nama Tuhan. Hamba memanggilnya Yang Disembah, rakyat memanggilnya Raja. Orang-orang miskin meminta pada Yang Maha Kaya, orang-orang hina mengharapkan Yang Maha Mulia. Dia juga dikenali dengan nama Yang Maha Perkasa, Yang Maha Adil dan banyak lagi nama-nama indah Tuhan.

Saya percaya Tuhan akan menghilangkan rasa takut dan bimbang.

Saya tak temui cinta manusia itu boleh menghalang seseorang daripada melakukan kekejian dan maksiat. Mungkin seseorang akan terdorong untuk jadi manusia baik, disebabkan cinta kepada manusia yang baik juga, namun ianya tidak berkekalan. Sama ada kita lupa akan manusia tersebut atau manusia itu telah pun berubah.

Manusia dengan mudahnya melupakan Tuhan, bagaimana pula manusia tidak akan melupakan manusia lain? Hal itu pastinya lebih mudah lagi.

Manusia adalah ciptaan yang kompleks. Waktu ini anda melihatnya berdiri, sesaat kemudian dia berlari. (kenapa dia berlari secara tiba-tiba?) Anda lihat manusia semasa susahnya meminta dengan penuh harap, apabila beroleh kesenangan, dia jadi lupa diri.

Maaf sekali lagi. Kepala saya sakit. Ugh. Atau hati sayakah yang sakit?
Mungkin saya berpura-pura sakit, minta simpati daripada orang lain.

Aku tak dimiliki dan tak memiliki apa-apa pun, selain Tuhan.

Benarkah? Maka kalau begitu tiada apa yang dapat diberi.

Wednesday, March 18, 2009

Kejayaan adik Nik Nur Madihah Mohd Kamal dipersoalkan?

Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah buat adik Nik Nur Madihah atas kejayaan beliau memperoleh 20A (19 1A, 1 2A) dalam peperiksaan SPM. Kejayaan beliau membuka mata ramai orang yang selama ini hidup dalam kemewahan.

Saya kira saya tak perlu perjelaskan lebih lanjut tentang kesusahan yang dialami oleh adik Madihah kita ini. Untuk cerita penuh tentang kesusahan hidup beliau, boleh tekan :


INILAH RUMAH SAYA





Sebenarnya kisah-kisah seperti ini (kesusahan hidup) memang sudah ada. Tapi inilah kali pertama seorang PELAJAR TERBAIK SPM datang dari keluarga yang susah amat.

Namun, sewaktu mendengar cerita tentang adik ini, satu persoalan berlegar-legar dalam kepala saya.
'Dia telah dikenali, dan kejayaannya telah pun diakui. Tapi siapa yang akan membantu adik ini selepas ini?'

Saya khuatir yang nasibnya akan sama sahaja seperti apa yang berlaku ke atas adik Adiputra. Bakat seperti dia dicadangkan mengikuti sistem pendidikan biasa? Matematik bukan segala-galanya? Masa untuk tersenyum sinis buat orang-orang yang berfikiran seperti ini.

Tapi perkara itu agaknya tidak berlaku kepada adik Madihah ini. Mengikut sumber terkini, banyak biasiswa yang telah ditawarkan, tanpa adik ini perlu memetik sebarang jari pun. Adik ini hanya tinggal untuk pilih. Anda boleh lihat di sini :

Madihah terima pelbagai tawaran biasiswa




Madihah belum buat keputusan




Beberapa persoalan lain yang ingin saya tekankan.

Semasa saya di Tingkatan 5, waktu itu heboh diperkatakan tentang kejayaan Amalina. Namun kejayaan Amalina ini dipersoalkan oleh seorang rakan saya berbangsa Cina. Dia kata, ini hanya propaganda nak menaikkan orang Melayu. Tak siapa tahu yang dia sebenarnya gagal sewaktu di peringkat A-level selepas itu. Sejauh mana cerita ini benar, tidaklah saya tahu. Namun, saya melihat memang ada yang tak kena dengan Amalina, kerana pemikirannya yang tidak mantap mungkin? Atau gaya hidup? Hmm.


Itu persoalan propaganda. Tapi adik Madihah ini orang miskin. Dia memang seharusnya diberi peluang untuk pergi lebih jauh.


Persoalan kedua, persoalan BANYAAAAAAK A. Ada orang ingin mempersoalkan subjek-subjek yang diambil. Memandangkan dia datangnya dari sekolah agama, besar kemungkinan subjek-subjek yang diambil itu kebanyakannya memang berkait rapat dengan satu sama lain, dan mungkin tak sesuai pun untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat antarabangsa. Itu satu. Ada pula pelajar-pelajar yang mengambil jurusan perubatan (saya harap yang ini kena batang hidung kita sendiri) atau kejuruteraan seumpamanya mempersoalkan kejayaan adik ini.
Katanya, "alah, tak penting pun dapat banyak A. Contohnya kalau nak ambil medik, bukan nak tengok semua subjek pun".

Tunggu, tunggu dulu. Yang ini apa kejadahnya nak cakap macam tu? Adakah kita dengki dengan kejayaan adik ini? Atau mungkin hanya sebab kita ambil jurusan perubatan kita ingat kita lebih bagus daripada orang lain? Saya sendiri pernah berfikir kita lebih bagus, tapi sekarang tidak lagi. Kalaulah kalian tahu tentang pengetahuan yang lebih utama, kalian tidak akan berkata seperti itu. Pengetahuan-pengetahuan yang kalian ada tentang badan manusia, tentang bangunan, tentang fizik dan sebagainya ini akan jadi sampah semata-mata dibandingkan dengan pengetahuan yang lebih utama. Kalau saya ada masa, saya akan jelaskan tentang pengetahuan yang lebih utama ini.

Yang pentingnya, hendak dapat banyak A bukannya senang, lebih-lebih lagi kalau hidup dalam kesusahan. Saya lebih suka orang yang meluas pengetahuannya berbanding orang yang hanya tahu satu bidang sahaja. Tapi, ini apa yang saya fikir. Tetap tak ada salahnya kalau nak fikir lain.


Persoalan ketiga, persoalan politik. Ada sesetengah orang memang tak boleh fikir benda lain. Tidur politik, makan politik, mandi pun politik. Yup, adik Madihah anak Kelantan. Sebenarnya tak kisahlah seseorang itu anak Kelantan ke, anak Samdol atau anak Tan, anak Joseph atau anak Subramaniam, apa-apa yang baik boleh sahaja dijadikan contoh. Saya boleh nampak kalau kejayaan adik ini menaikkan kerajaan Kelantan, tapi kalau nak gunakan dia untuk mencerca BN? Saya sangat-sangatlah pening.


Baiklah, sampai di sini sahaja dulu. Sehingga berjumpa lagi, jika ada kesempatan.

Thursday, March 12, 2009

Bolt : Kisah Haiwan Teladan

Saya sendiri tergelak sewaktu meletakkan tajuk post saya kali ini. Tapi anda tak perlu gelak hanya kerana saya gelak, itu hipokrisi namanya. Ah,lupakan. Kita teruskan saja cerita kita.




Baru-baru ini saya ada menonton satu filem. Filem animasi. Atau dalam bahasa kanak-kanak, filem animasi itu dipanggil kartun. Filem tersebut bertajuk Bolt. Berlainan dengan Wall-E, Bolt tidak berfokus pada air mata kita, sebaliknya pada perut kita.

Perut?Maaf, saya tidak boleh menjelaskan maksud saya. Anda harus mengalaminya sendiri.



Cerita Bolt ini akan bawa anda pergi mengembara. Anda akan mengembara bersama-sama anjing (Bolt), kucing (Mittens) dan hamster (Rhino) merentasi padang pasir, merenangi lautan dan meneroka hutan belukar.

Tapi ada orang pula akan persoalkan, "ish, anjing rupanya cerita ni. Apa kejadahnya kamu tengok cerita anjing ni?"

Rakan-rakan, sayangilah setiap makhluk Tuhan. Hanya kerana kita perlu melakukan sertu (orang biasa kata samak) jika tersentuh najis mughallazah, tak bermakna sama sekali kita harus membenci makhluk-makhluk tersebut.




Saya cadangkan anda lihat trailer cerita ini :



Di samping itu, saya selitkan gambar-gambar snapshot filem tersebut -



Kadang-kadang kita pelik, kenapa orang kita boleh tengok ikan (Finding Nemo, ikan laga Anak-anak Sidek) tetapi tidak boleh tengok anjing (Bolt)?
- luahan perasaan yang tak berasas sama sekali. Haha.

Oh, saya tak kisah anda hendak kata saya fanatik atau apa, saya tak kisah. Benda yang baik harus saja dikongsikan dengan semua orang, hatta kucing atau anjing peliharaan anda sekalipun harus dibawa tengok cerita ini. Mereka, iaitu haiwan-haiwan lain, harus disedarkan tentang keupayaan mereka yang sebenar, kuasa 'super' mereka!! Yeah!

Untuk siapa cerita ini? Sememangnya untuk semua. Namun saya rasa filem ini LEBIH DITUJUKAN kepada orang-orang yang mungkin masih ingat dia mempunyai kuasa istimewa (mungkin sebab terlalu terpengaruh dengan kartun) atau orang-orang yang berlagak sebab perasan diri kuat, ada nilai hidup yang tinggi atau apa-apapun agar mereka MULA MENGUKUR KEHEBATAN SENDIRI.

Antara dialog-dialog yang boleh dikatakan menarik :-

Bolt: What is this red liquid coming from my paw?
Mittens: It's called blood, hero!
Bolt: Do I need it?
Mittens: Yes, so if you want to keep it inside your body, where it belongs, you should stop jumping off trucks doing eighty on the interstate!

Ianya memang betul. Tak tipu. Saya yang percaya saya boleh terbang seperti Superman akhirnya sedar selepas tengok filem Bolt ini.

Maaf, untuk kali ini, saya tidak dapat letakkan link untuk download filem ini melalui torrent. Saya tidak dapat mencarinya. Namun jika saya jumpa, saya akan letakkannya.

Buat masa ini, anda boleh datang temui saya untuk ambil cerita ini. Dengan suka hatinya dipersilakan.

Tuesday, March 3, 2009

Kebingungan. Kucing. Perkahwinan. Kehilangan. Perempuan. Ketaksuban. Mazhab cinta. Adik.

Amaran : Post kali ini adalah antara yang terpanjang pernah saya tulis. Walaupun telah diringkaskan, tetap panjang juga. Jika anda mahu, anda boleh melawat Utusan Online untuk artikel yang lebih pendek.

Banyak perkara yang berlaku hari ini.

Hati itu. Yang busuk dan bernanah.

Pagi itu. Hati saya bernanah. Busuk. Meloyakan. Mungkin inilah hati saya selama ini. Bernanah. Busuk. Meloyakan.

Saya teringat pada salah satu tulisan saya, yang saya tulis untuk mengingatkan diri saya sendiri, saat-saat begini.

Manusia yang tidak dapat mengawal dirinya tidaklah layak untuk hidup.

Tidak layak untuk hidup, tetapi tidak berani pula untuk menerima sebarang hukuman dari langit.

Saya yang kebingungan.


Kucing.


Pagi itu saya pergi ke kelas. Dah tentu, hari-hari saya pergi kelas (takkan nak ponteng?). Kelas Surgery, di regional hospital (oblastnaya balnitsa). Sedang asyik menekuni buku, seorang kawan saya menceritakan tentang video yang baru dilihatnya. Video tersebut dipaparkan di blog Bidayatul Hidayah, yang menurut saya blog tersebut adalah antara blog-blog yang bagus. Bercerita tentang video tersebut, teringat saya kepada Azzad, yang sememangnya meminati gadis berpurdah. Yup, video-video dalam blog tersebut banyak memuatkan gadis-gadis yang berpurdah.

Maka saya pun pulang ke rumah sebentar untuk berehat dan melihat video yang dikatakan itu. Sesampainya di rumah, saya terbeban dengan satu tugas tambahan pula. Saya perlu membersihkan berak seekor kucing yang tinggal di rumah saya tanpa membayar sewa. Tempat kucing tersebut berak dirahsiakan bagi mengelakkan sebarang muntah berlaku Hendak lihat gambar kucing tersebut? Silakan. Muka comel, tapi tak reti nak berak di tempat yang sepatutnya.




Perkahwinan.

Kemudiannya saya membuka laman web yang dimaksudkan. Berikut adalah video yang mengulas perkahwinan antara Syafiq dan Mazidah baru-baru ini.





Hendak lihat video-video yang lain? Lawati blog Bidayatul Hidayah di alamat berikut :

http://blogs.albawaba.com/alhidayah

Atau anda berminat untuk dengar lebih lanjut tentang perkahwinan, saya cadangkan anda satu artikel daripada kawan saya. Silakan tekan.

The traditional malay marriage..convoluted.indeed.

Jika nak dikira, Syafiq adalah lelaki ketiga yang sudah pun bergelar suami selepas Mat Pih dan Fahmi. Mungkin selain mereka ada yang telah berkahwin, tapi saya memang tak mendengar apa-apa cerita. Mungkin ada orang nak khabarkan kepada saya yang sebenarnya Mujahid dah kahwin? Ahmed? Ezuwan Ezani mungkin? Haha. Gurau.

Saya melihat video-video yang dihasilkan adalah satu usaha yang bagus sekali. Mudah difahami. Ringkas dan padat. Itu dari segi video. Dari segi perkahwinan pula, secara jujurnya saya memang tak sangka yang saya sendiri dapat melihat (baca : melihat, bukan melalui ) perkahwinan pada usia muda remaja, semasa masih di bangku universiti.

Saya pada mulanya turut berminat nak membincangkan tentang isu perkahwinan ini dengan lebih lanjut, tapi terpaksa mematikan niat saya kerana perbincangan itu pasti panjang berjela. Lain kali sahaja. Tapi apa yang boleh saya katakan ialah, memetik kata-kata Saifulislam.com ,
“Jadikanlah perkahwinan itu sebagai medan untuk memberi, bukan (melihatnya untuk) menerima (semata-mata)”

Nasihat di atas terpakai untuk yang baru berumah tangga, juga yang sudah lama berumah tangga. Tidak ada kaitan pula dengan yang sudah meninggal dunia.


Kehilangan.

Saya kemudian meneruskan pembacaan saya. Saya ingin melihat satu blog yang bagi saya memuatkan kata-kata yang cukup indah. Blog tersebutlah yang telah menyebabkan saya terdorong untuk menghasilkan beberapa puisi yang agak panjang sedikit, iaitu Hati, Angin dan Mimpi.

Sebelumnya saya tidak menulis sepanjang itu (walaupun hakikatnya puisi-puisi tersebut agak pendek ) tapi saya cuba untuk menumpukan seluruh perasaan saya dan mencurahkannya ke atas kertas untuk menjadi sesuatu yang panjang dan bermakna. Dan bermakna bagi saya ialah apabila saya tidak akan jemu untuk membacanya berulang-ulang kali.

Ia tidak semestinya jadi begitu juga buat orang lain, buat anda semua, tapi itulah yang terkesan pada saya.

Namun demikian, buat kali keduanya, blog itu telah hilang secara ajaibnya. Sedikit sebanyak saya rasa terkilan, atau mungkin juga sedih. Tapi sekurang-kurangnya saya sempat menyimpan sebuah tulisan tentang cinta. Saya jadikan ungkapan cinta itu sebagai pengakhiran bahagian sedih ini. Saya akan memadamkannya jika tuan punya ungkapan ini tidak ingin saya meletakkannya dalam blog saya ini.

cinta

cinta itu jernih dan berkuasa.
maka tentu kebencian paling tegar pun akan cair dengan cinta. gelisah dan marah pun bisa reda dengan cinta. sedih dan sedu pun pergi saat dipujuk dengan cinta.

cinta itu teguh dan bernyala.
sehingga ujian apapun tak bisa mensirnakan warnanya. susah dan derita pun tak merubah ia. pengkhianatan pun takkan boleh mencalari kehalusannya.

cinta itu agung dan suci.
ia datang dari sudut hati paling dalam. yang percaya dan rela.

cinta itu anugerah.
dari yang sempurna.

Posted by alya



Perempuan.

Mengapa mereka? Sebab berdasarkan apa yang saya tahu, video-video di atas adalah dihasilkan oleh kaum Hawa. Majoritinya. Atau mungkin semua sekali?

Benar-benar membuka mata. Saya sudah lama memahami yang taraf lelaki dan perempuan itu sama. Yang membezakan mereka adalah takwa. Tapi mungkin dari sudut hati saya, saya lebih kagum terhadap kaum Adam. Lebih ramai lelaki yang dapat melihat dunia ini menurut yang sepatutnya berbanding perempuan. Tak ramai perempuan yang boleh membincangkan isu-isu. Perempuan lebih emosional. Tidak rasional. Kebanyakan perempuan hanya mengikut.

Tapi bukankah saya silap. Mereka juga ada fikrah perjuangan yang mantap. Kalau lelaki membacakan kepada mereka ayat 31 surah An-Nur, maka mereka akan membalasnya dengan ayat 30 surah An-Nur juga. Dan selalunya merekalah yang lebih jernih dalam melihat sesuatu yang orang lelaki tidak dapat nampak kerana keegoan mereka.

Perempuan zaman moden bukanlah calang-calang orang.

Rabiatul Adawiyah, antara manusia kepunyaan Cinta yang telah Dia bebaskan dari perhambaan manusia.

Ketaksuban.

Petang itu saya perlu pergi ke universiti. Bangunan utama. Pathology Physiology. Sewaktu rehat, saya membincangkan tentang Imam Al-Ghazali. Suatu perbincangan yang sebenarnya telah bermula saat kelas Surgery pagi tadi.

Tak perlu diingatkan berkali-kali agar tidak taksub kepada seseorang. Tak perlu. Saya khuatir bila kita selalu mengatakan kepada orang lain ,"jangan taksub, jangan taksub" setiap kali orang lain ingin memberikan pendapat, maka yang wujudnya bukan ketaksuban terhadap pemimpin, tapi rasa ujub (berasa hairan pada diri sendiri) pula yang berlaku. Mengapa? Kerana kita berfikir, kitalah manusia bagus yang boleh memberikan hujah kebaikan dan keburukan seseorang itu.

Saya hanya ingin memberitahu rasa kekaguman saya terhadap mereka. Imam Al-Ghazali, Imam Hassan AlBanna, Syed Qutb, Tun Mahathir, Dr Asri atas pendapat-pendapat mereka yang benar. Bersetujulah dengan saya bila perkara yang saya kagumi itu berlandaskan syarak, tegurlah saya bila kekaguman itu bukan yang berlandaskan syarak.

Bukankah teman yang sebenar sifatnya saling membenarkan? (mempercayai ketika benar, dan menegur bila salah)


Mazhab Cinta.

Bercerita tentang Imam Al-Ghazali, atau Hujjatul Islam nama gelarannya, saya cadangkan anda baca buku-buku beliau.

Mencintai Tuhan.

Kalau benar ingin begitu, belajarlah sedikit sebanyak tentang kesufian. Imam Al-Ghazali adalah sumber yang baik. Dia adalah orang yang menghubungkan syariat dengan tasauf dalam satu bentuk yang mudah difahami masyarakat. Dia menjaga batas-batas kesufian dalam norma-norma kehidupan orang awwam.

Tapi kemudiannya anda menempelak saya dengan kesesatan sufi (ada juga yang sesat, yang mengikut kerahiban Kristian). Padahal tasauf adalah soal hati. Barang siapa yang melebihimu dari sudut hati, bererti dia telah melebihimu dari segi tasauf. Perbetulkan fahaman anda sebelum mahu menempelak orang lain.

Hmm, entahlah. Saya ingin menyampaikan. Tapi saya bimbang, andai kata anda akan mendapat persepsi yang salah. Bagi yang tidak prejudis, boleh menerima, berfikir, tidak ego, dan terdorong oleh niat yang baik, maka saya ingin promosikan satu laman web yang mengumpulkan karya-karya Imam Al-Ghazali.

Al-Ghazali website


Saya juga ingin menunjukkan sebuah cerita tentang Laila dan Majnun yang saya temui sewaktu mencari ‘blog yang hilang’ seperti dalam cerita di atas tentang kehilangan.
Sekali lagi, saya ingatkan.
JANGAN TEKAN bila anda masih lagi kabur, dan anda tak faham sepatah haram pun apa yang saya cakapkan di atas.

Laila Majnun-sebuah kisah cinta sejati; karya ahli sufi

Adik.




Comel tak? Gambar ini adalah gambar adik saya sewaktu masih kecil.

2 Mac adalah hari lahir salah seorang adik saya. Maka marilah kita sama-sama doakan agar dia akan menjadi seorang manusia seperti yang diinginkan oleh agama. Moga dia juga akan berjaya menjawab peperiksaan UPSRnya pada tahun ini dengan cemerlang. Amin.

Bagaimana nak cakap, ya. Antara semua jenis manusia, yang paling dekat dengan kita adalah keluarga kita. Ini apa yang saya fikir. Tapi saya juga masih merasakan yang saya masih belum dapat menjalankan tugas saya dengan sempurna. Saya selalu lupa dan tidak berfikir panjang. Saya juga orang yang susah nak menunjukkan perasaan, kalau tak silap saya. Tapi saya pernah terdengar,
“ Orang yang tidak reti nak menunjukkan kasih sayangnya tidak akan diasayangi oleh manusia lain”




Sekian, saya akhiri post ini.

Sunday, March 1, 2009

Mimpi


(pengiktirafanku buat orang-orang yang bermimpi)

Dan mereka bertanya : apa itu mimpi?
Maka biar aku beritahu kalian perihal mimpi.

Mimpi adalah dunia fikiran yang mengasyikkan
ia adalah jalan lurus yang terlorongkan oleh kebenaran.

Bukan namanya mimpi bila kau harus
meraba-raba dalam gelap,
itu kesesatan ;
atau bila kau perlu mengenyitkan matamu
kerana silaunya cahaya
- itu juga bukan mimpi,
tapi kelekaan.

Mimpi boleh jadi malam,
langit penuh bintang
dan kunang-kunang menari girang
mengiringi perjalananmu
bermandikan cahaya bulan.

Mimpi boleh jadi siang,
taman luas, kiri dan kananmu pepohon redup
dan angin membelaimu lembut
saat matahari malu-malu menampakkan cahayanya.

Mimpi itu bukan milik orang-orang yang bongkak,
bangga diri, manusia ego.
bukan juga milik manusia realiti yang gah menyatakan
"aku berpijak atas dunia nyata."

Mimpi itu ada hak atas orang-orang
yang percaya pada janji, yang ikhlas,
yang bersih.

Orang-orang yang bermimpi
bermimpi tentang cinta, adil dan janji

Orang-orang yang bermimpi
menjejakinya pada waktu pagi dan petang
mencarinya siang dan malam.

Mereka ingin kekal dalam mimpi,
dan terus bermimpi.