Kakak-Kakak di Volgograd
Dekat Volgo dulu ada beberapa orang kakak-kakak yang saya kira memang legend, terutamanya dalam kalangan budak-budak usrah. Antaranya adalah Kak Nor, Kak Gmex (Dr Azimah) dan juga Kak Dihe'. Seingat saya mereka ni tinggal serumah.
Kebetulan lalu dekat YouTube feed saya podcast yang dibuat bersama oleh Kak Gmex dan juga Fadzli Nizhny (Dr Fadzli), berkisar sekitar pendidikan seksual. Sebelum itu di Facebook memang saya ada perasan di mana Fadzli memperkenalkan bahawa dia pun mula fokus kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan lelaki, kelamin lelaki, iaitu andrologi. Manakala Kak Gmex sudah pun mula membincangkan berkaitan pendidikan seksual, dan lebih berfokus kepada perempuan sebelum itu lagi.
Saya ada berjumpa dengan Fadzli dan juga Huzaimi, rakan batch saya di Moscow, pada Oktober tahun lepas, tahun 2025. Ianya satu pertemuan yang menarik. Dah lama tak jumpa dan banyak perkara yang dibincangkan, dikongsi. Seolah-olahnya macam saya dan Fadzli ni dah kenal lama. Beliau adalah seorang yang bagus dari segi fikrah, memang seorang yang membantu komuniti, seorang businessman yang cekap.
Pertama kali saya kenal Fadzli adalah ketika saya dipilih oleh Azzad untuk pergi ke Perhimpunan Agung UMNO sebagai wakil Kelab UMNO Luar Negara Volgograd pada tahun 2007. Waktu itulah saya ada bertemu dengan Fadzli dan juga Akmal Saleh, wakil daripada Moscow. Tapi saya tak rasa Akmal kenal saya ataupun masih ingat pada saya, sebab saya bukanlah siapa-siapa.
Podcast Suami Isteri
Melihat podcast untuk membincangkan topik yang saya kira agak tabu, pula tu dihos oleh sepasang suami isteri yang saya kenal, saya tidak dapat tidak kadang-kadang terasa geli hati mendengar perbualan ataupun perbincangan mereka, yang mana mungkin saya tak akan dapat membawa podcast tersebut secara serius jika disuruh berbuat demikian. Lagi tak terbayang kalau saya dengan wife yang buat podcast tersebut.
Walau bagaimanapun, benda ni bukanlah sesuatu yang patut digelakkan sebenarnya. Sebab pendidikan ni memang sesuatu benda yang penting.
Dan saya kira mungkin Dr. Fadzli dan juga Dr. Azimah adalah sepasang suami isteri yang membawakan podcast berkaitan pendidikan seksual ini dalam bahasa Melayu kepada orang ramai. Mereka juga bukanlah daripada golongan liberal, tetapi boleh kata datangnya daripada golongan yang nakkan agama, senang cerita. Jadi perkongsian-perkongsian tu patut dipelajari oleh semua orang, terutamanya pasangan lelaki dan perempuan yang sudah berkahwin. Contohnya ada bahagian seperti apakah jenis-jenis orgasm yang wujud, macam mana, dan juga beberapa point-point lain.
Lelaki Dinormalisasi, Perempuan Dikata Gatal
Dalam video YouTube yang lain, dikatakan masyarakat seolahnya sudah normalisasi lelaki dan seks, tetapi apabila perempuan berbincang atau ingin tahu pasal ni, akan dikatakan gatal atau tak sesuai... Ini adalah sebelum berkahwin atau waktu zaman persekolahan contohnya. Tapi konflik berlaku, lelaki yang memilih perempuan yang tak terdedah dengan benda semacam itu kemudiannya diharapkan dah tahu macam mana yang sepatutnya dibuat di kamar tidur.
Ini adalah video tersebut:
Berdasarkan penerangan pakar seksologi (Kak Febri) dalam video tersebut, saya cuba ringkaskan beberapa sebab-akibat yang dia sebut, berkaitan trauma masa lalu dan kesannya bila dewasa:
1. Mangsa boleh jadi pemangsa. Orang yang pernah jadi mangsa gangguan seksual masa kecil, kalau traumanya tak dirawat, berisiko jadi pelaku pula bila dewasa. Kata Kak Febri, selalunya pelaku ni rasa rendah diri dan takut ditolak kalau mendekati orang dewasa sebaya. Jadi dia pilih kanak-kanak, sebab kanak-kanak lemah, tak berani menolak, tak bersuara dan mudah dipujuk. Lama-lama dia ketagih rasa berkuasa tu, dan dari situlah corak pemangsa dan child grooming berterusan.
2. Gangguan berulang boleh ubah kecenderungan. Kalau seseorang diganggu berulang kali masa kecil, siap dengan ugutan, trauma tu boleh mengubah kecenderungan seksual dia, sampai cenderung kepada jantina yang sama dengan pelaku.
3. Trauma tersimpan dalam badan. Trauma lama, atau luka dalam perkahwinan yang dipendam bertahun-tahun, boleh keluar dalam bentuk fizikal. Pada perempuan, otot faraj boleh mengecut dan kaku sendiri bila nak bersama (vaginismus), sebab badan rasa bahaya dan cuba melindungi diri. Pada lelaki pula boleh jadi mati pucuk psikologi, bila emosi yang dipendam buat otak membendung rangsangan.
4. Pernah ditolak, lari ke fantasi. Orang yang pernah ditolak teruk oleh pasangan atau lawan jantina mungkin mengelak hubungan sebenar, dan lari ke fantasi, bahan lucah atau dunia maya, sebab di situ tak ada risiko ditolak.
5. Penat jadi dominan. Orang yang sentiasa kena jadi dominan, berkuasa dan buat keputusan dalam hidup seharian, kadang cari keseimbangan di ranjang dengan fetish ekstrem, macam nak dipijak, direndahkan atau dikawal. Itu cara dia lepaskan tekanan.
6. Tabu buat anak mudah jadi mangsa. Bila ibu bapa dan masyarakat anggap seks ni tabu, cuma sampaikan mitos yang menakutkan, dan tak ajar boundaries serta taktik pemangsa, anak-anak tak kenal child grooming. Pemangsa selalunya berbuat baik melampau, kemudian asingkan anak daripada keluarga. Anak yang tak tahu mudah dieksploitasi oleh orang yang paling dekat dengan dia.
Itu adalah antara point berkaitan pendidikan seksual.
Antara Kehendak Spiritual dan Kehendak Biologi
Mungkin itu juga menjawab, kalau saya meminati orang secara tulus, fokus atas dasar agama, besar kemungkinan saya memang janggal untuk mengaitkan dengan tarikan seksual. Kalau ada lintasan seperti itu, cuba cepat mengelakkan kerana rasa tak patut untuk minat yang tulus itu.
Sebaliknya kalau betul tertarik dengan seseorang atas sebab perhiasan yang biasa ada pada wanita, selalunya memang dah buta minda dari berfikir tentang kebaikan ataupun agama.
Betapa sukarnya seorang lelaki perlu memilih faktor agama yang memerlukan akal fikiran dan iman dibandingkan dengan tarikan primitif atau biologis, hormon.
Kadang itu yang membuatkan saya kagum, mereka yang daripada golongan usrah, boleh hantar borang baitul muslim dan berkahwin dengan pasangan yang mungkin mereka tak pernah kenal atau waktu taaruf itulah yang mereka kenal.
Jadi pencarian saya sekitar waktu ini adalah memahami sedikit sebanyak proses sebenar taaruf, pernikahan, apa yang patut dan apa yang tidak patut, boleh jadi sebagai persediaan kepada generasi seterusnya.
Curang dan Perbezaan Lelaki Perempuan
Mungkin bagaimana otak lelaki dan perempuan yang berbeza dari mengaitkan seks dan perasaan kemudian memberi alasan kenapa pernyataan seperti ini ada betulnya: "Lelaki curang masih boleh bersama pasangan, perempuan kalau dah curang, biasanya tak boleh nak bersama dengan suami sebab seks dan emosi berkait."
Lelaki mungkin tak begitu kaitkan seks dengan perasaan, tetapi ada yang kata itu adalah cara dia nak rasa ada connection dengan isteri. Antara mungkin kepantangan lelaki adalah ditolak dan seolahnya macam perlu mengemis untuk dapatkan peluang tersebut.
Boleh jadi ini adalah disebabkan keegoan lelaki menjadi taruhan, dalam masa yang sama hubungan itu adalah keperluan si laki-laki.
Ada juga perkongsian di Threads yang dari perspektif seorang perempuan yang tak faham batas lelaki perempuan: "Sedang dalam pertunangan, tapi kenapa si lelaki tak ada sentuh dia eh? Lelaki tu tak minat kat dia ke?"
Trauma atau Pendedahan Seksual
Sekiranya bukan ibu bapa yang memahami atau mengajarkan anak mereka berkaitan hal ini, ditakuti mereka akan pelajari dari dunia luar dengan naratif yang salah dan menyesatkan.
Sesetengah ibu bapa pun mungkin ada melalui trauma atau pendedahan seksual yang tak patut, yang kadangnya memberikan kesan mendalam sewaktu remaja atau dewasa. Tak mustahil kitaran mangsa-pemangsa itu berterusan bersambung pula ke anak-anak sekiranya mereka tidak dapat pulih, ataupun jika mereka masih belum memahami trauma yang berlaku hasil dari pendedahan seksual yang tidak patut.
Nak dijadikan cerita, saya ada dah beli buku terbitan Telaga Biru, dua buku bertajuk My First Period dan Saya Sudah Baligh. Ingat nak anak yang baca sendiri, tak jadi. Biar saya yang bacakan dan ajar, mula dengan buku Saya Sudah Baligh dulu. Ibrahim dan Musa dengar. Mula-mula ok, lepas tu sampai part apa saya tak ingat, saya sendiri pun rasa kekok dan tak teruskan.
Satu lagi, umur Ibrahim dan Musa berbeza, sah-sah ada segmen yang sesuai untuk Ibrahim tetapi tidak untuk Musa. Tetapi kalau Ibrahim dah tahu, apa yang akan menghalang dia daripada beritahu Musa pula? Pening juga bab-bab ni sebenarnya...
Flashback atau Memori
Saya tak tahu anda bagaimana... bilakah kali pertama anda belajar pasal hal ini? Daripada siapa? Apa yang kawan-kawan ada ceritakan? Atau tunjuk?
Atau bagaimana benda ni didedahkan dalam keluarga? Atau pernah terdedah? Adakah keadaan yang tak sengaja atau disengajakan?
Atau mungkin ada orang luar yang bukanlah keluarga rapat tetapi selalu berdampingan dengan kita bercerita yang bukan-bukan?
Bagaimana pula akses kepada dunia luar? Internet? Bahan bacaan yang tak ditapis? Tengok movie atau rancangan di TV atau YouTube, sama ada kartun atau tidak...
Boleh jadi di-groom tetapi tidak sedar... Mungkin bukan sekadar grooming, tetapi sudah pun menjadi mangsa, kadang sewaktu masih kecil lagi.
Kita pun boleh baca di media sosial, bagaimana ada artis yang buat pengakuan, ayahnya menonton video lucah atau berborak benda-benda lucah di hadapan dia, seorang perempuan, tanpa rasa bersalah atau segan silu.
Kita juga pasti ada mendengar kes haruan makan anak, bagaimana seorang datuk atau seorang bapa telah pun memperkosa anak atau cucunya, bagaimana seorang cikgu perempuan pun ada yang melakukan benda-benda yang tak senonoh dengan anak-anak muridnya?
Sekiranya anda tak pernah melaluinya, lahir dalam keluarga yang baik-baik, persekitaran yang baik, kawan yang baik... maka bersyukurlah. Tetapi jangan jadi naif dan memandang mudah pendidikan seksual ini.
Pendidikan Biologi Tak Sama Dengan Pendidikan Seksual
Mendengar pernyataan itu buatkan saya terfikir, kalau kita melebihkan kepada bahagian bagaimana ibu bapa mendapat anak contohnya, maka itu hanyalah sebahagian dari cerita yang sepatutnya diajarkan kepada anak-anak.
Pendidikan seksual adalah lebih luas, merangkumi bagaimana untuk mengelakkan atau terjebak dalam masalah-masalah seperti yang tersenarai dalam akibat-akibat dalam video oleh Kak Febri itu.
Adakah anak-anak boleh kenal pasti child grooming? Adakah yang lelaki berlaku baik terhadap perempuan, adakah perempuan tidak akan mudah terpedaya dengan janji manis? Mungkin juga termasuklah persediaan-persediaan sebelum pernikahan?
No comments:
Post a Comment