javascript:void(0)
Don't believe everything i've said, heck, don't believe anything. Learn to differentiate facts and personal opinions. Do your OWN research, then, CHOOSE what to believe.

Wednesday, September 9, 2026

Movie Night, Boundaries dan Trauma Generasi

Kesyukuran

Ada satu pagi tu ketika saya membuka halaman Instagram, maka saya nampak adanya video clip ataupun reels tentang interview Emma Watson, pelakon dalam Harry Potter yang memainkan watak Hermione, dengan Jay Shetty. Antara fokus utama short clips tersebut adalah dia menyatakan kesyukuran dia.

Dia datang dari perspektif yang lebih stabil. Tidak ada keperluan. Tidak ada satu rasa desperate. Tetapi sebab nak, semata-mata nak. Dan bagi Emma Watson itu adalah satu falsafah yang dia pegang, dan dia bersyukur atas pilihan dia sendirilah.

Dan itu pun rasa ada kebenarannya, di mana ada kajian yang saya pernah dengar ataupun baca yang mana pasangan yang berkahwin pada usia yang lebih lewat, atas 30, lebih rendah kadar perceraian.

Movie Night dengan anak-anak

Musa atau Ibrahim, saya tak tahu bila, telah menyebut istilah Movie Night. Movie Night ni biasanya berlaku pada hujung minggu, di mana esoknya bukannya hari persekolahan. Kita akan berada di ruang tamu dan menonton movie yang biasanya berbentuk animasi, ataupun movie yang membawa nilai-nilai kekeluargaan, sesuai untuk ditonton bersama keluargalah.

Jadi ada dua movie yang kita berjaya tengok. Satunya adalah Nimona, tentang satu watak fiksyen yang boleh shapeshifting dan berasal dari zaman lampau, yang mana manusia mempunyai pandangan yang tak elok terhadap raksasa tersebut. Cerita yang menarik, dan yang melakonkan watak Nimona adalah Chloe Grace Moretz. Saya rasa dah lama tak nampak dia dekat mana-mana movie. Saya tak ingat sama ada dia yang terlibat dengan LGBT, ataupun Juno Temple. Mungkin salah satu ada masalah psikologi atau psikiatri, satu lagi terlibat dengan LGBT.

Dan sebenarnya cerita ni agak bahaya. Kalau ikutkan, kita boleh dan sepatutnya membuat carian terlebih dahulu dekat Google, adakah babak-babak dalam movie ini sebenarnya tidak sesuai untuk ditonton oleh kanak-kanak. Tetapi saya tidak berbuat demikian, mungkin sebab malas ataupun membuat assumption yang movie itu normal.

Walaupun sebenarnya di awal-awal babak lagi sudah ada watak lelaki yang agak mesra hubungan antara dua orang lelaki, tapi saya ingat mungkin sekadar itu sahajalah. Tanpa disangka, dalam movie tersebut rupa-rupanya ada babak yang spontan, yang kita tak boleh nak agak pun, terus ada lelaki bercium dengan lelaki. Cerita kartun. Saya dan isteri agak tergamam.

Namun disebabkan kita dah tengok, maka tak bolehlah membiarkan sahaja tanpa penerangan. Maka saya ambil peluang untuk bercerita, di mana dalam dunia ni, orang masih ada yang nak membawa agenda-agenda dia melalui macam-macam cara, antaranya kartun ataupun movie. Mereka pun dah tahu berkaitan dengan siapa kaum Lut. Dan kita ingatkan lagi sekali bagaimana Allah telah memusnahkan kaum Lut, menterbalikkan bumi akibat perbuatan mereka, yang lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan.

Jadi, itulah berkaitan dengan cerita Nimona. Cerita yang bagus jalan ceritanya, animasi cantik, namun babak-babak seperti itulah yang kita terlepas pandang.

Kemudian, ada cerita lain, Animal Farm. Bagaimana sebuah farm berjaya membebaskan diri daripada manusia dan melaksanakan satu cubaan untuk autonomi, menjaga kawasan sendiri. Tapi dalam kegairahan, ada juga yang gilakan kuasa, telah membuat manipulasi-manipulasi yang menyebabkan ketidakadilan dan sebagainya. Lebih kepada macam mana nak tunjukkan realiti yang berlaku dalam dunia manusia sendiri. Cerita yang menarik, mungkin mengajarkan kepada kanak-kanak secara tidak langsung tentang perbuatan manipulasi, gaslighting, cakap tak serupa bikin, bagaimana kuasa boleh merosakkan seseorang, pentingnya mengkaji dan tidak menerima…

Boundaries

Saya ada tengok satu clip dekat Reels yang mana kita ni sebenarnya kena selesa untuk menerima boundaries orang lain dan juga selesa untuk menyampaikan apakah boundaries kita. Orang lain tidak sepatutnya defensif ketika kita mengatakan tidak, dan kita pun sebenarnya tidak perlu takut ataupun berfikir terlalu berlebihan ketika kita ingin menyampaikan apa yang kita rasa.

Jadi komunikasi yang bagus antara dua orang yang matang boleh menerima boundaries masing-masing, dan boleh berbincang tanpa rasa defensif dan emosional dengan boundaries masing-masing.

Call daripada emak

Emak saya ada jugalah menghubungi melalui WhatsApp. Untuk WhatsApp call yang pertama, mungkin saya letak phone dalam keadaan silent, maka saya tak perasan. Keesokan harinya saya perasan dan saya pun mengangkatnya.

Agak jarang mak yang memulakan call, mungkin agaknya sebab saya dah lama tak call ataupun tak memberikan sebarang update. Sejujurnya memang agak sibuk dengan kembar yang baru lahir.

Adanya confinement lady ataupun CL sebenarnya agak membantu, terutamanya bagi saya lah. Pada waktu siang saya sama ada boleh berehat, fokus kepada kerja, atau melaksanakan live petang bersama klien yang sudah menjadi rutin sejak 3 ke 4 tahun lepas.

Jadi sebelum waktu kelahiran bayi tu, memang kita ada bertanya lah adakah mak boleh datang teman, sebab saya berfikir takut keadaan tak terkawal. Tapi Eri pula tengah berpantang di Sungai Buloh. Namun, Eri pun dah pulang ke Sabak Bernam, Perak, bersama Khalid. Mak pula kerana ada menjaga ahli keluarga yang lain di rumah, maka untuk datang ke Melaka pun agak sukar lah. Kalau nak datang ke Melaka dengan membawa ahli keluarga tersebut, akan menyusahkan isteri saya pula lah nak menjaga aurat dan sebagainya.

Dalam kes ni sebenarnya, mak dan bapa mertua lebih proaktif untuk datang dan menghabiskan masa untuk membantu, dan berada di rumah untuk lihat apa yang mereka boleh bantulah. Dan saya tidak dapat tidak teringat memori lampau ketika mula-mula berpindah di Jasin dahulu, mak dan ayah mertua juga yang ada membantu membeli beberapa barangan di rumah. Saya memang bersyukur dan sangat berterima kasih kepada mereka.

Trauma generasi

Setiap keluarga mungkin akan ada latar belakang yang berbeza, akan ada kesusahan dan kesukaran masing-masing, ada aibnya sendiri, dan itu pun akan membawa kepada dinamik hubungan saya dan isteri sebagai pasangan suami isteri.

Dan saya rasa mungkin benda ni dah banyak kali orang sebut. Kadang-kadang apa yang kita tak suka dengan ibu bapa kita, itulah perkara yang kita buat. Kadang-kadang yang kita tak suka dengan ibu bapa kita, itulah yang kita jumpa pada pasangan kita. Kadang-kadang kita jadi defensif, kadang-kadang kita justify perbuatan kita sendiri. Dan ini menghasilkan generational trauma.

Dalam WhatsApp ahli keluarga juga ada selingan, di mana ada ahli keluarga yang membawa cerita. Seolah-olah adalah senario bisnes, tapi sebenarnya adalah usaha untuk memberi teguran ataupun kritikan kepada sifat ahli keluarga yang lain yang sangat mudah terjebak dalam scam dan mempertahankan scam. Sudah delusional. Ada juga ahli keluarga yang terlibat dengan addiction ataupun substance abuse. Ada juga yang sudah pun bercerai.

Hal ini kadang-kadang membuatkan saya berkata, kalaulah perkahwinan tak menjadi, mungkin suara hati saya akan berkata: "Akulah penyebabnya. Kesalahan mungkin memang datang daripada aku, sebab aku yang datang dari broken family."

Begitulah. Itulah sebabnya kadang-kadang kita mengharapkan masa berlalu dengan pantas. Mungkin perpisahan yang berlaku atas sebab bencana alam atau kemalangan lebih baik daripada perpisahan yang berlaku atas keputusan kita.

Bukanlah nak kata yang kita memang menghadapi masalah rumah tangga yang serius, namun ini hanyalah lintasan-lintasan hasil dari analisis, ataupun apa yang berlaku di hadapan mata.

Saya ada terbaca quote ataupun peringatan yang menyebut bahawa ketika kita sedang menjadi ibu bapa ni, di sudut hati kita, kita masih rasa kita ni seperti budak kecil yang masih tak tahu nak buat keputusan macam mana, tak tahu nak selesaikan konflik macam mana, tapi dah jadi ibu atau bapa dah pun. Maka bayangkanlah, sewaktu kita kecil dahulu, ibu bapa kita pada waktu itu pun sebenarnya berada pada tempat yang sama seperti kita sekarang.

Dan itu membawa kepada satu realization: adakah kita akan mencapai tahap matang dalam relationship, ataupun sampai sudah pun kita akan kekal seperti seorang budak kecil yang sentiasa ada konflik dan kadang-kadang tak tahu nak menyelesaikan konflik.

Al-Wadud, Al-Walud, Al-'Aud

Saya suka mendengar perkongsian-perkongsian oleh Ustaz Azlan Shah. Ustaz Azlan Shah ni pun banyak buat perkongsian. Dia menghantar videonya kepada ML Studio. Dia lebih banyak mengulas berkaitan dengan Sirah Nabawi dalam isu relationship atau psikologi relationship.

Matlamatnya adalah untuk mengukuhkan sistem kekeluargaan, sistem perkahwinan, mengajar bagaimana seorang suami atau seorang isteri sepatutnya bertindak, dan itulah perkongsian-perkongsian yang bagus.

Antara perkongsian yang diberikan adalah ketika kita mencari pasangan, isteri sebagai contoh. Mungkin juga kriteria yang sama boleh digunakan untuk lelaki, tetapi hadis itu specifically adalah tentang mencari calon isteri. Maka kriterianya adalah Al-Wadud, penyayang, dan Al-Walud, yang melahirkan anak, mungkin subur di situ. Tetapi tidaklah diperincikan bagaimana hendak menilai Al-Wadud dan Al-Walud. Dan dalam setengah riwayat ada Al-'Aud, yang mana si isteri tu tadi boleh untuk reconcile, maksudnya mungkin sebelum tidur. Kiranya ketika berlaku konflik, mungkin dia yang boleh memulakan perdamaian, mengajak kepada damai. Itulah antara benda baru yang saya belajar daripada menonton video Ustaz Azlan Shah.

Sekufu dan bertumbuh bersama

Kita ni, sama ada dalam partnership, mempunyai team, ataupun dalam relationship, kita nak grow. Kita tak boleh static sahaja. Dalam keadaan seseorang mungkin grow ke hadapan tetapi kita tidak, maka itu akan menimbulkan satu gap yang boleh membawa kepada keretakan.

Sekufu di awal perkahwinan tak sama dengan sekufu di dalam perkahwinan berbelas tahun, berpuluh tahun. Dan ini memanglah perlukan huraian yang lebih panjang.

Contohnya secara statistik, kalau nak membuat perbandingan sekufu dari segi kewangan, seorang lelaki pada umur 20-25 tahun mungkin memperoleh gaji kurang sedikit ataupun lebih kurang sama dengan seorang perempuan. Tetapi seiring dengan masa, seorang lelaki statistically akan memperoleh lebih banyak daripada seorang perempuan at the later age, mungkin 30-an, mungkin 40-an, dan itu adalah statistik. Jadi kalau nak menilai sekufu dari sudut itu adalah tidak adil.

Dan dalam ulasan Nouman Ali Khan pula, perkahwinan adalah kontrak ataupun agreement, perjanjian antara seorang lelaki dewasa dengan seorang perempuan dewasa. Men and women, bukan boys and girls. Dan dalam kontrak tersebut, kata Nouman Ali Khan, seorang lelaki yang masuk dalam agreement tersebut sudah pun tahu yang financially dialah yang bertanggungjawab 100%. Dan itu pun satu benda yang mungkin kita boleh bincang dan huraikan di lain waktu.

Meeting Mahersaham

Sekarang ini, kalau meeting untuk urusan pekerjaan, biasanya sudah tinggal bertiga sahaja: saya, Syazwan dan Husna. Kita target meeting seminggu sekali. Rasa macam dah dua minggu tak meeting, sebabnya ada waktu yang ada yang sakit kena influenza, ada juga yang tak dapat sebab cuti sekolah ataupun menghantar ahli keluarga ke tempat lain atas urusan-urusan tertentu. Jadi begitulah meeting yang fleksibel. Jika ada sebarang benda yang mustahak, sama ada ditulis dalam grup Telegram ataupun call secara terus.

Kucing

Dalam perbualan yang lepas, ada saya tulis berkaitan dengan kenapa beranak, kenapa berkahwin. Mungkin saya tertinggal, yang mana kadang-kadang sekalipun kita berhasrat memiliki anak, akhirnya masih tetap tertakluk dengan takdir. Ada yang Allah kurniakan cahaya mata, ada yang memang Allah belum merezekikan cahaya mata.

Ketika menghantar baju anak untuk diletakkan di transit, dapatlah saya perasan seekor ibu kucing sudah pun melahirkan anak dan sedang menyusukan anak-anak kucingnya.

Pemandangan seperti ini membawa kepada memori dalam lingkungan masa saya darjah 5 atau darjah 6. Dekat rumah memang ada kucing yang beranak. Ada juga momen ketika saya masih bujang sebelum berkahwin, ada situasi di mana ibu kucing melahirkan anak di rumah.

Itu sebenarnya adalah satu pemandangan yang menarik dan agak mengharukan, sebab ketika melihat kejadian tu, seolah-olah terdetik dalam hati kita kebesaran Tuhan. Dan mudah-mudahan Allah akan merahmati kita seperti mana Allah merahmati dan memberikan rezeki kepada kucing-kucing ini.

No comments: