javascript:void(0)
Don't believe everything i've said, heck, don't believe anything. Learn to differentiate facts and personal opinions. Do your OWN research, then, CHOOSE what to believe.

Wednesday, March 31, 2010

Manusia Setan dan Sufi Sesat

Ini bukan cerita tentang manusia berkepala setan ataupun ayah Pin yang dikaitkan dengan kerajaan langit.

Begini ceritanya. Pada suatu masa dahulu, ada sebuah kampung. Penduduk-penduduk kampung terdiri dari pelbagai jenis, warna dan bahasa. Tapi apa yang lebih menarik adalah personaliti mereka. Personaliti itu, biar sejahat mana pun, atau sebaik mana pun adalah sesuatu yang mengkagumkan apabila ianya sangat kompleks dan misteri.

Dalam kampung itu, tinggallah dua orang pemuda. Seorang pemuda mengaku dirinya setan, sedang seorang pemuda yang lain pula mengaku dirinya ahli sufi yang sesat.

"Mungkin adalah benar akulah setan yang mereka maksudkan. Dengan mudah memahami hakikat bahawa manusia itu sememangnya tak sempurna; jahat dan baik itu sentiasa ada dalam diri manusia - bertempur siang dan malam.

Adalah aku, yang dengan lapang dada menerima manusia-manusia jahat (menurut takrifan kalian) itu dan aku jualah yang berasa gembira apabila terbongkarlah rahsia bahawa manusia-manusia yang 'nampaknya' sempurna, baik itu sebenarnya juga adalah petualang seperti aku; di belakang pengetahuan manusia mereka juga bersifat binatang. Kehaiwanan.

Adalah aku yang sangat benci apabila mereka katakan aku orang yang baik, sebab gelaran itu tak ubah eperti dengan sengaja memakaikan kalung api pada tengkuk ini. Setan adalah bayang-bayang setiap manusia. Mencari-cari kawan-kawan yang sejati.

Pena telah diangkat, tinta pun telah kering. Sudah jadi ketentuan Tuhan, setan itu sampai bila-bila pun tak akan menemukan kawan sejati
", kata setan yang bertopengkan manusia itu a.k.a. pemuda setan.

Itu cerita tentang pemuda itu. Dan tentang pemuda yang lain pula...

"Mereka panggil aku ahli sufi hanya sebab aku meminati tokoh-tokoh seperti Al-Ghazali, Rabiatul Adawiyah, Ibrahim Adham dan Hasan Basri. Walhal tokoh-tokoh ini tak pula menggelar mereka sendiri sebagai ahli sufi. Ramai orang membenci mereka hanya sebab mereka tak dapat difahami. Hinggakan kadang-kadang mereka sanggup menabur fitnah! Rabiatul Adawiyah mereka katakan seorang penari? Ya, aku diracuni oleh ideologi-ideologi mereka hinggakan kadang-kadang aku fikir aku seorang liberal. Terangkan kepada aku, apakah kalian tidak berminat menyertai mereka bersama-sama menganut mazhab cinta?

....hingga kau menanggapi segala-galanya dengan rasa cinta.....

Dan untuk itu mereka juga anggap aku ahli falsafah, dan disarankan agar aku berhenti daripada terus jadi gila. Tapi aku tidak ingin berhenti. Bagaimana aku mampu untuk berhenti dari terus tertarik dengan mereka? Sebab melalui kaca mata mereka aku memahami lebih banyak perkara, dan lebih meyakinkan. Biarpun mereka sentiasa sahaja berbicara tentang dunia 'lain' yang mistik dan misteri itu.

Maka aku pun menggelar diriku sufi yang sesat - semoga dengan itu kalian akan berhenti dari mengganggu aku. Jangan ikut jalan ini, bila kau dah tahu tentang kebenaran. Jalan ini hanya untuk orang-orang yang sesat
".


Dengan itu orang mula memanggilnya sufi sesat, kadang-kadang mereka panggil pemuda itu ayah Pin Jr.

Monday, March 22, 2010

Perahu kertas

Dalam perjalanan saya kembali ke rumah hari ini, saya nampak dua orang kanak-kanak bermain perahu kertas atas lopak-lopak air. Salji yang dah cair.

Saya harus belajar balik bagaimana hendak membuat perahu kertas, sebab kanak-kanak itu nampak betul-betul gembira masa bermain perahu kertas.

Mungkin inilah rahsia kegembiraan yang orang lain cari selama ini, cuma kita yang tak perasan.

Mungkin semua orang boleh jadi gembira kalau mereka reti buat perahu kertas.

Gembira dan terbang bebas.

Sunday, March 14, 2010

Ayah

Dah lama tak menulis. Atas permintaan peminat, saya pun menulis lagi. Kini saya persembahkan kisah rekaan tentang ayah.





Sekumpulan anak muda suka menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan. Salah satu daripadanya adalah melawat rumah orang tua atau warga emas. Dalam program tersebut, ada satu slot di mana setiap warga emas itu perlu menyampaikan sesuatu - ah, tak kisahlah berkisar tentang apa, mungkin tentang semut, tentang hidup ataupun tentang keinginan untuk memiliki isteri muda.

Seorang pakcik yang berumur 70-an bangkit dan memulakan ceritanya.

" Hari ini pakcik hendak bercerita tentang ayah pakcik. Ayah pakcik adalah antara orang-orang yang pakcik kagumi dan pakcik sayang.

Ayah pakcik adalah ahli falsafah. Ayah pakcik sentiasa menganjurkan solat berjemaah sebab itu mengukuhkan ikatan kekeluargaan. Makan malam bersama. Ayah pakcik selalu cakap, kat meja makan kita boleh bercerita, berbual tentang masalah dan sebagainya. Ayah pakcik pernah bercerita tentang kesusahan hidup zaman penjajah hanya makan kentang, dan ayah pakcik juga pernah cerita pengajaran batu belah batu bertangkup di meja makan itu juga. Pantang tengok orang memilih makanan. Ayat yang selalu ayah pakcik sebut, "mak dengan ayah bagi semua boleh makan. Tak ada yang tak boleh makan". Walau macamanapun adik pakcik memang tak boleh makan telur dan roti. Jadi tetap tak boleh buat apa-apa. Haha.

Ayah pakcik adalah penegak disiplin. Ayah selalu cakap, "Di mana ambil, di situ letaknya". Senang cerita dah ambil letak balik. Senang, lain kali tak susah nak kena cari kat tempat lain. Ayah pakcik juga buat peraturan keluarga dan suruh kami hafal. Ada enam.
1-Dengar cakap mak dan ayah.
2-Jangan degil.
3-Tolong adik beradik.
4-jangan bercakap bohong.
5-Jangan cakap bukan-bukan. (eg. mencarut)
6-Belajar rajin-rajin supaya orang tak pandah rendah kat kita.
Untuk setiap peraturan ada hukuman kalau dilanggar. Dan hukuman paling berat adalah mengikut susunan nombor 1,nombor 2 dan seterusnya. Ayah juga selalu nasihat jaga penampilan, kekemasan supaya tak malu dengan orang. Mak pun kata macam itu juga. "Benda mula-mula sekali orang pandang - kasut", kata ayah. (ha?betul ke?) Tapi pakcik tak minat sangat yang ini. Sebab tak percaya yang kita harus berpakaian untuk orang lain. Tapi tak kisah, masing-masing ada pendapat.

Ayah pakcik adalah seorang afro. (Pernah). Mungkin masa muda-muda dulu. Pakcik betul-betul terkejut masa jumpa gambar yang telah di'frame'kan itu. Ya, siap 'frame'. Mungkin masa itu ayah pakcik minat Alleycats. Mungkin pakcik pun mengikut jejak langkah ayah pakcik, sebab satu masa dalam sekolah menengah, rambut pakcik panjang dan kering sehinggakan orang panggil pakcik Phua Chu Kang (afro). Cis.



Ayah pakcik sorang yang berpandangan jauh dan berkaliber. Ayah selalu nasihat, "Baca apa yang cikgu belum ajar. Ingat balik apa yang cikgu dah ajar". Mempraktikkannya betul-betul maka pakcik melepasi zaman sekolah rendah dan menengah dengan mudah. Semasa di universiti tak berapa menyerlah sebab cikgu tak ajar sangat. Pakcik hanya berbakat kalau cikgu-cikgu 'suap'. Ayah pakcik juga pernah buat macam-macam kerja. Kerja tukang masak kat hotel (tak pasti), kerja di PWTC mengurus program-program, functions dan sebagainya. Pernah bawa pakcik ke pejabat main solitaire kat komputer sementara ayah buat kerja.


Ayah pakcik pandai (laju) bawak motor. Motor yang sungguh istimewa, hampir serupa macam motor scrambler orang buat lumba kat pasir tu. Mak kata sebelum kahwin ayah bawak motor tu. Masa kecik ayah pernah bagi kami bawak motor, kaki kami tak sampai jadi ayah tolong tekan clutch dengan gear. Kami diberikan kebebasan tekan minyak tangan. Masa tu kami berumur dalam 6-9tahun. Ayah hantar pakcik dan adik pakcik ke sekolah guna motor kalau kami dah lambat. Sebab pakcik susah nak bangun pagi. Bila naik motor tu asap memang tebal. Menyelit celah kesibukan trafik yang sesak. Topi keledar pula memang tak 'cool' langsung. Bujur, dan tak ada penutup muka. Cuma sayangnya motor itu kena curi, jika tidak pasti motor tersebut diturunkan kepada pakcik.


Ayah pakcik ada gitar, ada raket badminton tapi semuanya kami rosakkan. Ayah pakcik juga adalah ahli sukan. Pernah pakcik tengok gambar-gambar lama, ayah pakcik terlibat dalam ekpedisi berbasikal dalam hutan. Memang menarik. Sayangnya pakcik tak hebat bersukan, hanya ada 'average skill'. Kalau ping pong (mungkin bakat daripada mak) kurang-kurang pakcik boleh buat bola spin dan servis (terlalu) laju sampai orang kata bola tu tak masuk dalam petak mereka. Ceh. Tapi masih dikatakan tak hebat sangat pun. Jadi tak dapat wakil.

Ayah pakcik seorang ahli perubatan. Selalu marah kalau kami luka tapi tak beritahu dia cepat-cepat atau cuba sorokkan dari pengetahuan dia. Selalu peka dengan keadaan kami. Ayah boleh perasan kalau kami terbatuk-batuk sikit, simpan kahak atau simpan hingus, atau gatal-gatal. maka ayah akan suruh buang kahak, buang hingus dan bagi ubat sapu. Ayah pandai guna ubat sapu warna biru untuk luka yang budak-budak medik panggil fluorescent blue. Ayah juga pernah ketuk-ketuk perut yang budak-budak medik panggil sebagai percussion. Mak cerita, ayah pernah sampai hisap hingus kami (masa bayi) nak mengelakkan dari sesak nafas. Pakcik memang kagum dengan ayah pakcik. Sememangnya Mc Guyver. Oh, ayah pakcik minat Mc Guyver.


Ayah pakcik seorang penggemar sastera. Di rumah pakcik tergantung gambar yang tertulis bait-bait sajak yang indah. Dalam rak buku ada banyak buku. Dekat dalam almari ada tulisan khas untuk emak. Mungkin genetik atau suasana dalam rumah menyebabkan pakcik pernah menjadi pendeklamasi sajak, pemidato dan penggemar sastera serta pembaca buku cerita.


Pengalaman bersama ayah memang banyak. Antara yang menarik bermain layang-layang di Taman Tasik Titiwangsa. Masa itu gerimis senja mulai turun. Saya ingat lagi waktunya, lebih kurang pukul 730petang. Kilat mula sabung-menyabung, layang-layang kami terputus dan ayah pergi berlari ambil balik layang-layang tersebut. Pakcik pernah dapat basikal waktu hari lahir pakcik. Pakcik sangat terkejut dan teruja. Belajar bermain, kemudian ayah bawak pergi Taman Tasik juga. Pakcik terjatuh di kawasan berbukit lalu berdarah dan terpaksa pulang. Tapi pengalaman itu pun dikira manis juga. Pengalaman pernah kena rotan (pelbagai jenis) pun ada juga. Tapi hukuman bukanlah tak bersebab, tetapi semuanya bersebab. Ada sebab beli digimon (tamagochi) senyap-senyap, main mercun dalam rumah dan sebagainya.

Memang ada ayah yang tak rotan anak, dan pakcik tak kisah. Pakcik sangat meluat tengok orang yang tak pernah kena rotan dan buat perangai dengan pakcik. Ingat diri baik sangat dan sebagainya. Oh maaf ye anak-anak, pakcik emo sekejap.

Jika pakcik diberi peluang untuk memilih ayah yang bagaimana, pasti pakcik akan tetap memilih ayah pakcik yang ini juga. Pakcik hanya ada satu ayah dalam hidup pakcik, dan orangnya adalah beliau.

Oleh itu anak-anak, sayangilah keluarga".

Antara anak-anak muda itu ada yang menagis terharu. Ada juga yang berbual-bual selepas itu mempersoalkan," Kau rasa cerita pakcik itu cerita benar atau rekaan hah?" "Mesti reka punya. Boleh beza kot".