Siapakah Cik Beah Osem sebenarnya? Tanya saya, saya pun tak kenal.
Pertama sekali saya mendengar nama Cik Beah Osem pun adalah selepas melihat video ini :
Nak dijadikan cerita, secara tak sengaja saya terjumpa pula blog Cik Beah ini semasa mencari bahan-bahan ilmiah untuk dibaca. Blog Cik Beah Osem boleh dilawati di sini :
http://suratcintarabiah.blogspot.com
Jadi saya pun berminatlah untuk berkongsi beberapa benda yang saya peroleh dari blog Cik Beah Osem ni.
1. Pengislaman Jo Yee
Video di atas menceritakan dari mulut Loo Jo Yee sendiri berkaitan pengislamannya. Tapi sebenarnya kalau share atau tunjuk video ini kepada rakan-rakan saya yang lain (lelaki), rasanya bukan difokuskan kat isi ucapan Jo Yee pun. Ceh.
2. Artikel 'Tentang Hawa dan Adam'
Di bawah akan saya copy paste penuh artikel Cik Beah ini berkaitan lelaki dan perempuan. Tapi memang betul la, ada lelaki-lelaki dalam dunia ni yang memang naif, fikir yang hanya kaum lelaki je yang boleh fikir bukan-bukan, perempuan adalah makhluk yang tak akan fikir bukan-bukan, mungkin lebih memikirkan benda lain, mungkin harta dan material, mungkin kecantikan masing-masing dan kalau mereka tengok cerita jiwang, hanya fokus kepada perasaan semata-mata. Namun setelah membaca artikel Cik Beah Ini, rasanya semua lelaki-lelaki naif ini tadi seharusnya berfikir dua kali juga.
Berikut adalah artikel penuh yang diambil dari link ini - http://suratcintarabiah.blogspot.com/2012/03/tentang-hawa-adam.html
Bismillah.
Saya ini, bukanlah yang ahli di dalam ilmu-ilmu Islam, namun saya melihat, haruslah saya menyampaikan sesuatu yang dirasakan perlu untuk membuka mata-mata yang sedang lena tertidur. Kerana, tidaklah dikatakan beruntung keadaan manusia itu jika tidak saling ingat-mengingatkan kepada hal kebenaran dan juga kesabaran.
Tentang Hawa
"Ak elah hai. Rilek ah kak. Muka dan badan lelaki bukannya auratpun nak kena tutup-tutup bagai macam pompuan. Bukannya berdosapun kalau tayang semua gambar saya yang berposing ala-ala Bruno Mars tu. Lagipun saya ni kalau tak berposing pun, dah tak boleh buat apa, sebab memang dah semulajadi hensem kot."
Ayat-ayat seperti ini sebenarnya selalu membuat saya sedih. Betapa 'ignorant'nya orang-orang di zaman ini, hanya sibuk menjaga tepi kain sendiri dan tidak mahu langsung meletakkan dirinya di luar kotak untuk melihat gambaran sebenar keseluruhan kotak yang dia senang sekali duduki itu.
Apakah salah jika lelaki menunjuk-nunjukkan ke'hensem'an dan juga kehebatan fizikal dirinya kepada perempuan? Pertama sekali, saya tidaklah berani mahu menghukum haram ataupun tidak boleh. Cumanya, sebelum saya mengulas dengan lebih lanjut, saya mahu mengajak anda semua berfikir, kenapa ayat yang sama diturunkan kepada lelaki, juga diturunkan kepada perempuan? Bukankah perangai lelaki dan perempuan itu berbeza?
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menundukkan pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka....." (Surah An-Nur: 31)
Lalu, adalah yang bertanya, adakah kerana perempuan itu juga sebenarnya punya sifat 'gatal' seperti orang lelaki? Jawapannya, ya, memang benar! Namun, kerana perempuan itu ada sifat malu, makanya orang tidak pernah nampak 'kegatalan sebenar' seorang perempuan; apa yang ada di dalam kepalanya, atau apa yang ada di dalam keinginan hatinya.
Tetapi, saya ini tidaklah terlalu kejam mahu menuduh semua perempuan di dalam dunia ini gatal. Namun, di zaman serba canggih yang dipenuhi dengan vampire hot seperti ini ataupun hero drama secomel ini, percayalah, untuk mencari seorang perempuan bisu, pekak dan juga buta seperti yang dinikahi oleh Thabit bin Ibrahim itu adalah amat sukar sekali!
Janganlah berfikir bahawa seorang perempuan itu naif, lagi-lagi seorang perempuan yang selalu menonton drama-drama cinta, atau yang suka sekali membaca novel-novel cinta. Janganlah berfikir, bahawa mereka itu tidak mempunyai kebolehan bermimpi ataupun berkhayal untuk membuat aksi-aksi comel bersama dengan lelaki hensem pujaan mereka seperti pakcik dan makcik di dalam gambar di bawah ini.
Ayuhai lelaki, kerana itu, tolonglah jaga ke'hensem'an dirimu demi menjaga hati-hati kami yang amat lembik seperti agar-agar ini. Tidak perlulah berlebih-lebihan di dalam menayangkan kecantikanmu itu. Kerana saya amat bimbang sekali, bimbang jika diri kamu yang lawa itu akan semakin memanjangkan angan-angan seorang anak gadis, yang di dalam kepalanya itu, sudah sedia terpenuhkan dengan adegan-adegan romantis yang ditontonnya setiap hari di dalam TV.
Kalaupun kamu mahu berbicara tentang betapa 'hensem'nya diri kamu ataupun si fulan bin si fulan, cukuplah kamu bincangkan hal-hal seperti itu sesama kamu sahaja. Ambillah ibrah nabi Yusuf 'alaihissalam yang lebih mencintai dirinya tersorok di dalam penjara, dan benci apabila baginda menjadi penyebab terpotongnya jari-jari perempuan yang melihat dirinya; yang berkali-kali ganda lebih hensem daripada kamu-kamu yang mengaku ala-ala Bruno Mars itu!
Tentang Adam
"Ish, mana aci kak. Asyik-asyik kita je yang kena jadi hantu bungkus. Dah tu, lelaki buat apa? Nafsu syahwat besar mengalahkan gajah! Kalau tak tengok perempuan dalam sehari, boleh mati ke?"
Ya, dik. Memang seorang lelaki boleh mati kalau tidak melihat perempuan di dalam sehari. Kerana kamu tahu, lelaki itu seperti seekor kucing, maka kamu lemparkanlah apa saja jenis ikanpun kepadanya, baik ikan bilis ataupun ikan paus, ia akan tetap menggigit dan membawa lari ikan itu.
Kepada lelaki, maaflah andai saya ini berbunyi agak sinikal, namun bukankah sememangnya Allah telah mencipta kamu semua begitu keadaannya? Maka terima sajalah, ya. Kalau mahu dihitung, berapa banyak ayat-ayat di dalam al-Quran dan juga riwayat hadith yang berbicara tentang nikmat bidadari? Kenapa tidak ada bidadara???
Di dalam Syurga-syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin; (Ar-Rahmaan: 56)
Jawapannya, kerana lelaki itu kan makhluk ciptaan Allah. Makanya, pastilah Tuan yang menciptanyalah yang lebih kenal sifat dan juga kelemahannya yang paling utama, iaitulah perempuan. Pernah dengar ayat ini; behind every succesful man is a woman? Besar sekali pengaruh seorang perempuan di dalam kehidupan seorang lelaki, sampaikan kisah kejayaannya pun dikaitkan dengan seorang perempuan.
Juga, masih ingatkah, dengan peristiwa nabi Muhammad SAW sewaktu baginda menggigil-gigil kerana terkejut berjumpa dengan malaikat Jibril? Siapa yang menenangkan baginda pada waktu itu? ;)))
Untuk para perempuan yang selalu menyalahkan lelaki, ketahuilah bahawa lelaki itu kerjanya lebih berat daripada kita. Seperti kita yang perempuan ini yang saban waktu terpaksa menjadi 'hantu bungkus', merekapun sebenarnya berhempas-pulas juga menundukkan pandangan mereka daripada memandang kita tanpa ada sebab-sebab yang mengharuskan.
Melainkan, lelaki-lelaki fasik yang di dalam hatinya itu sudah sedia berpenyakit miang dan gatal;
Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). (Al-Ahzaab: 32)
Jadi perempuan, usahlah merungut-rungut susah menjadi 'hantu bungkus', kerana menjadi lelaki itu sebenarnya, adalah beratus-ratus kali ganda lebih susah daripada menjadi seorang perempuan! Hanyanya, kita saja yang tidak nampak, atau, sengaja buat-buat tidak nampak.
Akhlak Al Amin, Di Mana Mahu Cari?
Saya suka sekali untuk memetik sebuah cerita yang menggambarkan betapa halus dan berseninya akhlak Rasulullah SAW, yang sudah jarang-jarang lagi dipraktikkan oleh kebanyakan orang di zaman ini. Ada dikisahkan (maaf, saya tidak dapat mencari riwayatnya, namun kisah ini amat popular sekali), bahawa pernah sewaktu baginda SAW hendak bersolat, dilihatnya ada seekor kucing yang sedang tidur di atas serbannya.
Kerana tidak mahu membangunkan kucing tersebut, maka baginda yang baik hati itu lantas memotong serbannya, dan membiarkan saja kucing itu untuk terus tidur. Subhanallah. Sungguh cantik dan cakna (peka/concern) sekali baginda SAW, hatta hanyalah kepada seekor kucing!
Lalu, apa relevannya kisah kucing yang tidur ini dengan cerita Hawa dan Adam yang saya bahaskan di atas? Begini, pokok utama yang mahu saya sampaikan pada hari ini sebenarnya adalah mengenai isu akhlak, isu menjadi orang yang cakna terhadap keadaan di sekelilingnya.
Nabi SAW cakna terhadap keperluan seekor kucing. Kita? Apakah masih memilih untuk tidak mahu cakna terhadap keadaan sosial yang semakin hari semakin membarah di dalam masyarakat Islam khasnya? Apakah kita langsung tidak mahu memberikan sumbangan kepada kebangkitan semula Islam di dunia ini?
Kerana, daripada kedua-dua keadaan yang saya bincangkan di atas, saya dapat melihat, lelaki-lelaki sekarang kebanyakannya malas untuk buat 'homework', dan tidak mahu belajar untuk memahami jiwa perempuan di zaman ini yang sudah tidak lagi se'innocent' perempuan-perempuan Melayu terakhir di zaman dahulu. Lalu, merekapun mudahlah meremeh-remehkan soal menayang-nayangkan ke'hensem'an diri mereka di hadapan para perempuan.
Juga, perempuan-perempuan yang tidak menyedari betapa susahnya seorang lelaki yang baik itu berperang dengan nafsunya; di antara mahu memandang ataupun tidak ke mata seorang perempuan yang bukanlah tidak menutup auratpun, bahkan siap berniqab (namun cukup membuat dadanya hampir hendak pecah). Maka kerana itu, jadilah kita perempuan-perempuan jahil yang tidak lagi jelas sebab-musabab kenapa kita perlu menutup aurat.
Ayuhai, adik, kakak dan abang, hidup ini hanyalah singkat. Dan ia hanya akan jadi bermakna jika kita memberi, lebih banyak daripada kita menerima.
Apa yang ingin saya sampaikan adalah, jika masing-masing sedar dan faham tentang peranan serta betapa besarnya sumbangan yang dapat diberikan kepada Islam hanyalah dengan menjaga perkara-perkara kecil seperti ini... Maka, besarlah harapan kita hendak melihat Islam, tertegak semula dengan gahnya di muka bumi ini suatu hari nanti, insyaAllah!
Akhir kalam, baik Hawa ataupun Adam, kita punya peranan yang berbeza, namun kita semua tetap sama-sama bekerja! Wallahu'alam.
(Di bawah adalah ayat saya)
p.s : artikel ini memang cadangnya dah lama nak post, (copy paste sebenarnya = share) tapi tak ada masa. Jadi post ini tak ada kaitan langsung dengan sebarang situasi.
p.p.s : terasa bersalah pula kadang-kadang meletakkan gambar sendiri yang agak macho di blog ini. Dan fb pun saya sudah pun private kan gambar2 tertentu (bajet hot lagi)...melainkan gambar2 biasa je selepas membaca artikel ini.
1 comment:
nice entry.. :). peringatan untuk diri sendiri yg tak berapa nk sempurna lagi..
Post a Comment