javascript:void(0)
Don't believe everything i've said, heck, don't believe anything. Learn to differentiate facts and personal opinions. Do your OWN research, then, CHOOSE what to believe.

Monday, November 2, 2026

Ibrahim, Musa dan Sumayyah

… seperti manusia. Dan sememangnya manusia, anak-anak juga mempunyai ragam-ragam mereka yang tersendiri.

Ibrahim

Ibrahim adalah anak sulung, dan dengan anak sulung kita lalui banyak perkara baru. Pertama kali menjadi ayah, pertama kali menjaga bayi, pertama kali menghantar anak ke darjah satu, pertama kali menghantar anak ke tadika, dan macam-macam lagi.

Nama Ibrahim, hanya sekadar untuk mengingatkan sekali lagi, dipilih sebab saya sangat mengagumi dan terkesan dengan kisah Nabi Ibrahim dalam Al-Quran. Bagi saya, gambaran bagaimana Nabi Ibrahim berkonfrontasi ataupun bersemuka dengan ayahnya sendiri memberikan saya satu rasa kagum, dan situasi itu sebenarnya sangat terpakai untuk diri saya sendiri.

Pada minggu yang lepas, Ibrahim terpilih untuk bertanding bersama rakan-rakannya dalam pertandingan kalam jama'i anjuran PERPUSTAM. Dalam satu segmen aktiviti di situ, ada ditanyakan apakah PERPUSTAM itu, dan Ibrahim adalah antara orang yang boleh menjawab. Dia tahu nama penuhnya. Tapi itu cerita sampingan.

Untuk kalam jama'i ini, pada asalnya dia bukan orang yang terpilih. Ada dia ceritakan bagaimana waktu sesi uji bakat, dia tidak begitu dapat mengeluarkan suara. Mungkin antara sebabnya adalah takut, segan ataupun serba salah. Saya lebih merasakan bahawa keadaannya yang segan. Kemudian ustazahnya minta dia membaca surah Al-Fatihah bagi nak dengar suara tu.

Tetapi Ibrahim beritahu, sebab dia pernah dengar ibu bapa, iaitu kami, pernah berbincang bagaimana melagu-lagukan berlebih-lebihan tidak elok, maka ketika dia baca Al-Fatihah pun tidak dia baca bersungguh-sungguh. Saya kata, takkan baca berbisik pula. Al-Fatihah tu baca macam biasa.

Kalau Ibrahim ni, apa yang saya boleh katakan adalah dia seperti diam-diam ubi berisi. Selalunya ketika kita ambil report card, ataupun ibu bapa diajak untuk datang bertemu guru-guru di sekolah membincangkan prestasi anak-anak, biasanya kita akan dengar ulasan yang tipikal daripada cikgu.

Untuk Ibrahim, katanya macam senyap, pemalu, walaupun prestasi dalam bilik darjah cemerlang, faham apa yang cikgu ajarkan. Berbanding dengan Musa, Musa adalah seorang yang aktif, berani bercakap, ada masanya sampai boleh menegur apa yang cikgu tulis pada papan hitam adalah salah. Tegurnya adalah pergi dekat dengan cikgu dan cakap, "Cikgu, kenapa sekian-sekian? Bukan sekian-sekian ke?"

Kembali kepada sesi kalam jama'i. Akhirnya Ibrahim terpilih dan berjaya masuk dalam pasukan. Kalam jama'i ini seperti choir, tapi dalam bahasa Arab. Pertandingan ini dibuat dekat The Shore, Melaka. Boleh dilihat kegembiraan yang terpancar pada wajah kanak-kanak yang menyertai pertandingan itu, dari sekolah rendah Arab, dari pasukan Ibrahim sendiri.

Ketika semua nama pasukan sudah pun diumumkan, yang tinggal hanya nombor 1 dan nombor 2. Ketika nama pasukan yang memenangi hadiah nombor 2 diumumkan dan bukan mereka, mereka pun gembira, sebab sudah tentu mereka yang memenangi tempat pertama.

Pesta Buku dan Dewan Sastera

Dekat event tersebut juga ada pesta buku, dan sempat saya menyelak majalah-majalah dan buku-buku yang ada, melawat booth-booth yang ada. Kalau ikutkan saya pun tak nak beli buku lagi, sebab seperti yang saya sebutkan sebelum ini, saya mempunyai masalah untuk membaca buku. Sebaliknya hanya mengumpul buku sahaja.

Cuma saya terlihat wujudnya majalah-majalah yang satu masa dahulu saya minat hendak membacanya, lagi-lagi ketika saya terpilih sebagai salah seorang ahli team forum di MRSM Jasin. Saya pernah menjadi sebahagian ahli team forum, tapi sebelum itu juga saya pernah menjadi sebahagian daripada team bahas, tetapi sebagai simpanan. Majalah-majalah seperti Dewan Siswa, Dewan Pelajar, itulah yang menjadi rujukan dan bahan bacaan kami.

Setelah saya selak-selak, saya kira kandungannya bagus, tetapi mungkin saya boleh dapatkan daripada internet, dan tidak saya rasa saya perlukan kandungan seperti ini buat waktu ini. Ada juga Dewan Ekonomi dan majalah yang berkaitan dengan kewangan, tetapi setelah saya selak kandungannya, kebanyakannya seperti yang saya sudah tahu. Nanti nak kata tahu atau memang dah tahu, bunyi seperti belagak sangat pula.

Tapi ada majalah yang saya suka dan saya ambil, iaitu Dewan Sastera. Bagi saya, kandungan Dewan Sastera, sebagai contoh mengulas ataupun mengkritik hasil-hasil karya sastera yang ada, adalah sesuatu yang sukar saya temui di tempat lain. Saya berminat untuk mengetahui contoh-contoh sastera yang ada, dan bagaimana sastera ni sebenarnya adalah suatu kesenian dan juga terkadang mempunyai kemisterian yang tersendiri.

Maka saya tertarik untuk mendengar atau membaca pandangan ataupun fahaman orang lain terhadap karya-karya sastera yang ada. Boleh jadi ada penulis atau pemuisi yang kena dengan jiwa kita, yang mana membacanya akan membuatkan kita rasa bahagia.

Mencari Blog

Dengan kecanggihan teknologi, ada hari itu saya cuba untuk mencari link-link daripada followers blog-blog yang saya kenal dan follow, supaya carian lebih luas berdasarkan kenalan terdekat, dengan harapan dapat menemukan blog-blog yang pengarangnya masih aktif menulis.

Dalam masa yang sama juga, jika tak aktif menulis pun, saya cuba untuk mencari apakah ada blog-blog yang tulisannya, seperti saya kata tadi, kena dengan jiwa dan mampu menjadi satu bahan bacaan yang membahagiakan, yang menenangkan dan juga menginspirasikan, seperti mana apa yang saya rasa ketika saya membaca Anekdot Jalanan sebagai contoh.

Ada blog-blog yang memang saya temui dan saya masih baca. Namun demikian, saya rasa tak perlu saya tuliskan di sini, sebabnya pernah satu masa dahulu saya ada menulis dan memberikan rujukan kepada blog tersebut, yang kemudiannya dipadamkan ataupun dijadikan private.

Sampai sekarang pun saya masih tak dapat nak membacanya. Mungkin pemilik blog tersebut menganggap benda tu terlalu privacy dan tak sesuai untuk saya membacanya, lebih-lebih lagi selepas saya mungkin ada memberitahu bahawa saya membaca blog tersebut dan memujinya. Mungkin sesuai untuk orang lain baca, dan itu pun jika tidak ada sebarang komentar yang menunjukkan adanya orang yang membaca blog tersebut.

Jadi sekalipun saya berminat untuk meninggalkan komen pada blog rakan-rakan yang saya baca, saya rasa saya memilih untuk tidak berbuat demikian. Mungkin itu lebih baik, sebab penulis mungkin terfikir-fikir siapakah yang membaca blog mereka, dan kita pula yang membaca mungkin akan terfikir-fikir adakah penulis blog menyedari yang kita membaca tulisan beliau. Kadang-kadang dalam hidup, kemisterian menjadi satu benda yang menyeronokkan.

Menulis di Zaman AI

Kita hidup dalam zaman AI. Sebenarnya antara sebab kenapa saya dapat menulis dengan lebih banyak dalam blog ini adalah sebab wujudnya teknologi-teknologi yang memudahkan. Ada hari itu saya beli Plaud dari TikTok, dan fungsinya dapat dengan mudah merakam perbualan, ataupun suara, dan daripada situ dia dapat memberikan transkrip yang jelas, yang kemudiannya dapat saya jadikan bahan menulis blog. Hanya perlu edit-edit tambahan sahaja.

Namun menghasilkan penulisan dengan merakam suara tidak sama seperti menulis tanpa suara. Jika dahulu saya menulis blog, kita akan ada benda yang terlintas dalam hati atau terbayang di fikiran, maka kita akan menulis, dan kita akan cuba untuk membaca dan menulis lagi sekiranya kita rasa ada susunan bahasa yang lebih elok dan penggunaan bahasa yang lebih indah. Tetapi ini kita bercakap menggunakan perakam suara, maka susunan bahasa terkadang berterabur. Terkadang saya juga tidak sempat pun untuk semak ejaannya.

Tapi pasti benda yang saya tak rasa saya patut buat adalah meminta Claude, sebagai contoh, untuk menuliskan artikel berdasarkan kepada poin yang saya berikan. Sebab kalau itu berlaku, di manakah keseronokannya? Tiada keaslian.

Namun model semakin canggih, di mana jika beberapa bulan yang lepas, masalah dengan Claude adalah saya tak akan dapat bercakap dalam bahasa Melayu dan dia memahami input tersebut. Sekarang ini kita boleh terus bercakap dalam bahasa Melayu dan dia dapat memahami, dan kadang-kadang dia dapat memberikan konteks berdasarkan apa yang dia sudah tahu tentang kita.

Public Speaking

Berbalik kepada cerita Ibrahim tadi. Saya dan wife ingin mencari semula apakah aktiviti tambahan yang boleh dilakukan oleh Ibrahim dan Musa. Ada aktiviti yang mungkin kita hantar sebelum ini, mungkin kita nilai semula patutnya dihentikan sahaja. Antara aktiviti yang kita rasa bagus adalah contohnya taekwondo, sebab kita boleh nampak adanya progres dari tali pinggang warna apa ke tali pinggang warna apa, dan sekali-sekala ada pertandingan yang mereka boleh sertai. Kita boleh nampak sendiri bagaimana progres mereka.

Maka pada seminggu atau dua minggu yang lepas, ketika kita ada buat staycation waktu jerebu itu, kita enroll Musa untuk trial class Ebright berkaitan public speaking. Setelah memerhatikan perjalanan trial untuk Musa itu, kami berpendapat bahawa program ini bagus dan boleh untuk Ibrahim dan Musa sertai. Ahad yang lepas adalah kelas mereka yang pertama.

Saya ada mendengar di tepi, dan ada masanya Ibrahim diberikan masa untuk menghasilkan idea bagi ucapan nanti apabila tiba giliran dia. Ada juga saya berikan beberapa point tunjuk ajar sedikit sebanyak. Tapi mungkin saya agak keterlaluan, yang mana Ibrahim pun tak selesa. Ada juga sampai bergenang air mata sebab merasakan yang public speaking ni adalah satu benda yang agak susah. Tambah-tambah lagi dalam bahasa Inggeris, bukannya bahasa Melayu yang biasa kita tuturkan di rumah.

Ini secara tidak langsung membuatkan saya teringat bagaimana saya sewaktu kecil pernah juga ada episod seperti ini. Ayah mengajar saya membaca Iqra ataupun mengeja. Pada masa yang sama, emak pula nak pergi keluar membeli barang. Saya hendak ikut, hasrat di hati hendak ikut, tetapi tidak sampai nak mengajukan permohonan tersebut kepada ayah. Sudahnya saya duduk di rumah, teruskan pembelajaran macam biasa. Tetapi ketika emak pulang, maka saya pun menangis.

Saya beritahu Ibrahim bahawa benda ni memang susah, tetapi ini adalah skill yang penting yang boleh digunakan sampai bila-bila. Saya berikan analogi bagaimana Ibrahim sekarang selalu mendapat tempat pertama dalam kelas. Itu adalah benda yang mudah. Umi dan ayah dah latih ataupun ajar daripada kecil, dah belajar cara belajar yang betul, sebagai contoh.

Tapi bagi budak lain yang mungkin berada pada tempat ke-20 dalam kelas, atau 15 dalam kelas, susah tak hendak menjadi yang pertama? Adakah sebab susah maka kita patut terima sahaja? Dia patut terima sahaja dia dapat nombor 15 atau 20 dan tak perlu susah payah untuk dapatkan nombor 1?

Jadi saya tak pasti, bunyinya seperti berceramah, namun window atau ruang untuk kita memberikan tunjuk ajar semakin singkat. Dalam masa beberapa tahun lagi nanti, dia akan menjadi remaja dan penerimaannya mungkin lebih berbeza berbanding dengan sekarang. Sekarang ni, at least, selepas berlaku episod seperti itu, saya menghadiri majlis kenduri kahwin anak saudara di Seremban. Ketika saya pulang semula, seolah-olah teguran saya pagi tadi kepada Ibrahim macam tak pernah berlaku.

Musa

Musa adalah anak nombor dua. Kalau dekat social media, selalu saya nampak anak nombor dua ni peelnya lain macam. Dalam keluarga mereka ni boleh kata seperti black sheep, atau the ugly ducklings. Seseorang atau individu yang berbeza dengan yang lain. Saya tak tahu kalau kita patut terima saja bulat-bulat benda itu dan sentiasa berpegang kepada anak nombor dua ni memang lain, ataupun lebih teruk lagi, bermasalah.

Tapi seperti yang saya dah katakan tadi, ketika ambil report card ataupun berjumpa dengan guru bagi mendapatkan maklum balas berkaitan tingkah laku Musa di sekolah, kita boleh tahu yang Musa ni adalah seorang yang outspoken. Dia mudah untuk berterus terang, yakin diri, dan tak makan saman apabila ditegur. Tangannya pun boleh tahan, selalunya bergerak tanpa memikirkan terlebih dahulu adakah perbuatan tersebut wajar ataupun tidak.

Waktu tadika, ada masanya pagi-pagi tu dia kata tak nak pergi ke sekolah dan tak nak pergi ke tadika, dan cakap pun dengan nada yang serius. Bagi saya, walaupun memang sepatutnya dia kena pergi ke tadika, cara dia menyebutnya membuatkan saya berasa kasihan dan sampai terfikir mungkin ada ruang untuk memberikan peluang kepada dia agar tidak pergi ke tadika.

Ada masanya apa yang terlintas, itulah yang dia minta. Apabila dia minta atau sebut, bukan dengan nada yang mendesak tetapi persisten. Menyebut benda itu berulang kali pula membuatkan saya rasa benda itu penting dan sepatutnya ditunaikan hasratnya itu.

Sumayyah

Sumayyah adalah anak perempuan pertama selepas dua orang anak lelaki. Sebelum itu pernah mendengar juga adanya perbezaan antara anak lelaki dan perempuan. Dan saya fikir benda tu mungkin kebetulan bagi kawan saya sahaja. Namun bagi saya, memang anak perempuan dan anak lelaki sejak lahir lagi mempunyai perbezaannya.

Anak lelaki biasanya lebih kuat, fizikal lebih cepat meningkat, anak perempuan nampaknya lebih lembut. Shazwan, team saya, ada menceritakan bagaimana anak perempuan ni lebih berperasaan, dan memang saya perhatikan dia sangat mudah untuk menunjukkan kasih sayangnya, terutamanya kepada ibunya.

Dengan saya, dia selalu mengelak untuk dicium kerana tidak suka bulu. Dengan saya, dia adalah seperti seorang kawan yang suka pukul tolak ketika ada punchline atau dalam certain situasi yang dia akan amplify reaksi tersebut. Tak kisah mungkin reaksi ketika itu terkejut atau dumbfounded. Saya pun susah nak cakap apakah perkataan yang sesuai. Maka saya pun mencari, bertanya kepada AI antara mungkin perkataan yang sesuai menggambarkan overreact.

Kadang-kadang kaki drama. Mudah terlopong atau ternganga. Ada masa reaksi muka memang jadi dia buat terkedu atau terpempan seperti dalam anime. Tergamam. Jika perlu, pada waktu yang kena dengan situasi, dia akan jadi arm slapper atau laugh hitter, orang yang memukul sambil ketawa. Atau physical reactor, orang yang bereaksi dengan badan. Atau mempunyai dramatic double take, pandang dua kali dengan gaya berlebihan, dengan lirik mata dan gaya muka yang seperti kartun.

Akhir kata, anak-anak ada memiliki ragam mereka yang tersendiri. Jiwa yang berbeza ragam ini tidak salah. Bahkan menarik, dan mudah-mudahan dapat mereka mengekalkan jiwa yang pure ini sehingga dewasa dan dipandu untuk melaksanakan perkara-perkara kebaikan.

Monday, October 26, 2026

Life Begins at 40 (Again)

Life begins at forty

Life begins at forty. Ada satu Threads ini, ketika saya sedang membacanya, Ibrahim pun ada, yang mana dia berkisar tentang seorang perempuan menceritakan memang betul life begins at forty. Bagaimana dia dah mula ada baking, buat sourdough sendiri, ada mungkin scuba diving, apa lagi aktiviti-aktiviti yang dia ada buat yang sebelum ini dia tak terfikir pun dia akan ada masa untuk buat.

Dan saya pun berseloroh, saya nampaknya masa umur 40 nanti saya akan mula main game, jadi gamer semula. Tapi wife mengingatkan bahawa umur 40 nanti anak yang kembar ini baru berumur 2 tahun.

Controller game

Cerita pasal game, di waktu yang lain pula saya kantoi, ataupun wife selak Shopee melihat apakah barang yang saya tengah tengok ataupun order, dan barang tersebut adalah controller game Nintendo Switch itu. Jadi dekat situ di samping ada juga benda lain yang saya beli, antaranya wok dan juga Tefal punya senduk, flip-flip. Ada yang fungsi untuk senang nak pusingkan telur, ada yang fungsi untuk goreng-goreng nanti minyak akan ditapis. Jadi itu adalah antara benda yang saya beli.

Mungkin dia punya trigger adalah ketika saya mula nak sambung balik perjalanan mencari oven, sebab dekat rumah tak pernah ada oven. Jadi dah buat kajian, jumpa ada model ini, TJean UBaker S1 22 liter, harga kalau dekat Shopee 1049. Tapi kalau tunggu 24 Oktober, 25 Oktober ada payday sale boleh jadi 7 something something. Jadi saya pun tunggu.

Bila dah mula membeli itu, dia trigger untuk tengok benda-benda lain pula. Mungkin sebab kita rasa alang-alang pada payday sale mungkin harga memang lebih murah. Maka kita mungkin boleh dapat murah dengan beli barang-barang lain yang kita ingat keperluan, tetapi hanyalah kehendak.

Cerita pasal game tadi, wife sambung lagi, oh beli barang untuk diri sendiri saja, bukan untuk dia. Saya menambah dan menjelaskan bahawa Nintendo Switch itu saya beli untuk semua. Saya ada tambahan controller lagi, bukan untuk saya. Untuk awak saya ada beli barang-barang masak tadi macam wok, senduk Tefal dan sebagainya. Begitulah, walaupun sebenarnya dia kalau boleh tak nak saya beli, mesti nak kena tengok juga senduk warna apa, ruang tak cukup dan sebagainya.

Hari ini juga ada dia berjaya buat cookies. Adunan Thermomix dan dimasukkan dalam air fryer. Jadi ini adalah permulaan yang baik. Jadi bila ada oven itu nanti dapat kita banyak benda lagi.

Doa umur 40

Kembali kepada kisah umur 40 ini, kebetulan ada video YouTube keluar dalam suggestion, seorang ustaz bercerita tentang ayat ini. Ini adalah nasihat untuk mereka yang hampir kepada umur 40 ataupun dah umur 40. Jadi inilah nasihat dia, satu doa dalam al-Quran yang saya kira saya pernah juga ada artikel ataupun blog post berkaitannya dalam blog ini, namun saya rasa kali ini memberikan sedikit atau poin tambahan yang saya tak terfikir pun sebelum ini.

Antara poin tersebut adalah dia kata umur 40, kenapa umur 40? Dia adalah sudah lebih kurang peak of maturity, kita akan jadi wise. Nabi dapat wahyu pun umur 40. Dan dalam doa itu ada bahagian doa untuk ibu bapa.

Dalam sesi yang lepas, mungkin apa yang saya faham adalah antara nikmat bagaimana kita jadi diri kita yang sekarang, besar-besar bahagiannya adalah datang daripada ibu bapa kita juga. Jadi contohnya macam bagaimana Sulaiman juga ada menuturkan doa untuk mensyukuri nikmat, bukan sahaja nikmat yang dikurniakan kepada dia, tetapi juga nikmat yang dikurniakan kepada ibu bapanya.

Cuma kali ini ustaz menceritakan apabila kita berumur 40, so lately umur mak ayah kita 60, 70 dan mereka sudah pun sampai ke usia tua, dan ada orang yang masih sempat berbakti, ada orang yang tidak sempat berbakti. Dan ini buatkan saya terfikir, oh, jadi doa itu pun sedikit sebanyak memang menggambarkan situasi tersebut.

Pemergian orang tersayang

Baru-baru ini, ketika saya mula catch up balik dengan rakan-rakan lama, banyak kisah-kisah pemergian orang tersayang yang saya dengar. Zuzuk kehilangan ibu dan makciknya. Pokwe kehilangan adiknya. Ezuwan, bapa mertuanya dah tak ada. Imran, bapanya dah tak ada, bapa mertua dan adik iparnya pun baru sahaja meninggal dunia. Sebelah wife saya pun banyak juga yang pakcik-pakcik yang dah meninggal dunia.

Berapa lamakah lagi masa yang ada untuk kita hidup dekat dunia ini? Dan dalam bahagian doa itu juga, selepas bercerita tentang ibu bapa, adalah mengharapkan amal kita yang diterima. Ada tak amalan kita yang mungkin kita rahsiakan? Mudah-mudahan dengan amalan itu kita ikhlas. Dan kemudian juga cerita tentang mengharapkan zuriat yang baik. Itulah harapan kita. Mudah-mudahan kita disambung dengan keturunan yang baik.

Menoleh semula

Mungkin umur 40, saya tak pasti, mungkin umur macam sekarang, kenapa saya mula boleh untuk menoleh semula dekat blog? Mungkin kebanyakan benda sudah pun berakhir, dan yang tinggal hanyalah pengajaran, berbanding kalau perkara tersebut sedang berjalan, dan saya menulis, ianya lebih kepada satu usaha untuk menyalurkan stres, kemarahan, kekesalan dan kesedihan.

Jadi selepas daripada saya grad, saya tak berani untuk menulis dan dibaca oleh mungkin rakan-rakan, atas sebab ianya bukanlah sesuatu yang menarik untuk dikongsikan, bahkan lebih ke arah memalukan. Namun masa mengubah banyak perkara.

Ada perhubungan yang sentiasa tenggelam dalam konflik, tapi kemudiannya menjadi stabil. Ada orang dulu yang tak solat, sekarang dah solat macam biasa. Ada masanya dulu kita sentiasa berfikir apakah kita mampu untuk mencapai sesuatu, memiliki aset. Sekarang sudah pun memiliki beberapa aset.

Jadinya kita kena sentiasa ingat doa ini, dan cuba untuk menghabiskan sisa-sisa yang tinggal dengan sehabis baik.

Daripada Saman Menjadi Kawan

Mahersaham dan COVID

Mahersaham dimulakan pada tahun 2015 lebih kurang, sebab satu minat dan juga usaha untuk menambahkan pendapatan. Jadi bermula dari situ, saya jadi remisier dan sentiasa kembangkan base orang yang buka akaun dengan saya. Ada naik dan turun, tapi mostly pembukaan akaun saham tu boleh kata meningkat secara linear.

Namun kewujudan COVID sebenarnya telah membawa kepada pembukaan akaun secara exponential. Antara sebabnya adalah pasaran saham Bursa Malaysia masih buka walaupun perintah kawalan pergerakan berlaku. Orang duduk di rumah, tidak tahu nak buat apa. Moratorium berjalan di mana bayaran bulanan kepada loan terhenti, tidak perlu membayar buat sementara waktu, manakala kebanyakannya masih lagi memperoleh gaji, cuma work from home.

Jadi apa lagi option yang mereka boleh buat? Mereka pasti berfikir, dengan duit lebihan yang ada dan masa yang ada, adalah lebih baik untuk kita trade saham.

Jadi antara broker yang memang top pada waktu itu adalah Malacca Securities ataupun M+, disebabkan USP kami adalah online first, ataupun antara cost brokerage yang termurah di pasaran berbanding dengan broker-broker lain. Strategi-strategi bagaimana Mahersaham mula mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia, itu kita akan ceritakan kemudian.

Nombor 3

Tetapi untuk cerita kali ini, kita boleh kata dalam waktu 2020-2021, Mahersaham boleh kata adalah nombor 3, lebih kurang, selepas daripada Asri Ahmad dan juga DDNK. Mungkin dari segi bilangan followers di media sosial, mungkin dari segi keupayaan buat kelas, mungkin dari segi pembukaan akaun. Jadi macam-macam kalau nak kata secara keseluruhannya. Mungkin dari segi website.

Pada waktu itu juga Aliff Scrut mula mempunyai konflik-konflik dengan beberapa sifu-sifu saham yang ada. So ada yang kata mungkin dia nak ketengahkan produk dia yang berkaitan dengan screener, screener saham ke, saya tak pasti. Itu pun satu kesimpulan yang saya mula dapat baru-baru ini sahaja, bukannya pada waktu itu.

Pada waktu itu apa yang saya perhatikan adalah saya gembira. Kita bercakap dengan sesama rakan dalam Mahersaham sendiri. Kita kata, oh macam ni jadi nombor 3 pun tak ada masalah, bagus. Kita tak adalah kena target dengan orang lain. Jadi untung pun untung sendiri-sendiri. Tapi rupa-rupanya lain yang telah ditakdirkan untuk kita.

Buku Mahersaham

Pada satu hari itu, ada orang sampaikan kepada saya yang nama saya kena petik oleh Aliff Scrut dekat Facebook page dia. Antara yang ditunjukkan dalam post tersebut adalah satu segmen dalam buku yang Mahersaham ada lancarkan, yang mana gambar rujukan dalam buku tersebut ada kita ambil daripada Facebook page beliau.

Ada tunjuk profil, dan nama Facebook page tersebut kita blurkan atau redact, supaya kita ingat dia tidak akan memberikan kesan kepada orang yang post tersebut. Tapi dari perspektif Aliff, benda tu adalah plagiarism.

Berkaitan projek buku Mahersaham, projek itu adalah sesuatu yang kita cuba usahakan, dan kita tugaskan Kerol, Aliyah dan Syafiqah untuk menghasilkan buku tersebut. Kita ingat benda tu kita nak jadikan satu lagi cabang income kepada Mahersaham sendiri sebagai sebuah syarikat. Namun demikian, buku tersebut sebenarnya tidaklah menguntungkan. Banyak cetakan yang tidak berjaya dijual. Tengok-tengok, dalam keadaan yang tak banyak dijual sekalipun, buku tersebut ada juga yang sampai ke pengetahuan Aliff.

Ketika benda tu berlaku, pada mulanya saya memang gelabah. Saya tak tahu apa nak buat. Saya ingat dengan mendiamkan diri, saya biarkan keadaan cool down, dan kita pun akan terlepas. Dia pun sibuk dengan banyak lagi urusan saman yang dia kena fikirkan, konflik-konflik, urusan keyboard warrior. Jadi saya fikir mendiamkan diri adalah langkah yang baik.

Pertandingan aplikasi Bursa

Dalam Mahersaham kita juga ada segmen programming, yang mana kita gunakan teknologi untuk sama ada kembangkan bisnes Mahersaham ataupun tambah baik produk atau proses kita mencari kaunter berpotensi. Bursa Malaysia kemudiannya melaksanakan satu pertandingan, siapakah yang boleh menghasilkan aplikasi saham yang terbaik.

Rupa-rupanya dalam peringkat saringan, bukan sahaja tim Mahersaham yang menghantar perwakilan, tetapi Aliff pun ada menyertai program tersebut bersama Nik, sahabat baik dia. Kita pun agak berdebar, tapi bila ke peringkat seterusnya, tim Mahersaham berjaya, namun tim dia gagal. Jadi kita hanya bergelak sesama sendiri. Tapi dalam masa yang sama kita pun risau, sebab benda tu sekali lagi meletakkan kita dalam radar beliau.

Seperti yang kita jangkakan, isu tu dinaikkan semula, dan kali ni dengan lebih dahsyat. Dia buat carian di SSM, dapat tahu IC dan alamat saya, siap dedahkan dekat Facebook page dia. Apa kegilaan, kalau ikutkan boleh sahaja kita buat saman malu. Tetapi saya memang mentah dan bukanlah siapa-siapa, tak berani. Jadi saya berada dalam dilema: adakah berjumpa dengan dia akan membawa kepada penyelesaian konflik, ataupun menjadi satu lagi ruang untuk berlakunya konflik yang lebih besar, escalation.

Pertemuan dengan orang tengah

Kemudian barulah kita dapat tahu bahawa Izrul, seorang remisier M+ juga, bersahabat dengan Aliff, berdasarkan Facebook page ada yang Aliff dan Izrul saling memberikan komen. Ketika itu saya minta Izrul menjadi orang tengah, dan itu membawa kepada pertemuan di Kay's Lobster and Steak. Saya ingat di Ampang ataupun Cheras.

Saya pergi bersama Elyas. Aliff hadir dengan Nik Kamil. Mahmud Jumaat datang kemudian. Izrul pun ada sebagai orang tengah. Sembang punya sembang, sebenarnya tak ada apa-apa. Sebenarnya dia pun tak ada masalah. Saja-saja.

Saya terangkan bagaimana perbuatan mengambil gambar tu adalah untuk rujukan. Staff saya tu memang follower ataupun peminat Aliff Scrut. Dia ambil as a sign of respect. So it is an honest mistake. It comes from a kind place. Lebih kurang macam tu maksud dia. Ini ayat-ayat yang saya cuba gambarkan keadaan tersebut.

Jadi kita bersetuju. Saya buat permohonan maaf di Facebook, dan saya terangkan sedikit sebanyak secara kasar, dan dia repost. Dia juga sarankan sesiapa yang berminat untuk buka akaun, boleh buka melalui saya. Di samping itu, saya kena belanja dia makan, kos makan malam tu saya ingat sekitar RM3,500.

Kemudian saya kena bayar pula lagi kepada Mahmud Jumaat, sebab katanya budak dia dah buat kerja, dah hantar LOD. Padahal LOD tu pun tak sampai ke tangan saya. Mungkin sampai ke ofis lama. Jadi keluarkan lagi RM3,500. Jadi begitulah ceritanya.

Facebook memories dan panggilan

Saya ingat hujung tahun lepas, Facebook memories keluar balik pertemuan-pertemuan yang pernah berlaku, keluar dekat Facebook saya. Tapi saya tidaklah nak re-share memories begitu. Tapi tak sangka bila tengok Facebook, page personal Aliff Scrut ni, dia pergi repost balik benda tu dengan emoji, lebih kurang macam ni kot 🥲. Saya pun tak tahu kalau dia berasa nostalgic dengan event tersebut.

Kemudian baru-baru ni, dia tiba-tiba WhatsApp saya, tanya 22 hari bulan saya free ataupun tidak. Jadi saya pun berfikir 2-3 kali juga, apa benda yang nak jumpa 22 hari bulan, nak pau lagi ke ataupun macam mana. Jadi saya ambil keputusan untuk terus menghubungi dia melalui telefon. Dia kata, apa nak call pula, aku tengah kat jamban ni.

Jadi tanya, kata Izrul pun datang, ada nak ajak pergi party. Rupanya event launching 22 hari bulan Oktober, event launching Scrut Garage, yang mana link kemudiannya dia bagi selepas perbualan saya dengan dia di telefon. Rupanya boleh bawa seorang lagi partner ke event tersebut. Saya dah tanya Wan, saya tanya Faisal, nampaknya Zury yang akhirnya bersetuju untuk join. Jadi itulah kalau nak dijadikan cerita.

Sebenarnya ada juga waktu lain, selepas saya tutup syarikat pada lebih kurang pertengahan 2022, saya buat satu hantaran di Facebook, menyatakan bagaimana ada bebanan-bebanan seperti overhead, jumlah kerugian yang ada. Kat situ dia ada juga call saya bertanya khabar berita. Tapi begitulah, satu panggilan yang saya sendiri pun sebenarnya tak sangka.

Abu Fedora

Ketika saya minta Izrul menjadi orang tengah, Izrul pun sebenarnya ada juga bercerita. Dia ceritakan kalau dulu-dulu golongan salaf di Malaysia ni, kalau ada masih ingat, dia ada nama Abu Fedora. Biasa golongan yang mengikut salaf di Malaysia ni namakan Facebook mereka dengan bermula perkataan Abu, sebagai nama kunyah. Jadi antara yang lantang pada waktu tu adalah Abu Fedora. Jadi kat situ lagi sebenarnya dah nampak tanda-tanda yang dia lantang ataupun bersifat keyboard warrior.

Scrut Garage

Kalau tengok ucapan dia di majlis itu berkaitan Scrut, menceritakan latar belakang pun, Scrut ni datang daripada minda yang kritikal. Dan dia sebut juga dalam tu, tabayun, ataupun scrutinize.

Apa-apa pun, jarang dapat attend event jemputan macam ni selain daripada Bursa. Makan pun duduk berhidang, satu pengalaman yang bagus. Sebelum tu, dapat juga saya pergi melawat kawan sekerja dulu sewaktu houseman, Imran Khan, mengingat memori lampau. Pada malam itu juga saya ada bertukar buah fikiran dengan Zury, kawan yang saya ajak sebagai plus one dalam event tersebut.

Wednesday, October 21, 2026

Jerebu dan Kebetulan

Selangor Summit dan jerebu

Beberapa hari yang lepas, saya ada attend satu program di KLCC, 14 hingga 16, program tersebut Selangor Summit. Basically kita nak tengoklah bagaimana ada banyak topik, ada banyak tema yang berkaitan dengan teknologi, ada berkaitan dengan semiconductor, AI, ada juga majlis perbandaran. Apakah pelaksanaan-pelaksanaan yang dibuat oleh kerajaan.

Saya kira ada juga sesuatu yang berkaitan dengan ASEAN. Tapi nampaknya tempat tu dipilih dan diletakkan banyak tajuk atau tema, mungkin untuk menambahkan crowd. Satu crowd untuk topik yang berbeza. Mungkin akhirnya akan melihat ke semua event yang ada.

Pada masa yang sama ada Game Developer Conference di Bangsar South, 15 dan 16. Saya ingat dekat poster ada tulis 14, 15 dan 16, tetapi rupanya tentatif 15 dan 16. Saya ingat benda yang sama berlaku pada tahun lepas, di mana saya datang sehari lebih awal, rupanya event akan berlangsung esoknya. Jadi ulang alik KL Melaka sebenarnya agak memenatkan. Ditambah lagi dengan jerebu, memang menyakitkan mata.

Staycation hari jadi

Maka pada hari Khamis, saya lebih selesa untuk meeting bersama Wan. Husna tak dapat join atas sebab-sebab tertentu. Jadi hari Jumaat adalah hari jadi saya, dan agak last minute. Kita pun kena fikirkan, ada jemputan untuk hadir ke satu program motivasi, lebih kepada introduction, di Armada Hotel di PJ.

Jadi alang-alang, kita ingat kita nak staycation. Wife nak buat shellout meraikan hari jadi saya. So alang-alang kita book staycation last minute. Dan susun atur kereta dengan double decker car seat. Ini ialah ketika waktu bayi. Tak dapat nak bayangkan kalau dah semakin membesar nanti, bagaimanakah configuration atau susun atur set dan orang yang akan terlibat.

Pemandangan dari tempat kita stay itu adalah tingkat 32 Tropicana Avenue, berdekatan dengan Casa Tropicana. Tempat tu juga rupanya adalah tempat di mana saya pernah belajar coding, personal coaching atau group coaching dengan Razman Sarit, seorang programmer, developer. Turut hadir bersama belajar adalah Amirul. Jadi pemandangan dari tingkat 32 memang menarik.

Namun demikian, jerebu sangat teruk. Membuatkan mata pedih, agak sesak nafas juga sedikit. Kalau nak dibandingkan KL dengan Melaka, Melaka jauh lebih baik daripada KL. Dan ini pun kita kena figure out jugalah apakah reason yang menghasilkan perbezaan ni. Mungkin lebih banyak kereta membawa kepada lebih banyak asap atau debu yang terkumpul dalam ozon kawasan mungkin.

Mille crepe

Apakah kek yang paling sedap dalam dunia ni? Setakat ini saya rasa kek jenis mille crepe adalah kek yang sedap. Walaupun sebelumnya mungkin ada masa saya suka kek cheesecake, ada juga kek lain, ice cream cake seperti daripada Inside Scoop. Tapi saya rasa kek mille crepe memang terbaik. Rasanya brand kali ni beli ialah Vanilla Crepe, sebelum ni pernah beli daripada Junandus, pun sedap juga. Mungkin yang kedua kek batik, sama ada kek batik coklat ataupun kek batik pistachio.

Kebetulan atau takdir

Banyak juga isu-isu yang berlaku kebelakangan ni. Antaranya adalah majlis perkahwinan Syed Saddiq dan juga Bella Astillah. Saya tertengok satu video ucapan dari Syed Saddiq, menceritakan bagaimana kebetulan yang akhirnya membawa ke jenjang pelamin. Tidaklah kebetulan, tetapi adalah takdir. Kadang bukan pilihan yang bermula dengan perkenalan, bukannya pilihan pertama untuk photoshoot bersama Bella Astillah, lebih kepada pilihan yang keempat.

Dan ditambah Muar tak dapat peruntukan daripada kerajaan untuk digunakan untuk kebajikan rakyat Muar, dan itu membawa kepada pertemuan-pertemuan yang seterusnya, usaha sama yang mana kalau ikutkan boleh je tak angkat telefon, boleh je tak terima job, ataupun orang lain yang accept job masa mula-mula sekali bila Bella Astillah approach yang lain.

Terkadang antara kahwin atau tak, ada anak atau tak, bercerai atau tak, adalah disebabkan satu kejadian kecil yang kita langsung tak sangka.

Kisah sebelum wife

Saya memiliki banyak dilema. Saya tidak memahami taaruf yang betul. Sewaktu zaman universiti, ketika saya masih mentah, saya ada memberitahu kepada naqib hasrat saya ingin berkenalan dengan seorang akhowat, saya telah dibiarkan tergantung. Tahu-tahu rupanya ada yang lain sudah memulakan proses. Saya tidak kisah tentang tidak berjaya, tapi tidak memberitahu apa yang berlaku atau progres atau ceritakan keadaan sebenar adalah sesuatu yang tidak wajar.

Perkara ini tidaklah membuatkan saya keluar usrah, namun saya katanya ditendang atas sebab yang lain, seperti membawa fahaman lain ke dalam usrah, yang mungkin kita boleh cerita di lain waktu.

Pernah ada kes saya berkenalan dengan seorang perempuan, seorang ustazah. Secara online, namun ketika bertemu, mungkin wajah ketika di hadapan berbeza dengan gambar-gambar dalam muka buku. Di situ kemudiannya membawa kepada kesimpulan pentingnya nampak berdepan, bukan sekadar online, dan itu pun kemudian akan membawa kepada konflik dalam perhubungan yang lain pula, perhubungan online yang mana kita pun tak dapat nak berikan kata putus, tapi kalau nak bervideo call pun kena fikir berkali-kali sebab atas batasan-batasan agama.

Dilema lain, keadaan yang mengajar saya online tidak boleh dipercayai seratus peratus, perlu bersemuka. Namun tak dapat bersemuka, adakah perlu video call?

Saya agak reluctant, dan merasakan langkah itu mungkin tidak Islamik (lebih tidak Islamik dari chat), dan seolahnya pihak lagi satu memberi gambaran yang sama. But little that I know, dia ada sahaja video call dengan lelaki (kawan baik lelaki).

Di saat yang lain, ada masa kita menyatakan hasrat secara berdepan. Sebagai contoh, dengan seorang nurse, tetapi yang dapat adalah ejekan. Mungkin dia nak nampak tak mudah untuk didekati, apa yang diucapkan berbeza dengan apa yang ada dalam hati. Dia kemudiannya menunjukkan minat, tapi disebabkan dah pernah dipersendakan (di hadapan kawan-kawan atau staf yang ada dalam wad), maka saya abaikan sahaja.

Ada juga yang saya dah berkenan, tetapi emak pula tak berkenan. Ada juga yang kita tahu tak sekufu, ataupun takut tak mampu, sebab makan di tempat-tempat mahal. Jadi ada masa kita sekadar menaruh minat, terdetik, dan we'll see how events or keadaan akan membawa kita, sama ada kepada jodoh kita atau perjalanan hidup kita.

Kirim salam yang tak sampai

Ada satu masa saya terdetik dan terserempak dengan seseorang, yang mana pada waktu dengan seseorang houseman, sekadar menyampaikan minat ketika bercerita dengan kawan-kawan, tidaklah berusaha untuk mendapatkan nombor telefon ataupun tidaklah berdepan untuk minta nombor telefon, sebab memang lain department, terserempak sekali-sekala itu pun dari jauh.

Yang kemudiannya, ada kawan satu posting, rupanya juga kawan rapat kepada si D yang kita terdetik. Kita kata okey, bolehlah kirim salam dan sebagainya. Namun jawapan balas, sampai sudah tak diterima...

Mengenali wife

Juga, berdasarkan daripada pengalaman-pengalaman yang lepas, kita pun tak nak memberikan harapan kepada orang lain, yang mana pemahaman orang berkaitan dengan ta'aruf berbeza antara satu sama lain, bergantung kepada tahap ilmu pengetahuan dan juga latar belakang keluarga. Maka saya memutuskan, sekiranya jodoh itu ada dalam kalangan rakan sejawatan, maka biarlah saya mengenali dan mengamati daripada interaksi saya yang biasa dengan mereka.

Untuk itu, saya memang biasanya hanya menggunakan aku dan kau ketika berkomunikasi dengan lelaki mahupun perempuan. Nak dijadikan cerita, sehingga selepas nikah pun, dalam masa lebih kurang seminggu atau dua minggu macam tu, saya dan wife masih lagi menggunakan bahasa aku kau, sebelum kemudiannya kita berbincang dan bersetuju untuk menggunakan saya awak, dan juga ketika perlu memanggil dengan panggilan sayang.

Saya mula kenal wife ketika posting medical. Saya ingat dengan jelas siapa dia, pada ketika saya bertugas malam, kena oncall, dan dia tak silap masih tagging pada waktu itu. Dia kena present case kepada MO, dan saya mendengar. Tidaklah sempurna (mungkin jauh dari sempurna ^^), dan dari situ saya cuba mengambil tahu dari mana dia grad (Egypt), posting keberapa dan sebagainya. Dari situ juga saya melihat bagaimana penampilan dia, modest.

Di saat lain, saya dan wife pernah jaga ICU bersama-sama waktu posting medical, dan itu juga satu peluang untuk mengamati perwatakan dan tingkah laku.

Wife pun pada asalnya hanyalah nak WhatsApp atas urusan kerja. Saya pula menganggap itu adalah satu peluang. Maka ketika mula nak berkenalan dengan lebih, wife memberikan satu ultimatum, bertanya apa sebenarnya yang saya nak, saya nak ni, sebab saya macam nak cakap ataupun nak berbual panjang benda-benda yang apa, mungkin di luar daripada urusan kerja.

Jadi adalah cadangannya untuk datang ke rumah berjumpa ayah, which in a way adalah satu situasi yang saya tak pernah jumpa dengan perkenalan dengan orang lain.

Jadinya okey. Bila dengan yang lain, mungkin berkenalan lebih-lebih barulah dijemput datang ke rumah. Mungkin tidaklah official. Tapi yang ni macam kalau nak berkenalan lebih-lebih kena datang rumah dulu. Jadi saya pun cubalah menyahut cabaran tersebut and see how it goes. And the rest is history. Ketika saya datang, abah pula macam tak tanya banyak, suruh ajak mak ayah pula yang datang. So begitulah.

Walaupun di saat lain-lain kirim salam yang tak sampai-sampai tu, rupanya dah disampaikan tetapi tidak disampaikan kepada saya. Ketika saya mengetahuinya pula, dengan wife sudah pun pergi ke stage yang seterusnya. Jadi begitulah. Saya percaya benda ni semua adalah takdir. Jalan telah tertulis untuk saya.

Saya bukan orang yang ketika sudah memulakan proses akan melihat-lihat juga orang lain. Biarlah satu persatu kita selesaikan dahulu. Jadi jika tidak, sekiranya saya proceed dengan si D yang berasal dari Kelantan, mungkin saya kena pulang alik ke Kelantan. Kita beristikharah. Kita cuba apa yang kita termampu. Maka akhirnya inilah dia. Dah ada 5 orang anak dah pun.

Rupa-rupanya tanpa saya sedari, wife juga berkawan baik dengan orang yang asalnya saya nak kena salam tersebut. Ketika saya tahu yang si kena salam tu datang ke rumah wife, waktu tu saya belum berkahwin lagi, hakikatnya saya tak tahu macam mana nak respons. Mungkin di mata si D yang saya kirim salam tersebut, melihat saya sebagai playboy mungkin. Macam mana kau boleh cuba nak berkirim salam tapi rupa-rupanya dah bertunang.

Tapi begitulah. Saya tak rasa ianya proper untuk menerangkan, sebab hakikatnya saya dan dia tak pernah berhubung sekalipun. Walaupun di kemudian-kemudian waktu, wife ada juga menceritakan bagaimana rupanya si D ada menceritakan kisah ada orang minat kat dia. Tapi tak kesampaian. Dan daripada cerita tersebut, saya kira mungkin dia pun faham apa yang berlaku.

Dari sudut wife pula, cerita-cerita macam ni sebenarnya tidaklah bagus. Sebab mungkin bagi perempuan, apa yang diharapkan adalah konsep all or none. Bagaimana boleh minat yang lain walaupun pada ketika itu tengah dengan yang sekarang. Satu benda saya tak faham, begitulah.

All or none

Antara kisah terbaru yang berlaku baru-baru ni ialah contohnya Aiman Banna dan isterinya mewar-warkan ingin mencari isteri yang ketiga. Jadi antara dalil ataupun dalil akal yang dikeluarkan adalah, kalau dah ada yang satu, macam mana boleh nak ada yang nombor dua dan nombor tiga?

Kalau dilihat dari logik akal, saya tak rasa kebanyakan lelaki memilih menggunakan konsep all or none. Tak mustahil dia minat dan tertarik dengan beberapa orang. Cuma along the way, dia akan memilih berdasarkan beberapa kriteria, faktor-faktor yang ada.

Tak kisahlah logistik, latar belakang keluarga, apakah batasan yang dia boleh terima, apa yang tak boleh terima. Rupa, keyakinan, sehinggalah sampai satu tahap dia dapati yang seseorang itu secara keseluruhannya adalah lebih baik daripada yang lain.

Mungkin yang lain mempunyai markah 60-70. Mungkin yang ni 80-90. Jadi taklah bermaksud dengan menyatakan ketertarikan kepada yang lain membuatkan orang yang kita pilih tu sebenarnya tak bernilai apa-apa. Susah nak diterangkan benda ni. Kalau boleh saya nak AI tolong terangkan secara ringkas benda ni.

Sebaik-baik pengurus

Namun benda tu adalah satu takdir yang berlakulah. Sama juga ketika saya dipindahkan ke Sarikei, Sarawak. Kalaulah mungkin bukan waktunya, mungkin tiada apa-apa yang terjadi, maka Ibrahim tak dikandungkan dan kemudian tak dilahirkan, dan saya pun tidak ada motivasi untuk berhenti kerja dan pindah balik ke Semenanjung. Dan ini semua adalah satu benda yang ditakdirkan. Dan Allah adalah sebaik-baik pengurus. Dan saya percaya segala apa yang Allah telah tetapkan adalah baik untuk kita. Sebab saya mahu bersangka baik dengan Tuhan.