javascript:void(0)
Don't believe everything i've said, heck, don't believe anything. Learn to differentiate facts and personal opinions. Do your OWN research, then, CHOOSE what to believe.

Monday, November 2, 2026

Ibrahim, Musa dan Sumayyah

… seperti manusia. Dan sememangnya manusia, anak-anak juga mempunyai ragam-ragam mereka yang tersendiri.

Ibrahim

Ibrahim adalah anak sulung, dan dengan anak sulung kita lalui banyak perkara baru. Pertama kali menjadi ayah, pertama kali menjaga bayi, pertama kali menghantar anak ke darjah satu, pertama kali menghantar anak ke tadika, dan macam-macam lagi.

Nama Ibrahim, hanya sekadar untuk mengingatkan sekali lagi, dipilih sebab saya sangat mengagumi dan terkesan dengan kisah Nabi Ibrahim dalam Al-Quran. Bagi saya, gambaran bagaimana Nabi Ibrahim berkonfrontasi ataupun bersemuka dengan ayahnya sendiri memberikan saya satu rasa kagum, dan situasi itu sebenarnya sangat terpakai untuk diri saya sendiri.

Pada minggu yang lepas, Ibrahim terpilih untuk bertanding bersama rakan-rakannya dalam pertandingan kalam jama'i anjuran PERPUSTAM. Dalam satu segmen aktiviti di situ, ada ditanyakan apakah PERPUSTAM itu, dan Ibrahim adalah antara orang yang boleh menjawab. Dia tahu nama penuhnya. Tapi itu cerita sampingan.

Untuk kalam jama'i ini, pada asalnya dia bukan orang yang terpilih. Ada dia ceritakan bagaimana waktu sesi uji bakat, dia tidak begitu dapat mengeluarkan suara. Mungkin antara sebabnya adalah takut, segan ataupun serba salah. Saya lebih merasakan bahawa keadaannya yang segan. Kemudian ustazahnya minta dia membaca surah Al-Fatihah bagi nak dengar suara tu.

Tetapi Ibrahim beritahu, sebab dia pernah dengar ibu bapa, iaitu kami, pernah berbincang bagaimana melagu-lagukan berlebih-lebihan tidak elok, maka ketika dia baca Al-Fatihah pun tidak dia baca bersungguh-sungguh. Saya kata, takkan baca berbisik pula. Al-Fatihah tu baca macam biasa.

Kalau Ibrahim ni, apa yang saya boleh katakan adalah dia seperti diam-diam ubi berisi. Selalunya ketika kita ambil report card, ataupun ibu bapa diajak untuk datang bertemu guru-guru di sekolah membincangkan prestasi anak-anak, biasanya kita akan dengar ulasan yang tipikal daripada cikgu.

Untuk Ibrahim, katanya macam senyap, pemalu, walaupun prestasi dalam bilik darjah cemerlang, faham apa yang cikgu ajarkan. Berbanding dengan Musa, Musa adalah seorang yang aktif, berani bercakap, ada masanya sampai boleh menegur apa yang cikgu tulis pada papan hitam adalah salah. Tegurnya adalah pergi dekat dengan cikgu dan cakap, "Cikgu, kenapa sekian-sekian? Bukan sekian-sekian ke?"

Kembali kepada sesi kalam jama'i. Akhirnya Ibrahim terpilih dan berjaya masuk dalam pasukan. Kalam jama'i ini seperti choir, tapi dalam bahasa Arab. Pertandingan ini dibuat dekat The Shore, Melaka. Boleh dilihat kegembiraan yang terpancar pada wajah kanak-kanak yang menyertai pertandingan itu, dari sekolah rendah Arab, dari pasukan Ibrahim sendiri.

Ketika semua nama pasukan sudah pun diumumkan, yang tinggal hanya nombor 1 dan nombor 2. Ketika nama pasukan yang memenangi hadiah nombor 2 diumumkan dan bukan mereka, mereka pun gembira, sebab sudah tentu mereka yang memenangi tempat pertama.

Pesta Buku dan Dewan Sastera

Dekat event tersebut juga ada pesta buku, dan sempat saya menyelak majalah-majalah dan buku-buku yang ada, melawat booth-booth yang ada. Kalau ikutkan saya pun tak nak beli buku lagi, sebab seperti yang saya sebutkan sebelum ini, saya mempunyai masalah untuk membaca buku. Sebaliknya hanya mengumpul buku sahaja.

Cuma saya terlihat wujudnya majalah-majalah yang satu masa dahulu saya minat hendak membacanya, lagi-lagi ketika saya terpilih sebagai salah seorang ahli team forum di MRSM Jasin. Saya pernah menjadi sebahagian ahli team forum, tapi sebelum itu juga saya pernah menjadi sebahagian daripada team bahas, tetapi sebagai simpanan. Majalah-majalah seperti Dewan Siswa, Dewan Pelajar, itulah yang menjadi rujukan dan bahan bacaan kami.

Setelah saya selak-selak, saya kira kandungannya bagus, tetapi mungkin saya boleh dapatkan daripada internet, dan tidak saya rasa saya perlukan kandungan seperti ini buat waktu ini. Ada juga Dewan Ekonomi dan majalah yang berkaitan dengan kewangan, tetapi setelah saya selak kandungannya, kebanyakannya seperti yang saya sudah tahu. Nanti nak kata tahu atau memang dah tahu, bunyi seperti belagak sangat pula.

Tapi ada majalah yang saya suka dan saya ambil, iaitu Dewan Sastera. Bagi saya, kandungan Dewan Sastera, sebagai contoh mengulas ataupun mengkritik hasil-hasil karya sastera yang ada, adalah sesuatu yang sukar saya temui di tempat lain. Saya berminat untuk mengetahui contoh-contoh sastera yang ada, dan bagaimana sastera ni sebenarnya adalah suatu kesenian dan juga terkadang mempunyai kemisterian yang tersendiri.

Maka saya tertarik untuk mendengar atau membaca pandangan ataupun fahaman orang lain terhadap karya-karya sastera yang ada. Boleh jadi ada penulis atau pemuisi yang kena dengan jiwa kita, yang mana membacanya akan membuatkan kita rasa bahagia.

Mencari Blog

Dengan kecanggihan teknologi, ada hari itu saya cuba untuk mencari link-link daripada followers blog-blog yang saya kenal dan follow, supaya carian lebih luas berdasarkan kenalan terdekat, dengan harapan dapat menemukan blog-blog yang pengarangnya masih aktif menulis.

Dalam masa yang sama juga, jika tak aktif menulis pun, saya cuba untuk mencari apakah ada blog-blog yang tulisannya, seperti saya kata tadi, kena dengan jiwa dan mampu menjadi satu bahan bacaan yang membahagiakan, yang menenangkan dan juga menginspirasikan, seperti mana apa yang saya rasa ketika saya membaca Anekdot Jalanan sebagai contoh.

Ada blog-blog yang memang saya temui dan saya masih baca. Namun demikian, saya rasa tak perlu saya tuliskan di sini, sebabnya pernah satu masa dahulu saya ada menulis dan memberikan rujukan kepada blog tersebut, yang kemudiannya dipadamkan ataupun dijadikan private.

Sampai sekarang pun saya masih tak dapat nak membacanya. Mungkin pemilik blog tersebut menganggap benda tu terlalu privacy dan tak sesuai untuk saya membacanya, lebih-lebih lagi selepas saya mungkin ada memberitahu bahawa saya membaca blog tersebut dan memujinya. Mungkin sesuai untuk orang lain baca, dan itu pun jika tidak ada sebarang komentar yang menunjukkan adanya orang yang membaca blog tersebut.

Jadi sekalipun saya berminat untuk meninggalkan komen pada blog rakan-rakan yang saya baca, saya rasa saya memilih untuk tidak berbuat demikian. Mungkin itu lebih baik, sebab penulis mungkin terfikir-fikir siapakah yang membaca blog mereka, dan kita pula yang membaca mungkin akan terfikir-fikir adakah penulis blog menyedari yang kita membaca tulisan beliau. Kadang-kadang dalam hidup, kemisterian menjadi satu benda yang menyeronokkan.

Menulis di Zaman AI

Kita hidup dalam zaman AI. Sebenarnya antara sebab kenapa saya dapat menulis dengan lebih banyak dalam blog ini adalah sebab wujudnya teknologi-teknologi yang memudahkan. Ada hari itu saya beli Plaud dari TikTok, dan fungsinya dapat dengan mudah merakam perbualan, ataupun suara, dan daripada situ dia dapat memberikan transkrip yang jelas, yang kemudiannya dapat saya jadikan bahan menulis blog. Hanya perlu edit-edit tambahan sahaja.

Namun menghasilkan penulisan dengan merakam suara tidak sama seperti menulis tanpa suara. Jika dahulu saya menulis blog, kita akan ada benda yang terlintas dalam hati atau terbayang di fikiran, maka kita akan menulis, dan kita akan cuba untuk membaca dan menulis lagi sekiranya kita rasa ada susunan bahasa yang lebih elok dan penggunaan bahasa yang lebih indah. Tetapi ini kita bercakap menggunakan perakam suara, maka susunan bahasa terkadang berterabur. Terkadang saya juga tidak sempat pun untuk semak ejaannya.

Tapi pasti benda yang saya tak rasa saya patut buat adalah meminta Claude, sebagai contoh, untuk menuliskan artikel berdasarkan kepada poin yang saya berikan. Sebab kalau itu berlaku, di manakah keseronokannya? Tiada keaslian.

Namun model semakin canggih, di mana jika beberapa bulan yang lepas, masalah dengan Claude adalah saya tak akan dapat bercakap dalam bahasa Melayu dan dia memahami input tersebut. Sekarang ini kita boleh terus bercakap dalam bahasa Melayu dan dia dapat memahami, dan kadang-kadang dia dapat memberikan konteks berdasarkan apa yang dia sudah tahu tentang kita.

Public Speaking

Berbalik kepada cerita Ibrahim tadi. Saya dan wife ingin mencari semula apakah aktiviti tambahan yang boleh dilakukan oleh Ibrahim dan Musa. Ada aktiviti yang mungkin kita hantar sebelum ini, mungkin kita nilai semula patutnya dihentikan sahaja. Antara aktiviti yang kita rasa bagus adalah contohnya taekwondo, sebab kita boleh nampak adanya progres dari tali pinggang warna apa ke tali pinggang warna apa, dan sekali-sekala ada pertandingan yang mereka boleh sertai. Kita boleh nampak sendiri bagaimana progres mereka.

Maka pada seminggu atau dua minggu yang lepas, ketika kita ada buat staycation waktu jerebu itu, kita enroll Musa untuk trial class Ebright berkaitan public speaking. Setelah memerhatikan perjalanan trial untuk Musa itu, kami berpendapat bahawa program ini bagus dan boleh untuk Ibrahim dan Musa sertai. Ahad yang lepas adalah kelas mereka yang pertama.

Saya ada mendengar di tepi, dan ada masanya Ibrahim diberikan masa untuk menghasilkan idea bagi ucapan nanti apabila tiba giliran dia. Ada juga saya berikan beberapa point tunjuk ajar sedikit sebanyak. Tapi mungkin saya agak keterlaluan, yang mana Ibrahim pun tak selesa. Ada juga sampai bergenang air mata sebab merasakan yang public speaking ni adalah satu benda yang agak susah. Tambah-tambah lagi dalam bahasa Inggeris, bukannya bahasa Melayu yang biasa kita tuturkan di rumah.

Ini secara tidak langsung membuatkan saya teringat bagaimana saya sewaktu kecil pernah juga ada episod seperti ini. Ayah mengajar saya membaca Iqra ataupun mengeja. Pada masa yang sama, emak pula nak pergi keluar membeli barang. Saya hendak ikut, hasrat di hati hendak ikut, tetapi tidak sampai nak mengajukan permohonan tersebut kepada ayah. Sudahnya saya duduk di rumah, teruskan pembelajaran macam biasa. Tetapi ketika emak pulang, maka saya pun menangis.

Saya beritahu Ibrahim bahawa benda ni memang susah, tetapi ini adalah skill yang penting yang boleh digunakan sampai bila-bila. Saya berikan analogi bagaimana Ibrahim sekarang selalu mendapat tempat pertama dalam kelas. Itu adalah benda yang mudah. Umi dan ayah dah latih ataupun ajar daripada kecil, dah belajar cara belajar yang betul, sebagai contoh.

Tapi bagi budak lain yang mungkin berada pada tempat ke-20 dalam kelas, atau 15 dalam kelas, susah tak hendak menjadi yang pertama? Adakah sebab susah maka kita patut terima sahaja? Dia patut terima sahaja dia dapat nombor 15 atau 20 dan tak perlu susah payah untuk dapatkan nombor 1?

Jadi saya tak pasti, bunyinya seperti berceramah, namun window atau ruang untuk kita memberikan tunjuk ajar semakin singkat. Dalam masa beberapa tahun lagi nanti, dia akan menjadi remaja dan penerimaannya mungkin lebih berbeza berbanding dengan sekarang. Sekarang ni, at least, selepas berlaku episod seperti itu, saya menghadiri majlis kenduri kahwin anak saudara di Seremban. Ketika saya pulang semula, seolah-olah teguran saya pagi tadi kepada Ibrahim macam tak pernah berlaku.

Musa

Musa adalah anak nombor dua. Kalau dekat social media, selalu saya nampak anak nombor dua ni peelnya lain macam. Dalam keluarga mereka ni boleh kata seperti black sheep, atau the ugly ducklings. Seseorang atau individu yang berbeza dengan yang lain. Saya tak tahu kalau kita patut terima saja bulat-bulat benda itu dan sentiasa berpegang kepada anak nombor dua ni memang lain, ataupun lebih teruk lagi, bermasalah.

Tapi seperti yang saya dah katakan tadi, ketika ambil report card ataupun berjumpa dengan guru bagi mendapatkan maklum balas berkaitan tingkah laku Musa di sekolah, kita boleh tahu yang Musa ni adalah seorang yang outspoken. Dia mudah untuk berterus terang, yakin diri, dan tak makan saman apabila ditegur. Tangannya pun boleh tahan, selalunya bergerak tanpa memikirkan terlebih dahulu adakah perbuatan tersebut wajar ataupun tidak.

Waktu tadika, ada masanya pagi-pagi tu dia kata tak nak pergi ke sekolah dan tak nak pergi ke tadika, dan cakap pun dengan nada yang serius. Bagi saya, walaupun memang sepatutnya dia kena pergi ke tadika, cara dia menyebutnya membuatkan saya berasa kasihan dan sampai terfikir mungkin ada ruang untuk memberikan peluang kepada dia agar tidak pergi ke tadika.

Ada masanya apa yang terlintas, itulah yang dia minta. Apabila dia minta atau sebut, bukan dengan nada yang mendesak tetapi persisten. Menyebut benda itu berulang kali pula membuatkan saya rasa benda itu penting dan sepatutnya ditunaikan hasratnya itu.

Sumayyah

Sumayyah adalah anak perempuan pertama selepas dua orang anak lelaki. Sebelum itu pernah mendengar juga adanya perbezaan antara anak lelaki dan perempuan. Dan saya fikir benda tu mungkin kebetulan bagi kawan saya sahaja. Namun bagi saya, memang anak perempuan dan anak lelaki sejak lahir lagi mempunyai perbezaannya.

Anak lelaki biasanya lebih kuat, fizikal lebih cepat meningkat, anak perempuan nampaknya lebih lembut. Shazwan, team saya, ada menceritakan bagaimana anak perempuan ni lebih berperasaan, dan memang saya perhatikan dia sangat mudah untuk menunjukkan kasih sayangnya, terutamanya kepada ibunya.

Dengan saya, dia selalu mengelak untuk dicium kerana tidak suka bulu. Dengan saya, dia adalah seperti seorang kawan yang suka pukul tolak ketika ada punchline atau dalam certain situasi yang dia akan amplify reaksi tersebut. Tak kisah mungkin reaksi ketika itu terkejut atau dumbfounded. Saya pun susah nak cakap apakah perkataan yang sesuai. Maka saya pun mencari, bertanya kepada AI antara mungkin perkataan yang sesuai menggambarkan overreact.

Kadang-kadang kaki drama. Mudah terlopong atau ternganga. Ada masa reaksi muka memang jadi dia buat terkedu atau terpempan seperti dalam anime. Tergamam. Jika perlu, pada waktu yang kena dengan situasi, dia akan jadi arm slapper atau laugh hitter, orang yang memukul sambil ketawa. Atau physical reactor, orang yang bereaksi dengan badan. Atau mempunyai dramatic double take, pandang dua kali dengan gaya berlebihan, dengan lirik mata dan gaya muka yang seperti kartun.

Akhir kata, anak-anak ada memiliki ragam mereka yang tersendiri. Jiwa yang berbeza ragam ini tidak salah. Bahkan menarik, dan mudah-mudahan dapat mereka mengekalkan jiwa yang pure ini sehingga dewasa dan dipandu untuk melaksanakan perkara-perkara kebaikan.