javascript:void(0)
Don't believe everything i've said, heck, don't believe anything. Learn to differentiate facts and personal opinions. Do your OWN research, then, CHOOSE what to believe.

Monday, January 29, 2024

Anekdot Jalanan

 Ia adalah sebuah buku karangan ZRA - nama singkatan bagi Zainal Rashid Arshad, orang yang saya kenal dari channel Youtube bertajuk ZRA Strim. 

Channel itu pun saya jumpa ketika hendak mengkaji analytics untuk channel youtube sendiri - dan ditunjukkan bahawa audience untuk channel saya - kebanyakannya juga menonton channel ZRA Strim.

Buku tersebut diterbitkan oleh Tentang Kita Sdn Bhd - Hafizul Faiz, kawan Shazwan.
Membaca prolog karangan Hafizul Faiz sahaja saya kira sudah membangkitkan semangat berkobar-kobar untuk membaca buku ini. Dalam prolog juga Hafizul Faiz menyebut beberapa buku yang saya 'familiar' :
- Ayat-ayat Cinta
- Salju Sakinah
- Tunggu Teduh Dulu

Saya hanya termenung sebentar, dan bertanya, "Dah lama tak membaca buku-buku yang membangkitkan minat terhadap sastera. Seolahnya kita telah kehilangan sebahagian daripada diri kita - kita pada suatu masa dahulu"


Pengalaman

Dia bercerita tentang pengalaman, kisah hidup wartawan, kisah di jalanan. Kisah kehidupan yang dia lalui. 

"Cerita perjalanan hidup terasa panjang walaupun hakikat usia ini pendek sahaja. Tetapi, tidak semua kisah kita penting untuk orang lain. Harus selektif."

"Saya suka kehidupan sukar, soloist dan freedom. Terlalu lama kerja berpasukan ada kalanya menjadikan kita hilang pesona pada kemahiran peribadi.

26 tahun dalam media massa, suku abad hidup bergelumang dengan budaya kerja berpasukan.

Selepas begitu lama dalam kokon - kita mula berfikir, "Kalau mahukan perubahan total berdasarkan perspektif peribadi, soloist jalan terbaik."

Bagus sangatlah tu, kena dengan keadaan saya sekarang ni yang sudah tidak lagi ada syarikat - bungkus akibat salah strategi dan keadaan yang memaksa.



Sesalan

Ada masanya, dia menyampaikan sesalannya.

"Itu detik yang kemudiannya sangat dikesalkan. Saya sepatutnya terus sahaja memberkan wang tanpa perlu membiarkan Ibrahim mencuci kasut.

Membiarkan kanak-kanak yang lapar memangku kaki dan kasut kita di atas ribaan adalah satu perbuatan tidak bertamadun.

Setiap kali mengingatkan kejadian itu - saya rasa sangat bersalah.

Sejak tahun 2012, saya berusaha menghapuskan rasa bersalah yang dibawa pulang dari Kabrebeya.

Tahun ini saya berkesempatan meletakkan lapan kaki kanak-kanak di atas ribaan, sambil mengukur saiz dan mengikat tali kasut mereka."



Penulis Surat Cinta Sewaktu Zaman Persekolahan

"Belanja Makan Upah Tulis Surat Cinta

Saya pernah stream mengenai kisah saya menulis surat cinta pada Wen, Nik dan Art Param. (Tiga kawan baik yang juga sudah kembali ke rahmatullah).

Tahun 1983 dan saya sudah mahir sedikit mengolah bahasa indah kerana ketika Tingkatan Empat - saya belajar aliran Sastera.

Saya sudah membaca novel "Badai Semalam" karya Khatijah Hashim, juga membaca antologi puisi "Lukisan Zaman".

Mahir bahasa menjadikan kerja menulis surat cinta terasa lebih euforia.

Kita berasa sangat puas apabila dapat menyusun kata-kata indah dalam surat cinta, menzahirkan perasaan kawan-kawan.

Walaupun pemilik perasaan itu sendiri sentiasa bercelaru ketika melahirkan isi hatinya.

Selebihnya - upah menulis surat cinta selalunya lengkap, makanan, minuman dan sebatang rokok."



Menjadikan Buku Sebagai Teman

"Pada Mei 1984, apabila terpaksa melarikan diri ke Kuala Lumpur, saya hanya sempat membawa sehelai dua pakaian, selebihnya ialah novel "Bumi Manusia" karya Pramoedya Ananta Toer (Pak Pram).

Saya sumbat semua dalam beg sandang sekolah dan terus naik bas, perjalanan pertama ke Kuala Lumpur.

Novel "Bumi Manusia" pada masa itu diharamkan di Indonesia, saya membelinya di kedai buku tepi tangga Pekan Rabu, Alor Setar.

Saya beli edisi asal Bahasa Indonesia yang diterbitkan Hasta Mitra (1980), sebelum dilarang jualannya oleh rejim Suharto atas tuduhan novel itu mempromosi Sosialis dan Komunisme.

Pada usia 17 tahun, buku itu saya beli hasil gaji sebagai budak penjaja buah di sekitar Pasar Malam seluruh Kedah.

Melalui novel "Bumi Manusia" saya kenal watak Minke dan turut jatuh cinta pada gadis manis, Annelies."



Meminati Karya Azizi

Saya ingat-ingat lupa - rasa pernah membaca salah satu karya yang ada - sebab ada dalam rak buku. Tak pasti emak atau ayah yang membaca buku tersebut.

"Azizi Haji Abdullah (4 April 1942- 21 Ogos 2011)

Biodata dan senarai karya Azizi boleh saja diperoleh sekelip mata dengan merujuk Mr Google. Saya tidak dapat menghabiskan ruang ini untuk menyenaraikan semula copy paste internet.

Azizi dalam kisah ini - dikenang dalam perspektif lain yang lebih humanis. Barangkali juga sebagai lelaki kebapaan yang polos tapi romantis.

Membaca karya-karya Azizi sangat tebal nilai kemanusiaannya. Wacana sosial dan politik saling berinteraksi dalam tebal dan nipis ideologi penulis ini.

Azizi seperti idolanya, Sasterawan Negara Shahnon Ahmad - karya yang sangat berteraskan masyarakat desa. Itu runut sastera mereka.

Selain menulis, seperti Shahnon, Azizi juga pernah menyertai parti siasat dan bertanding pilihanraya. Novel Seorang Tua di Kaki Gunung (1981), Al-Asyraq (1987), Yang Merusuh (1991), Beruk (1991) dan Kawin-kawin (2002) memperlihatkan sikap kesasterawanan Azizi."


Biodata Penulis Di Hujung Buku



Benar, seperti komen di youtube channel ZRA Strim ini - terima kasih saya ucapkan kepada ZRA membangkitkan semula semangat kepada saya untuk menulis semula.





No comments: