Dia tak dapat dilihat, penglihatan kita tak mampu nak mencapainya.
Dia menghijab kita dari rahsia-rahsia agung itu, dari pengetahuan tentang yang ghaib tapi Dia juga ingin dikenali.
Maka diutusNya rasul, diturunkanNya Alquran.
Cinta-Nya diselitkan dalam penciptaan langit dan bumi.
Cinta-Nya juga tersembunyi di sebalik kata-kataNya .
Pada ayat ini, kita melihat bukti cinta-Nya kepada Nabi Muhammad sallalahualaihiwassalam.
"Ia memasamkan muka dan berpaling"
(Abasa, 80:1)
Tapi macam mana? Satu ayat je pun.
Ayat tuh guna kata ganti diri ketiga. 'Dia'. 'Dia' bermuka masam. Dalam hidup ni, takkanlah kita tak pernah dengar orang cakap macam tu kat kita, atau kita buat macam tu kat orang lain. Kita nak jaga hati orang yang rapat dengan kita, tapi dalam masa yang sama, kita nak tegur dia.
Maka kita pun kata, " Ada orang tu kan, 'dia' hari tuh tak ingat pun nak bawak payung. 'Dia' boleh lupa nak beli barang yang kita pesan? 'Dia'/ orang tu pergi rendam pinggan sekali dengan bekas minyak...memang susah giler nak tanggal!" ok contoh la semua tuh.
Apa lagi yang dimaksudkan dengan kehalusan menegur seseorang begitu rupa, jika bukan cinta.
Jangan kita lupa, inilah dia insan pilihan, yang Allah hantarkan malaikat kepadanya menawarkan untuk merapatkan kedua-dua gunung bagi melicinkan seluruh penduduk Taif...sebab mereka telah benar-benar melukakan kekasihNya.
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(Az-zumar, 39:53)
Pada ayat ini, Allah menyuruh Nabi Muhammad sallalahualaihiwassalam (atau boleh merujuk kepada para pendakwah, orang2 baik yang baca Alquran ni) supaya cakaplah kat orang2 yang berdosa, melampaui batas, yang sah-sah la ramai di antaranya jarang baca quran (jadi ayat ni tak sampai kat diorang)...sampaikan kepada mereka bahawa janganlah mereka berputus asa. Dan apa panggilan yang Allah beri kat orang-orang yang berdosa ini? Hamba-hambaKu.
Seorang ayah bisa membuang anak yang memalukan keluarga, memutuskan hubungan tali kekeluargaan dengan anak tersebut hanya disebabkan mungkin satu perkara kecil. Tapi Allah tidak begitu. Selagi tidak menyekutukanNya, berapa besar pun dosa, maka ketahuilah pengampunanNya lebih besar lagi. Kamu, tetap hamba-Nya walau apa pun yang berlaku. Adakah jika kamu (atau kita) melakukan kesilapan yang besar, Dia akan membuangmu? Tidak mengiktiraf kamu lagi sebagai hamba-Nya, lalu menyerahkan kamu kepada iblis, musuh kamu sendiri?
Ketika kamu membuat kesilapan, Dia memberikan kamu masa dan penangguhan. Dia tidak menyegerakan siksaanNya kepadamu.
Siapakah yang dapat mengampunkan dosa-dosa jika bukan Dia.
*************************************************************
Harapnya kita dapat belajar lebih banyak lagi. Mempelajari bahasa Arab, dan kemudian memahami apa yang ingin Allah sampaikan kepada kita. Selalu memerhatikan ayat-ayatNya. Agar ketika menjalani hidup, berdepan dalam apa jua keadaan - biar sedih, gembira, bingung, bosan....akan ada ayatNya yang terlintas dalam benak fikiran kita, bersesuaian dengan tempat dan waktu.
Allah lah yang mendidik orang-orang beriman. CelupanNya. Sibghah Allah.
dari sini
Menurut ulama tafsir tersohor Imam al-Razi, Islam dinamakan sibghah Allah atau acuan Allah kerana berdasarkan dua sebab; iaitu pertama, seperti acuan, Islam itu mesti meresap dan bersebati hingga membekas ke lubuk hati yang paling jauh dan dalam. Kedua, seperti acuan juga, Islam itu mampu membentuk dan menjana manusia menjadi Muslim yang memiliki jatidiri, peribadi dan citranya yang khas kerana iman dan ketundukannya yang pemuh tulus ke hadrat Allah.
Mudah-mudahan, jiwa kita adalah jiwa orang-orang yang beriman itu. Jiwa orang-orang beriman, dipermudahkan untuk memupuk kecintaan terhadapNya, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, para Rasul-Nya; memperbaiki dan menambah amalan kita. Menjadikan Alquran dan sunnah sebagai pegangan hidup kita sehingga tercerna dalam seluruh tindak tanduk kita. Sehingga kita berani mengangkat pedang mempertahankan kebenaran keranaNya. Mencintai untuk melihat wajahNya lebih dari kenikmatan-kenikmatan lain di syurga. Sehingga boleh benar-benar berjanji bahawa kita adalah orang itu yang melakukan jualbeli dengan Allah - jual beli di mana Allah membeli jiwa dan harta orang-orang beriman.
"Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun. "
(Al-Ahzab, 33:23)
No comments:
Post a Comment